Bereskan Tahun Selepas SPM
Bereskan Tahun Selepas SPM
M. Bakri Musa
[Petikan dari Al-Quran, Hadis, dan Hikayat: Latihan Dalam Pemikiran Kritis, akan disambung minggu depan.]
27 April 2025
Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diambil oleh 403,000 pelajar dari Disember 2024 hingga Februari 2025 telah dikeluarkan pada 24 April 2025. Ujian itu diambil pada penghujung tahun persekolahan ke-11.
Seperti biasa, surat khabar dibanjiri dengan cerita mereka yang mendapat keputusan cemerlang. Kurang perhatian ditumpukan kepada mereka yang gagal atau terus ponteng peperiksaan tersebut. Agak terkilan sebab kebanyakan mereka adalah pelajar Melayu. Sebaliknya perhatian ditumpukan atas kartun jalur gemilang dalam laporan Kementerian itu.
Sungguh pun SPM peperiksaan terakhir bagi aliran sekolah kebangsaan, tetapi ia bukanlah ujian matrikulasi. Maknanya, penuntut yang berjaya tidak boleh terus masuk ke universiti hanya dengan kelulusan itu. Dari segi mutu pula, mengikut kajian dari Program For International Students Assesments (Penilaian Pelajar Antarabangsa), SPM hanya sama bertaraf dengan Tahun 9 persekolahan di negara maju.
Mereka yang bercita selepas SPM untuk masuk universiti menghadapi banyak pilihan yang membingungkan. Ini termasuk matrikulasi, kursus asas, dan Tingkatan Enam. Itu semuanya anjuran kerajaan dan khusus untuk Bumiputera. Mereka yang bukan Bumi diambil hanya buat syarat sahaja. Program tersebut juga tidak bermula sehingga Julai. Maknanya, murid terpaksa bercuti panjang lebih enam bulan. Dalam masa itu banyak pengetahuan dan tabiat belajar yang baik akan hilang. Tambahan pula tiada satu badan pusat untuk menyelaraskan cara permohonan masuk. Akibatnya banyak wang, masa, dan tenaga terbuang.
Bagi pihak swasta juga terdapat banyak aluran seperti program berkembar dengan universiti antarabangsa (“twinning programs”), kelas untuk kelulusan British GCE A-Level, International Baccalaureate (IB), dan beberapa peperiksaan matrikulasi negara asing. Mereka biasanya bermula pada bulan Januari selepas SPM, sekali gus memastikan kesinambungan yang lancar. Memandangkan program ini mahal, penyertaan orang Melayu adalah rendah.
SPM adalah untuk aliran kebangsaan sahaja, maknanya, murid Melayu. Murid Cina (dan kini semakin ramai orang Melayu yang mengikutinya) mengambil Sijil Peperiksaan Bersatu (United Examination Certificate) selepas tahun persekolahan 12. Ia merupakan peperiksaan matrikulasi yang diiktiraf di seluruh dunia melainkan Malaysia. Pelik!
Berbalik kepada kekurangan murid bukan Melayu dalam program kerajaan, beberapa tahun yang lalu saya mengambil bahagian dalam satu seminar yang dianjurkan oleh Kelab UMNO New York/New Jersey. Saya mengritik dan menolak teori genetik separuh masak yang dikemukakan oleh Dr. Mahathir pada masa itu yang kononnya kelemahan Melayu dalam pendidikan adalah disebabkan oleh baka kita yang kurang cerdik.
Selepas ceramah itu seorang pelajar Melayu muda tersipu mendekati saya. “Tuan Doktor, . . . ” dia teragak-agak hendak bersambung, “Saya ingin mempercayakan pendapat Tuan, tetapi bagaimana hendak menjelaskan . . . .” Beliau seterusnya menerangkan bahawa dalam kelas asasi yang dia sertai di universiti tempatan sebelum di hantar ke luar negeri, walaupun kebanyakan pelajarnya adalah Melayu, tetapi mereka yang mendapat keputusan yang baik kebanyakannya adalah murid bukan Melayu.
