Kelemahan Berfikir Dengan Teliti Dalam Islam
Kelemahan Berfikir Dengan Teliti Dalam Islam
M. Bakri Musa
Petikan kemas kini #32 buku saya: Qur’an, Hadith And Hikayat: Exercises In Critical Thinking
7 Januari 2026
Islam merangkumi iman serta amal. Al-Qur’an menyeru kita untuk “beriman dan beramal soleh.” Amal bukan sekadar usaha sembarangan. Al-Qur’an juga memperkenalkan konsep istiqamah -bertekun dan berterusan usaha.
Bagi umat Islam Al-Qur’an adalah perintah Allah serta rujukan terutama tanpa bandingan. Selepas itu ialah sunnah, kata serta laku yang disandarkan kepada Rasulullah. Istilah “disandarkan” itu penting sebab kumpulan sunnah hanya bermula dikutip lebih kurang 200 tahun selepas kewafatan Baginda. Malah Baginda sendiri melarang para sahabatnya mencatat perbuatan dan katanya kerana bimbang itu akan mengelirukan dan dianggap sebagai wahyu oleh mereka. Hikmah serta kebimbangan Baginda sudah tentu jelas sekarang!
Selepas Qur’an dan sunnah ialah ijmak (keputusan sepakat ulama) dan qiyas. Pada setiap peringkat, pemikiran kritis atau teliti adalah kunci untuk kita mendekati kebenaran dan teras iman kita.
Seperti yang di tulis oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam bukunya, Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance In Postnormal Times (Berfikir Diri Sendiri, 2025), Zaman Kegemilangan Islam adalah akibat dua asas. Pertama, para pemikir semasa tidak peduli sama ada sumber ilmu mereka datang daripada orang Islam atau tidak. Kedua, mereka tidak terperangkap dalam dwi-standard dan kategori sempit. Maknanya, mereka tidak sibuk untuk “mengIslamkan” segalanya. Mereka lebih mementingkan keputusan, kehasilan dan kegunanaan. Ulama semasa zaman kegemilangan Islam dulu tidak terasa langsung segan untuk menimba ilmu dan hikmah dari ahli falsafah Yunani yang tidak langsung percaya kepada Tuhan.
Kita boleh mempelajari banyak hanya melalui pertanyaan serta menyoal. Bertanya bukan bermaksud mempertikai atau meragui, tetapi keinginan untuk tahu dengan lebih mendalam atau memahami dengan lebih teliti. Begitulah caranya seorang anak belajar, dengan berterusan menanya “mengapa” dan “apa sebab.” Itu juga kaedah mengajar cara Sokratis, hanya cara lebih mendalam serta teratur. Al-Qur’an juga berkali menyuruh kita untuk berfikir dan merenung sesuatu.
Nabi Muhammad s.a.w. adalah manusia terakhir yang menerima wahyu daripada Tuhan. Kita manusia biasa tidak akan mendapat jawapan kepada cabaran hidup hanya dengan memencilkan diri di dalam gua. Sebaliknya kita mesti tekun menggunakan alat yang dikurniakan oleh Yang Maha Esa kepada setiap umatNya, sesuatu yang membezakan kita daripada makhlukNya yang lain. Yakni, akal.
Hamka memperkenalkan konsep “dua Qur’an.” Kita biasa dengan yang pertama. Alqur’an kedua adalah alam semesta ini. Kita wajib juga mengkaji dan mempelajari alam ini. Para saintis yang meneroka hujong sempadan kosmos dan ahli biologi yang merungkai rahsia nyawa semuanya melaksanakan tuntutan ini.
Joel Mokyr, pemenang anugerah setaraf Nobel Prize dalam bidang ekonomi pada tahun 2025, menegaskan peranan penting ilmu dalam pertumbuhan ekonomi sesebuah masyarakat. Bukan sahaja ekonomi, malah juga pertumbuhan peribadi dan rohani. Perbezaan beliau antara ilmu “propositional” (proposisi) dan “preskriptif” (yang berguna), seakan sains tulen dan sains gunaan, selaras dengan konsep akal dan amal dalam Islam.
