Teks Agama Sebagai Latihan Untuk Berfikir Dengan Teliti
Teks Agama Sebagai Latihan Untuk Berfikir Dengan Teliti
M. Bakri Musa
Petikan # 10 Dari buku saya “Al-Quran, Hadis, Dan Hikayat: Latihan Dalam Pemikiran Kritis.”
Makalah berkenaan pemikiran kritis kebanyakannya ditulis oleh orang Barat. Mereka menggunakan contoh yang biasa kepada masyarakat mereka. Oleh itu, sukar bagi rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, untuk memahaminya. Jika pembaca tidak boleh mengaitkannya, maka isinya menjadi kurang bermakna. Latihan tersebut akan menjadi kurang berguna atau sesuai.
Inilah cabaran yang dihadapi oleh Profesor Falsafah Amerika Edward Muad Omar apabila bermula mengajar di Universiti Qatar. Dalam buku ini saya menggunakan contoh dan bahan yang boleh dikaitkan dengan pembaca Melayu dan Islam. Tujuan saya ialah untuk mengurangkan kesulitan dan meningkatkan kaitannya.
Saya tidak ingin untuk mengulas atau menterjemahkan teks agama. Sudah tebal jilid yang dikhaskan untuk itu. Sebaliknya saya menggunakan teks agama tersebut hanya sebagai latihan untuk berfikir dengan teliti, dan hanya itu. Ulama purba telah memberi banyak sumbangan mereka tentang teks agama dan kita terhutang budi kepada mereka. Namun, mereka memberi pandangan kepada pembaca pada zaman mereka. Cabaran mereka sangat berbeza dengan cabaran tempatan. Begitu juga cara menyelesaikannya.
Kita mesti bersedia menerima hakikat bahawa beban yang mereka pikul adalah garam sedangkan kita, kapas, seperti dalam cerita dua keldai yang saya sebut dahulu. Jika kita membuta tuli mengikuti tuli perintah ulama dahulu, kita sebenarnya mungkin tidak meringankan beban tetapi sebaliknya. Itu perlunya untuk berfikir dengan kritis bila membaca teks kuno; begitu juga dengan mengikut ajaran dan perintah kuno untuk masalah dan cabaran semasa.
Kita mesti menggunakan akal untuk membantu memahami ajaran Al-Quran serta mematuhi kebijaksanaan Nabi, s.a.w. Itu akan memperkayakan kehidupan kita. Teks agama lama itu juga akan kemudiannya menjadi lebih bermakna dan bukannya mantera yang tidak berakal dalam bahasa Arab kuno. Pada diri saya, menggunakan contoh tersebut serta cerita dan hikayat nenek moyang kita merupakan satu cara untuk saya mengenali semula kepercayaan, budaya dan sastera ibunda.
Seperti kemahiran di bidang lain, berfikir teliti boleh diajar dan diperkukuhkan. Setelah diperolehi, ia akan menjadi kebiasaan atau secara automatik. Untuk bermula, amatlah berguna untuk menyemak terlebih dahulu serta memahami proses belajar.
Banyak halangan untuk berfikir dengan teliti, yang jelas serta yang lain. Yang penting ialah ingin dan suka bertanya serta menilai jawapannya. Tidak seperti dalam perdebatan di mana keindahan tertumpu kepada mempamerkan kehebatan anda berpidato dan mencangah suara si pembangkang, berfikir dengan teliti mementingkan pencerahan isu dan meningkatkan pemahaman seseorang tentangnya. Ia bukan pertandingan berpidato.
Halangan untuk berfikir dengan teliti khusus bagi orang Melayu ialah kepercayaan dan amalan agama kita semasa; unsur budaya dan kemasyarakatan kita, khususnya sisa feudalisme yang sudah berakar umbi dalam; dan semangat kebangsaan negara dan bahasa yang sempit serta berkobar tanpa had. Itu semuanya menjahanamkan kebolehan kita untuk berfikir dengan teliti serta menyempitkan dan merosakkan kebolehan kita.