Dengan segera merasai dirinya dibebankan dengan apa yang diistilahkan oleh ahli psikologi Stanford Universiti Claude Steel sebagai "beban ancaman stereotaip" (burden of stereotype threat’). Saya terus bertanya kepada pelajar itu apa yang dia buat selepas menduduki peperiksaan SPM. Tiada apa-apa, seperti kebiasaan kebanyakan murid Melayu.
Sementara dia bercuti panjang, saya terangkan, rakan sekelasnya yang bukan Melayu telah menghadiri kelas persendirian yang mahal mulai bulan Januari. Kemudian apabila mereka dipilih untuk masuk program awam, mereka sudah enam bulan mendahului rakan sekelas Melayu mereka. Itu satu kelebihan permulaan yang amat besar terutama dalam kursus yang biasanya berlangsung selama hanya 12 ke 18 bulan.
Tirai tebal keraguan semangat dirinya hilang dengan jawapan saya.
Sejak tahun 1970-an Malaysia telah menghantar beribu penuntut Melayu ke luar negara dan dengan harga yang amat besar untuk hanya mengambil Tingkatan Enam. Sementara itu sekolah lama saya di Kuala Pilah yang kebanyakannya pelajarnya Melayu telah bertahun memohon untuk mempunyai Tingkatan Enamnya sendiri. Tetapi oleh sebab kekurangan dana itu tidak dapat dilaksanakan.
Yang lebih lagi sukar difahami ialah sekolah seperti Maktab Melayu kemudiannya telah menamatkan Tingkatan Enamnya, menjadikan institusi itu sebagai sekolah menengah rendah sahaja dengan hanya nama yang hebat. Penuntut Maktab Melayu terpaksa pindah ke sekolah lain untuk masuk matrikulasi selepas SPM. Hanya pada tahun 2016 Kolej Melayu mula mengadakan program IB sendiri. Malah pada hari ini itu pun bukan pilihan utama pelajarnya.
Pada penghujung 1990-an, Maktab IB MARA Banting di bawah ketuanya yang bukan seorang Bumiputra memperolehi keputusan terbaik di seluruh dunia. Hari ini Maktab itu kembali kepada taraf MARA biasa sahaja. Amat sedih!
Krisis Ekonomi Asia 1997 terpaksa negara berjimat sedikit dan mengurangkan bilangan pelajar yang dihantar ke luar negara untuk kajian taraf Tingkatan Enam atau pra-universiti.
Jauh lebih murah serta cekap jika Tingkatan Enam di luaskan kepada semua sekolah menengah. Alur kan ke jurusan akademik (untuk terus ke universiti), am, dan vokasional, seperti cara pendidikan di Negeri Jerman. Ubahsuai peperiksaan Sijil Tinggi Persekutuan supaya mereka yang tidak mendapat keputusan yang memuaskan pada kali pertama boleh mengulanginya peperiksaan enam bulan kemudian, dengan sijil akhir mencerminkan markah yang lebih baik daripada kedua peperiksaan itu.
Walau pun SPM khasnya dan aliran persekolahan kebangsaan amnya merupakan satu kelemahan pendidikan yang besar, yang lebih teruk lagi dan menghampakan bangsa kita ialah pendidikan aliran agama. Di situ indoktrinasi menyamar sebagai pendidikan. Aliran itu adalah satu pemusnahan terbesar minda anak Melayu. Itu tidak semestinya. Lihatlah banyak sekolah teragung yang berkaitan dengan Gereja di Amerika seperti Sekolah Groton di Massachusetts dan Georgetown Prep, atau pun lebih dekat lagi, Madarasah Al Junid di Singapure.
Dengan keadaan pendidikan anak Melayu yang sudah dan terus terancam, Menteri Pendidikan kita agak sibuk hendak memperkenalkan Bahasa Khmer. Begitulah cabaran yang dihadapi oleh pendidikan di Malaysia.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home