Ulama semasa senang sahaja syuk sendiri dengan memuntahkan isi kitab kuno. Huraian mereka jauh dari matang, seakan kehebatan paderi Kristian kuno yang heboh membincangkan “berapa ramai malaikat boleh berdiri di hujung jarum.” Banyak tenaga otak dan intelek membazir hanya untuk menentukan sama ada sesuatau produk dan perbuatan dari Barat itu menepati maqasid syariah. Sebaliknya tiada usaha sendiri untuk mencipta produk baharu yang memberi manfaat kepada ummah. Kalau berguna dan menfaatkan ummah, itu semestinya mengikut syariah.
Cerdik pandai masyarakat kita pandai mengritik sahaja dan senang puas hati dengan hanya menglabelkan sesuatu haram atau tidak mempatuhi maqasid syariah.
Mereka mendakwa bahawa gadai janji (mortgage atau hutang membeli rumah) bank moden itu haram oleh sebab kononnya riba sedangkan pinjaman rumah dari Bank Islam yang selalunya lebih mahal dan membebankan peminjam dengan risiko yang lebih besar itu halal. Umpamanya gadai janji sekular bersifat non-recourse dan dikira berdasarkan baki berkurangan, berbeza dengan skim yang kononnya halal dari bank Islam. Non-recourse bermakna jika anda gagal membayar, bank hanya boleh mengambil rumah tersebut; mereka tidak boleh menuntut anda untuk baki hutang itu. Tetapi dengan gadai pinjaman rumah dari bank cara Islam, anda tetap bertanggungjawab atas keseluruhan baki. Itu tidak adil dan mungkin zalim. Bermakna, tidak mempatuhi syariah. Menjadikan pinjaman rumah lebih murah dan mengurang risiko—itu adalah maqasid syariah, tidak kira apa jenamanya atau siapa yang mengeluarkannya.
Di Malaysia hanya dengan keberanian seorang hakim yang bukan Islam keadaan yang tidak adil ini didedahkan dan kepalsuan gadai janji bank dan syarikat keewangan Islam di bongkarkan. Apa tindakbalas mereka? Mengubah syarat pendedahan untuk menghalalkan kos tambahan tersebut. Maknanya, penipuan berterusan!
Begitu juga dengan ketaksuban terhadap makanan dan tempat makan halal. Sebelum sesuatu makanan atau restoran itu boleh dianggap halal, ia mestilah terlebih dahulu bersih. Jika lalat berhurung di sana-sini, makanan itu tidak boleh dianggap halal walaupun dagingnya disembelih mengikut syarak atau restoran itu terletak di tanah suci Mekah.
Masyarakat Islam mundur kerana sistem pendidikan kita lemah. Itu semestinya tidak maqasid syariah. Kita bernasib baik kerana sekarang sudah mula bermuncul nur dari Barat untuk umat Islam. Lihatlah senarai bacaan cuti musim panas Sekolah Perempuan Aqsa di Chicago. Ia termasuk karya Harper Lee, To Kill A Mocking Bird, dan Ray Bradbury, Fahrenheit 451. Bukan Hadis Empat Puloh! Begitu juga Madrasah Aljunid di Singapura. Penuntutnya belajar sains moden, bukan kononnya “sains Islam” yang sebenarnya hanyalah sains palsu atau berpura sains. Madrasah Aljunid juga menyediakan pelajarnya untuk sijil sekular International Baccalaureate (IB).
Tauladani masyarakat Islam semasa Zaman Kegemilangan. Mereka tidak teragak belajar daripada orang Yunani yang tidak langsung pun percaya kepada Tuhan. Begitu juga, Sekolah Aqsa dan Aljunid tidak berasa segan atau ragu untuk belajar daripada masyarakat secular Barat.
Seterusnya: Benteng Sosiokultural Terhadap Pemikiran Kritis


