Kelemahan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
M. Bakri Musa
8 April 2026
Pada 31 Mac 2026 keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan. SPM adalah peperiksaan akhir Tingkatan Lima yang berlaku pada November yang lalu. Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek cepat menangguk jasa, mendakwa kononnya keputusan pada tahun ini meningkat sedikit pada keseluruhannya. Sementara itu akhbar dan media sosial pula penuh dengan ucapan tahniah kepada mereka yang berjaya. Yang sengaja diketepikan dan tidak diiktiraf ialah kelemahan asas SPM serta sistem persekolahan negara.
Sehingga tahun 1970-an SPM hanyalah peperiksaan peringkat sekolah menengah rendah; peperiksaan habisan yang sebenar ialah Sijil Tinggi Pelajaran (STP) yang diduduki oleh para pelajar selepas Tahun 13. Yakni dua tahun Tingkatan Enam selepas SPM. STP diiktiraf oleh seluruh dunia, setaraf dengan British GCE “A” Level.
Tetapi tidak begitu dengan SPM hari ini. Untuk masuk universiti, sama ada dalam atau luar negara, seseorang itu perlu mengambil pengajian tambahan seperti Tingkatan Enam, Matrikulasi, atau Kelas Asassi. Itu semuanya sekarang dikendalikan oleh universiti tempatan. Itu adalah satu pembaziran besar dana serta sumber kampus yang mahal dan terhad. Baru-baru ini Kementerian Pendidikan Tinggi pula merasmikan perbuatan pembaziran ini dengan mengambil alih sepenuhnya program tersebut.
Langkah resmi mengabai serta memperkecil dan dengan itu meruntuhkan nilai Tingkatan Enam bermula pada awal 1980-an apabila kerajaan mula menghantar beribu pelajar Melayu ke luar negara sejurus selepas SPM. Itu satu langkah yang amat boros serta mengalihkan dana dan sumber daripada institusi pengajian tempatan. Tambahan pula mereka yang dihantar ke luar negara itu tidak boleh terus masuk ke universiti, terutamanya universiti yang bermutu. Mereka terpaksa mengambil kursus di luar negara yang pada asasnya ialah hanya paras Tingkatan Enam. Kebanyakan mereka akhirnya terdampar di universiti yang bertaraf rendah. Hari ini mereka yang separuh masak inilah yang mentadbir dan meruntuhkan negara.
Krisis ekonomi 1997 memaksakan negara berjimat dan dengan itu kerajaan terpaksa mengurangkan amalan boros tersebut. Namun pada hari ini pembaziran masih terus kembali berulang, walaupun dalam skala yang lebih rendah sedikit tetapi tetap membazir.
Menurut PISA (Program for International Students Assessment), pelajar sekolah menengah Malaysia ketinggalan sekurang-kurangnya dua tahun berbanding dengan rakan sebaya mereka di negara maju. Dalam kata lain, SPM semasa hanyalah setaraf dengan Tingkatan Tiga di negara maju.
Renungkan nasib si pelajar SPM kini. Kecuali segelintir pelajar swasta, mereka semuanya dari aliran Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Agama kerajaan. Maknanya, kebanyakkannya Melayu. Di sekolah agama pula, semuanya Melayu. Kaum bukan Melayu sudah lama mempulaukan aliran kebangsaan. Bahkan sekarang sudah ramai pun pelajar Melayu yang turut bersama. Sekolah Kebangsaan Jenis Cina mempunyai pepereksaan United Examination Certificate (UEC) mereka sendiri yang di ambil pada akhir Tahun ke-12. Kelayakan itu diiktiraf di seluruh dunia kecuali, secara peliknya di Malaysia.
Sementara itu bagi segelintir golongan elit, mereka melanggan sekolah swasta dan antarabangsa yang menghadap pepereksaan International Baccalaureate dan GCE “A” Level.
Renungkan pula nasib calon SPM semasa yang kebanyakannya Melayu. Mereka mengambil peperiksaan itu pada bulan November dan menunggu sehingga Mac untuk keputusannya. Jika cemerlang, mereka memohon pelbagai program lepasan Tingkatan Lima kerajaan yang biasanya hanya bermula pada Julai. Maknanya, mereka telah membazirkan lebih tujuh bulan.
