Thursday, October 08, 2026

Antara Mengurangkan Kemudaratan Dan Melakukan Kebaikan

 Antara Mengurangkan Kemudaratan Dan Melakukan Kebaikan

M. Bakri Musa

Petikan daripada buku saya, Qur’an, Hadith, And Hikayat: Exercises In Critical Thinking (2021)

8 Oktober 2026

Renungkan seorang polis trafik yang meninggalkan tugasnya di sebuah persimpangan jalan yang sibuk hanya untuk menunaikan solat Jumaatnya. Semasa ketiadaannya, kesesakan lalu lintas menjadi lumpuh, memicu rentetan kemalangan maut dan melambatkan ambulans yang membawa pesakit kritikal ke hospital.

Seterusnya, pertimbangkan hal ini. Semasa berkhidmat sebagai pakar bedah di Malaysia pada tahun 1970-an, saya pernah menegur seorang doktor muda kerana melakukan perkara yang sama persis: meninggalkan pesakit yang dalam keadaan rapuh di Wad Kecemasan untuk ke masjid bagi solat Jumaat. Dalam fikirannya, keselamatan rohnya di akhirat mengatasi kelangsungan hidup pesakitnya. Tidak terlintas dalam fikiran beliau bahawa menyelamatkan nyawa insan mungkin merupakan jalan sebenar kesyurga. Lebih buruk lagi, beliau benar bingung mengapa saya—seorang sesama Muslim—berani mengenakan tindakan disiplin terhadapnya kerana memenuhi kewajipan agamanya.

Membezakan Yang Sejagat Daripada Yang Khusus

Melihat dari sudut yang lebih luas, kegagalan mematuhi hari Sabat pada hari Sabtu hanya merupakan satu pelanggaran hukum dalam agama Yahudi; begitu juga, meninggalkan solat Jumaat hanya berat hukumnya bagi umat Islam. Namun, memandu dalam keadaan mabuk adalah kemudaratan yang merentasi pegangan agama. Ia menimbulkan ancaman secara langsung kepada sesiapa sahaja di jalan raya—Muslim mahupun bukan Muslim, pemandu mahupun orang awam yang tidak berdosa. Oleh itu, masyarakat mempunyai kewajipan yang jelas untuk bertindak menanganinya.

Namun, perbuatan minum arak itu sendiri tidak saksama maknanya dengan menjadi mabuk atau bersifat keras. Walaupun meminum adalah dosa besar bagi umat Islam, tetapi tidak sedemikian bagi penganut agama lain. Rentas pelbagai budaya, ia merupakan satu bahagian dalam kehidupan mereka, teranyam dalam majlis perkahwinan, ritual keagamaan, serta sambutan kemasyarakatan.

Kerajaan boleh memilih untuk menghadkan perbuatan meminum arak di tempat awam, atau lebih jauh dengan melaksanakan pengharaman secara penuh. Pengalaman besar di Amerika Syarikat dengan dasar mengharamankan arak (prohibition) memang berjaya mengekang perbuatan meminum arak di tempat awam. Namun ia menghasilkan natijah yang jauh lebih buruk: keracunan maut daripada wiski haram (moonshine), kemusnahan harta benda secara berleluasa, dan kebangkitan jenayah terancang. Hujah moden untuk menghalalkan serta mengawal selia kanabis dan bahan terlarang yang lain dipetik secara langsung daripada iktibar dasar pengharaman tersebut.

Mungkinkah kemungkaran seperti kuman bahaya? Dalam jumlah yang amat sedikit, kuman tersebut boleh dilemahkan dan bertindak sebagai inokulan, membina imuniti terhadap malapetaka yang jauh lebih besar. Sekiranya berlebihan, ia memusnahkan sesebuah badan. Bergitu juga dengan masyarakat, sepertimana candu melumpuhkan masyarakat Cina semasa Dinasti Qing.

Kurang bijaksana membendung maksiat kecil sekiranya penguatkuasaan itu menghasilkan sesuatu yang jauh lebih buruk. Kefahaman inilah yang menjadi teras kepada strategi kesihatan awam moden mengenai pengurangan kemudaratan (harm reduction). Anda tidak boleh menghapuskan dorongan diri yang merosakkan akibat ketagihan dadah secara serta-merta, namun anda boleh mengurangkan kadar kematian sekunder dan penularan wabak penyakit dengan menyediakan jarum steril serta prasarana pelupusan yang selamat.

