Qur'an, Hadith, Dan Hikayat: Latin Berfikir Dengan Teliti
Qur’an, Hadith, Dan Hikayat: Latihan Berfikir Dengan Teliti
M. Bakri Musa
Petikan #1: Menganggap Za’aba Sebagai Si Bodoh Kampung
Berfikir Teliti, Pahlawan Sejati
Minda Hamba
Berpusing roda beralih masa / Pelbagai neka hidup di bumi.
Selagi hidup berminda hamba / Pasti tetap terjajah abadi.
Kalau hidup ingin Merdeka / Tiada tercapai hanya berkata.
Ke muka maju sekata, maju kita / Melemparkan jauh minda hamba.
Ampun maaf kepada Usman Awang’s (1929–2001)
Yang paling ketara dalam alam maya semasa ialah ledakan dan lambakkan serta kemudahan mendapati fakta, berita, dan maklumat serta karangan, ulasan, dan rencana. Walaupun demikian, kesenangan mendapati tidak ada rangkaiannya langsung dengan mutu, kebenaran, dan juga hikmatnya. Begitu juga samada maklumat itu boleh dipercayai dan digunakan untuk memberi faedah.
Di zaman digital, si bodoh kampung boleh mempersembahkan dirinya setaraf dengan Pendita Za’aba, jika tidak lebih hebat lagi. Dengan grafik yang menarik dan teknik yang beres serta prosa yang hebat akibat menggunakan software kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) seperti Chat GPT dan Deepseek, si bodoh kampung dengan senang boleh dipercayai dan buah fikirannya disangka bijak dan mendalam.
Untuk sebahagian besar, menyalah sangkakan Zaaba sebagai si bodoh kampung tidak akan membawa anda ke akibat yang buruk. Tetapi sebaliknya tidak begitu. Beribu rakyat Amerika telah menderita akibat menerima nasihat si bodoh di White House pada tahun 2020. Dia mencadangkan menyuntik dengan cecair pembasmi kuman untuk mencegah jangkitan Covid-19!
Sebelum zaman digital terdapat penjaga pintu seperti penyunting yang boleh dipercayai, wartawan yang bermutu, dan kaum profesional yang tulen untuk membimbing pembaca. Kita yakin dengan pandangan mereka. Mereka pula berhati untuk menjaga dan melindungi taraf mereka. Hari ini kalangan mereka sudah tipis dan mungkin terancam.
Tanpa bimbingan dari mereka yang boleh dipercayai, hanya masa sahaja yang kekal sebagai hakim yang benar dan unggul. Nasihat serta pertimbangan yang bodoh dan berniat buruk akan didedahkan dalam tempoh masa. Sementara itu kita mestilah menggunakan otak dan fikiran sendiri serta berbuat pertimbangan sendiri sebelum menerima sesuatu. Yakni, berfikiran dengan teliti atau kritis.
Itu sepatutnya sudah sedia dimaklumkan. Tetapi ada yang meremehkan pemikiran kritis, menyamakannya dengan menyoal, prasangka, atau tidak percaya. Ramai umat Islam merasakan bahawa kita harus mengetepikan sama sekali dengan akal dan penaakulan rasional dalam perkara akidah dan agama. Iman sahaja akan mengatasi segalanya dan mencukupi, dakwaan mereka.
Terdapat juga kepercayaan yang meluas bahawa jika kita mengikuti ajaran seorang alim atau pemimpin teragung, itu sudah memadai dan mencukupi. Jika mereka bersalah, kita akan diampuni dosa. Sebaliknya, hanya mereka yang akan menanggung beban itu. Oleh sebab itu kita boleh mengetepikan untuk berfikir dengan teliti. Ikut sahaja bersama menjadi Mat Turut dan Mah Turut!
Ulama dan pemimpin mungkin akan menanggung dosa kita di Akhirat. Sementara itu, kita yang menderita menanggung di dunia akibat menjadi pengikut buta tanpa menggunakan fikiran sendiri.
Ajaran Al-Quran jelas tentang perkara ini. Pada hari kiamat kita akan bertanggungjawab atas perbuatan kita sendiri semasa di bumi Allah. Islam tidak ada konsep “super savior ala Jesus Christ” yang akan menebus dosa umatnya. Walau bagaimanapun, terdapat di kalangan sesetengah umat Islam bahawa Nabi Muhammad, (Semoga rahmat Allah ke atasnya!), mempunyai kuasa seperti Nabi Isa atas kaum Kristian untuk mengampuni dosa pengikutnya di hari Kiamat. Sah atau tidak, sementara itu kita masih terpaksa menanggung beban di duniawi ini akibat perbuatan kita.
Terlalu ramai yang senang dipengaruhi oleh jurujual minyak ular di pasar malam dan kaki lima kerana kurang berfikir dengan kritis. Hari ini penjaja minyak ular itu mungkin menyamar sebagai ahli politik yang hebat pidatonya, lebai yang berserban besar, dan profesor kangkung yang berderet ijazahnya. Media sosial melebarkan pengaruh mereka dan dengan itu meningkatkan beberapa darjah bakal mangsa mereka yang boleh ditipu.
Patuhi nasihat bijak Presiden Reagan akibat daripada pengalamannya berurusan dengan Komunis Rusia (dan lain-lain), "Percaya, tetapi sahkan." (Trust but verify.)
Percaya kita mesti. Itu adalah asas dunia kita yang bertamadun. Walau bagaimanapun untuk mengesahkan kita memerlukan beberapa kemahiran untuk berfikir dengan kritis. Hanya dengan itu kita akan boleh menjadi pengikut yang bijak untuk pemimpin kita, baik agama mahupun sekular. Kita sendiri mesti memutuskan siapa yang patut mendapat sokongan kita dan siapa yang harus kita ikuti. Mengikuti seorang pemimpin secara membuta tuli tanpa menggunakan otak serupalah dengan seekor kerbau yang boleh dipimpin hanya melalui tali yang diikat melalui lubang di hidungnya. Itu satu gambaran yang biasa di kampung lama dulu. Dalam keadaan itu, tidak penting siapa yang menjadi pemimpin. Seorang kanak kecil pun boleh memimpin kerbau jantan yang besar.
Kebolehan berfikir dengan teliti akan membantu kita memahami al-Quran dan hadis dengan lebih baik, serta menghargai keindahan dan hikmah hikayat serta cerita nenek moyang kita. Berfikir teliti juga akan membolehkan kita untuk menimbang ulasan dan rencana semasa.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home