Kemerosotan ilmu serta tabiat belajar yang baik berlaku dengan ketara sepanjang tempoh lepak yang lama itu. Golongan mereka yang berada (kebanyakannya bukan Melayu) segera mendaftar diri mereka pada bulan Januari untuk pelbagai program swasta yang cemerlang. Apabila mereka kemudiannya diterima masuk ke kelas Asasi atau Matrikulasi kerajaan, mereka sudah jauh kehadapan berbanding dengan pelajar Melayu yang kini hanya berpuas hati bercuti panjang dan melepak. Kelebihan ini terus akan kekal dan menjadi lebih besar apabila mereka masuk universiti. Tidak hairanlah melihat mahasiswa Melayu jauh ketinggalan bila dibandingkan dengan kaum lain.
Pelajar Amerika juga mempunyai cuti hujong tahun musim panas yang panjang. Namun mereka tahu seawal bulan Mac sama ada mereka sudah di terima masuk universiti pada bulan September akan datang. Tambahan pula universiti di Amerika menetapkan program bacaan musim panas bagi pelajar baharu agar mereka lebih bersedia untuk tahun pertama.
Penyelesaian dilema pendidikan Malaysia (sebenarnya dilema Melayu sahaja) ini sangat mudah serta jelas untuk di selesaikan. Yakni jadikan K-13 (Pendidikan pra-sekolah hingga ke Tahun 13) sebagai norma baharu. Contohi dan ubah suai sistem Jerman dengan membahagikan dua tahun terakhir itu (Tingakatan Enam) kepada aliran akademik (untuk kelompok 25 peratus teratas), umum, dan vokasional. Keputusan kerajaan pada awal Januari 2026 (prasekolah untuk semua) adalah langkah yang terbaik.
Amerika mempunyai hanya K-12. Namun pada hakikatnya bagi kebanyakan pelajar ialah K-14 (K-12 dan ditambah sekurangnya dengan dua tahun di kolej komuniti). Universiti sekarang menggalakkan pindahan masuk ke tahun kedua atau ketiga daripada kolej tersebut.
Untuk melonjak ke arah pembangunan negara seterusnya, Malaysia memerlukan rakyat yang berpendidikan tinggi. Itu semestinya bermula dengan sistem persekolahan yang mantap. Merasmikan persekolahan K-13 mestilah di utamakan. Universiti tempatan patut menumpukan dana dan tenaga hanya kepada pengajian paras ijazah, pasca siswazah, dan profesional serta juga pendidikan berterusan. Jangan bebankan pihak university dengan tugas mengajar paras sekolah menengah. Tindakan Kementerian Pendidikan Tinggi baru ini untuk mengambil alih Tingkatan Enam, Matrikulasi, dan Kelas Asasi adalah satu perbuatan membazir serta mahal dan berkebelakangan.
Merujuk kepada “Masalah Melayu” atau “Dilema Melayu” yang tiada berhabisan serta menyedihkan dan masih jauh dari diselesaikan, tindakkan yang patut dan mesti di ambil ialah bukan seruan perpaduan yang tidak terputus, memperluaskan lagi hak Istimewa Melayu, atau sekadar mengharap doa dimakbulkan Tuhan, tetapi lebih kepada memperkasakan dan membaikki aliran sekolah di mana kebanyakan muridnya adalah Melayu. Yakni Sekolah Kebangagsaan dan aliran agama (swasta serta kerajaan).
Sekolah adalah masa depan masyarakat, mengikut hikmat purba Cina. Untuk mengisi otak pemimpin Melayu dulu serta semasa dengan hikmah ini semasa adalah satu cabaran terbesar. Sekurangnya memanjangkan tempoh persekolahan K-13 akan menggurangkan pengeluaran Mat Rempit dan Minah Karan. Sekurangnya itu akan menempohkannya selama dua tahun.
Petikan dikemas kini daripada buku saya, 'Qur’an, Hadith, And Hikayat' akan bersambung minggu depan.
No comments:
Post a Comment