Pertukaran Suasana Belajar Yang Penting Di Universiti
Pertukaran Suasana Belajar Yang Penting Di Universiti
M. Bakri Musa
Petikan # 8 dari buku saya Al-Quran, Hadis, Dan Hikayat: Latihan Dalam Pemikiran Kritis akan di sambung minggu depan.
Pertengahan tahun pertama di Universiti Alberta, Edmonton, Kanada, saya terkejut apabila diberi ujian "untuk di buat di rumah" manakala di kursus yang lain pula peperiksaan "buku terbuka." Bayangkan, melakukan ujian di rumah dengan nota serta buku teks yang sedia ada! Begitu juga dengan peperiksaan buku terbuka. Tidak pernah terdengar di tanah airku. Sekali pandang itu adalah galakan untuk pelajar menipu dan meniru!
Jelas profesor di Kanada tidak hairan dengan kepintasan atau berapa cepat si pelajar boleh memuntahkan apa yang telah diajar atau diluapkan dalam kuliah atau apa yang telah terbaca dalam buku. Mereka ingin mengetahui bolehkah pelajar berfikir dengan sendiri.
Kejutan ke dua pada saya ialah ini. Selepas ujian pertama dalam kelas kimia, profesor kami ingin memulakan satu program makmal istimewa untuk pelajar yang mendapat keputusan terbaik. Saya bertuah kerana dipilih. Saya bukan bermegah sebab selepas melalui Tingkatan Enam di Malaysia (13 tahun persekolahan), tahun pertama di universiti, sekurang-kurangnya dalam bidang sains, adalah mudah sahaja. Alberta hanya mempunyai dua belas tahun persekolahan.
Kami dipasangkan dan diberi masalah eksperimen yang berasingan. Untuk saya ialah mengukur sebatian yang diberikan. Kami diberi semua kemudahan dan peralatan yang sedia ada. Pasangan saya ialah pelajar dari sekolah menengah luar bandar di Alberta.
Kami bermula dengan memeriksa alat penimbang dan bagaimana untuk menimbang satu bahan yang hanya berat seberapa geram sahaja. Dacing biasa terhad gunanya. Kemudian kami pergi ke dacing analitik yang lebih sensitif. Itu juga ada hadnya. Kami masih tidak dapat mengukur berat benda yang terlalu ringan. Penat memikirkan bagaimana untuk menyelesaikannya.
Selepas setengah jam, profesor kami, seperti yang sudah dia janjikannya, meminta kami membincangkan masalah kami di hadapan seluruh kelas. Sejurus sebelum perbincangan itu, salah seorang pelajar lain mencadangkan kepada saya jangan menggunakan alat menimbang tetapi melarutkan benda ke dalam air dan mengukur ketumpatan warna dengan menggunakan alat spektrometer.
Sesaat sahaja dia berkata "larutkan . . ." otakku mula mencurahkan penyelesaian. Dia tidak perlu lagi melanjutkan fikirannya. Apabila profesor kami datang, kami menerangkan langkah yang kami akan ambil. Yakni melarutkan sebatian dalam isi padu air yang diketahui, kemudian mencairkan sampel secara bersiri, dan memplot bacaan ketumpatan warna dengan pencairan. Dengan itu kita boleh mengukur kepada penurunan lebih seribu kali ganda jumlah melalui pencairan bersiri tersebut. Nasib baiklah bahawa bahan yang kami diberi adalah sebatian kuprum yang berwarna biru bila dilarutkan. Kebiruan itu boleh di ukur dengan alat spektrometer dan juga ternyata di pandang.
Walaupun saya berasa seronok serta bangga sebab dapat mencari penyelesaian kepada masalah yang diberikan, namun saya masih terseksa dengan pemikiran bahawa saya telah gagal untuk memikirkannya sehingga rakan sekelas saya mencadangkannya. Perasaan kecewa saya ditenangkan sedikit apabila saya mendapat tahu bahawa rakan saya yang bijak itu telah menuntut di sekolah menengah bestari. Mereka sudah biasa diajar untuk berfikir dan menyelesaikan masalah, bukan hanya dengan menghafalkan buku atau apa yang diajar oleh guru seperti apa yang sering berlaku di sekolah biasa, termasuklah di Malaysia.