Kegagalan Moral Dan Kekejaman Masyarakat

Pertimbangkan hal berkaitan seksualiti manusia. Hubungan seks haram membawa padah kepada kesihatan awam; penyakit HIV dan jangkitan kelamin tegar yang lain adalah peringatan nyata tentang hakikat tersebut. Namun, menghukum ibu tanpa nikah tidak akan menghapuskan seks haram. Sebaliknya ia akanmendorong wanita yang terdedah ini ke arah pengguguran haram di lorong belakang atau tindakan terdesak membuang bayi—suatu tragedi kemanusiaan dan moral yang jauh lebih besar, di mana mangsa akhirnya ialah anak yang tidak berdosa. Krisis ini telah mencapai tahap epidemik di Malaysia moden.

Sama kejamnya ialah amalan masyarakat umum serta pemerentah yang mencap bayi yang lahir daripada ibu Muslim tanpa nikah dengan nama penaung sepanjang hayat "bin (atau binti) Abdullah" pada sijil kelahiran rasmi. Menerusi dekri birokrasi, masyarakat memaparkan stigma ke atas anak yang tidak berdosa ini seumur hayatnya.

Kemudian pertimbangkan pula hukuman Islam untuk seks haram—hukuman mati secara sebat atau rejam dengan batu. Tidak syak lagi, ia sesuatu yang biadap mengikut mana-mana piawaian budaya. Walau bagaimanapun, pertimbangkan cara untuk membuktikan kesalahan. Anda memerlukan empat orang saksi lelaki dewasa yang melihat perbuatan itu secara nyata. Maknanya, anda mestilah melakukan zina itu di tempat terbuka dan pada siang hari yang terang-benderang.

Kita mesti mengekalkan pemisahan yang jelas antara dosa dengan pelakunya. Lebih penting lagi, masyarakat serta pemerentah tidak boleh mengenakan kemudaratan sampingan berbentuk hukuman ke atas pihak ketiga yang tidak berdosa.

Privasi, Pihak Berkuasa, dan Semangat Bedouin

Terdapat satu riwayat mengenai Khalifah Umar yang melakukan rondaan malam—suatu bentuk awal "pengurusan meronda" (walkabout management)—apabila beliau terdengar perbualan pasangan bukan mahram di dalam sebuah kediaman peribadi. Khalifah Omar terus memecah pintu rumah mereka dan masuk mengisytiharkan mereka bersalah atas tuduhan zina, satu kesalahan yang membawa hukuman berat.

Lelaki tersebut memandang pemimpin termulia terus menjawab dengan tenang bahawa walaupun beliau dan pasangannya memang telah berdosa kepada Allah, tetapi si Khalifah pula sebaliknya telah melakukan kesalahan yang jauh lebih berat. Yakni membelakangkan hak ilahi mereka terhadap privasi peribadi.

Umar, rah, —dengan menunjukkan sifat tawaduk seorang pemimpin sejati—meminta maaf lalu berundur. Beliau memahami bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Pemurah berupaya mengampuni kegagalan moral peribadi. Seorang manusia bagaimanapun jarang sekali mempunyai sifat pemaaf sedemikian. Dengan menceroboh rumah mereka, Khalifah Umar telah berdosa secara langsung terhadap rakyatnya. Dalam perundangan Islam, wujud perbezaan yang amat mendalam antara pelanggaran terhadap Allah (Huquq Allah) dengan pelanggaran hak sesama manusia (Huquq al-'Ibad). Allah mungkin mengampuni solat yang kita tinggalkan; namun Dia tidak membebaskan anda daripada kezaliman yang anda lakukan terhadap jiran anda melainkan mangsa tersebut memaafkan anda terlebih dahulu.

Kisah itu juga menjelaskan sesuatu yang jauh lebih jelas. Yakni, keberanian minda kaum Bedouin awal. Mereka tidak tunduk kepada gelaran, tidak terpesona dengan kuasa, dan tidak teragak-agak untuk mencabar pemimpin mereka. Malah Khalifah Umar sendiri dituntut bertanggungjawab secara bersemuka. Nabi Muhammad (s.a.w.) sendiri kerap dipersoal dan dicabar oleh penduduk Makkah yang ragu semasa peringkat awal dakwah baginda.

Sebuah masyarakat tidak akan dapat mencapai keagungan—tidak juga dapat menyesuaikan diri dengan dunia yang sentiasa berubah—sekiranya warga rakyat terlalu takut untuk mempersoalkan pihak berkuasa. Di Malaysia kini, mengkritik tokoh politik boleh menarik perhatian Cawangan Khas polis. Manakala bagi para Sultan pula, mereka dianggap sebagai wakil Allah di bumi dan dengan itu mereka kekal dilindungi daripada kritikan awam. Jarang sekali yang berani bertanyakan soalan yang lebih teras: Mengapa Yang Maha Kuasa memerlukan seorang wakil diraja di bumi?

Seterusnya: Kebaikan Menentang Kejahatan

No comments:

Post a Comment