Pemimpin kita mungkin tidak bersetuju dengan penegasan saya. Dalam Islam, sekurang-kurangnya semasa Zaman Keemasannya, perbincangan yang mantap dan cergas adalah perkara biasa. Oleh sebab itu mereka menghasilkan berjuta buku yang tebal. Sarjana awal Islam tersebut berfikir dengan kritis. Umat Islam semasa patut mencontohi mereka dan tidak segan atau takut mengutuk pemimpin dan kaum ulama. Bahkan sarjana dahulu tidak enggan atau takut untuk belajar daripada orang Yunani yang tidak pun percaya kepada Allah. Ilmu adalah ilmu; semuanya berasal dari Nya.
Bila kita menggunakan otak untuk berfikir dengan teliti, kita bukan meniru cara Barat, sains, atau sekular, seperti yang dituduh oleh ulama serta pemimpin Islam semasa, tetapi sebaliknya kita mengikut ajaran terbaik nenek moyang kita.
Bacalah kritikan keras Imam Ghazzali terhadap Ibn Sini dan Ibn Rasyid dalam “The Incoherence of the Philosophers,” (Ketidakselarasan ahli falsafah) dan sanggahan yang sama tajam dalam “The Incoherence of the Incoherence” karya Ibn Rasyid. Pertempuran intelektual antara mereka amat tegas dan tajam bila di bandingkan dengan perbincangan semasa di kalangan intelektual Muslim Dunia Ketiga se olah mereka masih lagi berdebat di sekolah menengah.
Kekurangan yang ketara dalam pemikiran cerdik pandai Islam semasa belum lagi dimaklumkan dan dengan itu belum lagi di perbaikan. Menurut Shabbir Akhtar dalam bukunya “The Quran and the Secular Mind: A Philosophy of Islam,” “Satu kekurangan intelektual yang penting dalam Rumah Islam Moden ialah kekurangan budaya falsafah hidup yang boleh mempengaruhi pandangan agama yang sempit.”
Kita mencipta halangan psikologi yang tidak perlu serta menggerunkan terhadap berfikir dengan teliti. Kita menolaknya sebagai "bukan Islam," khususnya amalan Barat. Inilah keangkuhan di sebalik aliran kajian "Mengislamkan Ilmu". Itu adalah sebahagian daripada antipati umum semasa terhadap menggunakan akal.
Yang ironisnya ialah Al-Quran membebaskan orang Badawi purba, mengakibatkan mereka meninggalkan amalan peribadi dan budaya yang menjijikkan. Tetapi hari ini banyak ajaran agama telah dimerosotkan menjadi alat menindas penganutnya. Pemimpin Muslim Amerika Ingrid Mattson memilih istilah "penderaan atau penitisan rohani." Alangkah tepatnya!
Kaedah atau cara berfikir saintifik bukanlah cara Barat. Sebaliknya mereka yang mencetus serta mengamalkannya adalah dari Barat; begitu juga dengan kapitalisme dan perusahaan bebas. Barat memperkenalkan kedua-duanya tetapi tidak memilikinya. Sekiranya tamadun Islam dahulu tidak hancur, maka pemikiran kritis akan menjadi konsep Islam seperti yang diamalkan dan mahir oleh umat Islam zaman dahulu. Bagi kapitalisme, Benedict Koehler menegaskan dalam bukunya, “Early Islam And The Birth of Capitalism,” umat Islam purba mengamalkan bentuk kapitalisme yang pertama.
Sisa-sisa budaya feudal kita adalah antara penghalang untuk berfikir dengan kritis. Dalam budaya feudal anda tidak mempersoalkan nasib anda; itu sudah ditetapkan dan ditentukan semasa lahir. Di puncak sistem feudal adalah sultan dan raja. Kedudukan mereka dibenarkan oleh Islam versi Melayu yang menganggap sultan sebagai wakil Allah di bumi. Oleh sebab itu anda tidak boleh mempersoalkannya dan tidak boleh pula mencabar wakil-Nya di bumi.
Yang patut ditanya, mengapa Tuhan memerlukan wakil di dunia?
Bahasa Melayu bukan penghalang untuk berfikir dengan teliti kecuali setakat yang kaum nasionalis bahasa telah meruntuhkan sistem persekolahan sehingga kemahiran ini tidak lagi dihargai atau diajar.
Seterusnya Petikan #11: Berfikir Tentang Pemikiran
0 Comments:
Post a Comment
<< Home