Peristiwa itu menjadi penunjuk bagi saya. Yakni saya juga boleh mempelajari kemahiran untuk berfikir dengan teliti dan luar berkas. Pemikiran kritis, seperti kemahiran lain, boleh diajar dan diperkukuhkan sepanjang hidup dengan menggunakan dan mengamalkannya.
Peristiwa itu juga memberi saya dua hikmat. Pertama, berhati atas gangguan yang mungkin mencabar anda apabila hendak menyelesaikan sesuatu masalah. Saya terpikat dengan istilah tugasan. Ia berkata untuk mengukur, dan oleh kerana saya diberi sampel yang di beri beratnya, saya terus berfikir tentang gaya menimbang dengan mesin timbang. Saya tidak dapat keluar dari kurungan atau landasan itu. Mungkin saya akan mempunyai fikiran yang terbuka dan tidak dilandasi sekiranya istilah "kirakan" dan bukan timbang digunakan.
Ke dua, kejadian di bilik makmal itu menyadarkan saya tentang nilai dan apa sebenarnya makna markah ujian. Betul anda perlu mempunyai keputusan yang cemerlang untuk mendapati biasiswa atau hadiah akademik yang diidamkan, tetapi itu tidak langsung bermakna jika anda tidak dapat menyelesaikan masalah. Mendapat markah tinggi hanya bermakna anda hanya pandai menjangka dengan betul apa yang si pemeriksa inginkan daripada anda. Ini tidak lain daripada tabiat saya semasa sekolah menengah untuk mengagak atau meramalkan soalan yang mungkin timbul dalam peperiksaan hujung tahun.
Pelajar yang mencadangkan penyelesaian itu kepada juga mempunyai markah tinggi walau pun rendah daripada saya. Sebagai penunjuk kemudian, beliau terus menjadi Profesor Kimia ternama.
Berbalik kepada nilai peperiksaan dan markah ujian khasnya dalam kehidupan sehari, tamadun Cina kuno tahan berabad sebagai mercu sistem pentadbiran yang cekap dan beres. Sebabnya ialah Maharaja Cina memilih calon terbaik daripada peperiksaan perkhidmatan awamnya yang terkenal. Betul pentadbiran Cina cemerlang selama beberapa abad, tetapi tidak selamanya. Negara Cina kemudiannya dengan mudah dikalahkan oleh tentera Penjajah Barat.
Sebabnya? Sebahagiannya ialah pegawai pentadbir Cina dipilih hanya melalui ujian tersebut. Ini bermakna bukan calon yang terbaik atau paling bijak tetapi hanya mereka yang dianggap atau difikirkan oleh si pemeriksa sebagai terbaik dan paling cemerlang. Itulah istilah “merit” dan meritokrasi yang biasa di fahamkan. Maknanya, yang paling bijak meneka soalan peperiksaan atau boleh memberikan jawapan yang dikehendaki oleh si pemeriksa.
Seabad kemudian, Amerika akan mengulangi kesilapan Negara Cina itu. Menteri Pertahanannya, Robert McNamara, seorang lepasan University of California, Berkeley dan juara lulusan Harvard Business School, mengambil hanya mereka yang berkelulusan "terbaik dan paling pintar" ("Best and brightest” atau “Whiz Kids") untuk membantu dia melaksanakan Perang Vietnam pada 1960-an dan 70-an. McNamara juga menggunakan istilah "bilangan badan" (body count) sebagai ukuran kemajuan perang. Malangnya, seperti yang telah dibuktikan oleh peristiwa kemudiannya, pelajar terbaik dari Harvard tidak dapat menandingi pemimpin militer Viet Cong yang telah diterajui oleh hutan belukar dan berbaju tidur.
Bagi kebijaksanaan menggunakan ukuran "bilangan badan" sebagai petunduk kemajuan peperangan, itu sama juga dengan meramalkan kedahsyatan banjir hanya dengan kehitaman awan. Dinamik peperangan, seperti juga cuaca, boleh dan mungkin berubah dengan cepat dan mendadak.
Seterusnya: Petikan #10: Kitab Agama Untuk Latihan Berfikir Dengan Teliti
0 Comments:
Post a Comment
<< Home