Mencari Hakikat Ramadan Dalam Datum Kufr
Mencari Hakikat Ramadan Dalam Darul Kufr
M. Bakri Musa 25 Feb, 2026
Sedutan daripada siri Al-Quran, Hadith, dan Hikayat saya akan bersambung minggu depan.
Mungkin disangkakan janggal atau satu paradoks, namun melalui kehidupan di dunia Barat yang sekular dan berstatus minoriti Muslim (Darul Kufr) saya sebenarnya lebih banyak mempelajari tentang hakikat serta makna dan inti Ramadan.
Pengalaman saya pertama di Darul Kufr adalah semasa pelajar tahun satu di Edmonton, Kanada, pada Januari 1964. Dengan waktu siang musim sejuk yang singkat, berpuasa bukanlah satu cabaran. Namun, timbul satu persoalan: Bagaimana pula jika musim panas? Saya ajukan soalan itu kepada ayah di Malaysia. Terbenggung, dia meminta nasihat dari Imam kampung kami.
“Ramadan,” pesan Imam tersebut kepada ayah saya, “bukanlah satu penyeksaan.” Al-Quran tidak bertujuan menyusahkan dan sememangnya telah pun menyediakan banyak pengecualian yang munasabah. Jika berpuasa di musim panas terlalu perit di Kanada, maka ikutlah waktu Arab Saudi atau Malaysia.
Imam kami semasa itu hanyalah seorang penduduk kampung biasa. Beliau menjadi Imam kerana kami, para jemaah, yang menggelarnya begitu. Orang kampung kagum dengan kesalehannya semasa zaman perit Perang Jepun. Masa susah adalah satu ujian, bukannya alasan—begitu nasihat beliau kepada anak kariahnya.
Tetapi hari ini di Malaysia, seperti kebanyakan negara Islam lain, para Imam dilantik oleh dan menjadi sebahagian daripada birokrasi gergasi negara. Jika tertangkap tidak berpuasa, seorang Muslim akan didenda dan dimalukan di khalayak ramai dengan diarak keliling bandar dalam kendera jenazah. Begitu juga jentera kerajaan semasa Ramadan makin lembap, persis suasana di Perancis pada bulan Ogos.
Peristiwa kedua adalah semasa saya bertugas sebagai pakar bedah di sebuah bandar pembalakan di Oregon. Saya dijemput oleh pengurus kilang itu untuk melawat gudangnya yang amat besar supaya saya lebih memahami jenis kecederaan yang mungkin dialami oleh pekerjanya. Saya melihat batang balak besar ditolak ke sana kemari dibelah oleh gergaji bulat yang ligat untuk dihiris menjadi papan pelbagai saiz dan bentuk. Bunyinya mesin yang membingitkan mampu menembusi tengkorak yang paling tebal. Kami terpaksa memakai pelindung telinga yang tebal, kasut besi, dan juga bertopi keledar. Komunikasi pula hanya melalui isyarat tangan yang tepat. Punat kecemasan merah yang boleh memerhentikan alat gergasi itu dengan serta merta diletakkan dengan jelas di merata tempat.
Selepas segala proses tolak, potong, dan balikkan yang kasar itu, produk akhir kemudiannya diasingkan dan dipindahkan ke sebuah bilik yang tenang, sejuk, dan terkawal suhunya di bangunan berasingan untuk proses "curing" (pematangan) selama beberapa hari. Hanya selepas itu papan dan kayu kayu itu akan sedia untuk dipasarkan, di mana ia akan sekali lagi berdepan dengan tekanan di kilang dan tapak binaan. Tanpa proses curing ini, kayu-kayu tersebut akan menjadi rapuh dan mudah patah, kata pengurus gudang itu. Itu bukanlah cara bijak untuk mengekalkan pelanggan!
Kita juga melalui pelbagai rintangan dan tekanan dalam kehidupan seharian. Kita juga perlu melalui proses "curing" atau mempunyai waktu "time out" sendiri. Itulah Ramadan bagi saya. Keadaan ketosis akibat berpuasa hanya mendalamkan lagi dimensi spiritual, melampaui waktu rehat biasa yang saya nikmati seperti ketika bercuti.
Beberapa tahun kemudian di Silicon Valley, California, saya dipanggil lewat tengah malam ke Bilik Kecemasan (BK) untuk merawat pesakit yang terkena tembakan. Terjaga daripada tidur yang nyenyak, apatah lagi setelah seharian berpuasa, cenderung membuatkan mood seseorang menjadi kacau—lebih-lebih lagi apabila anda menjangkakan kes tersebut adalah apa yang kami pengamal perubatan swasta gelarkan secara eufemisme "uncompensated case" (kes tanpa bayaran, yakni si penganggur). Saya pasti saya telah membuat ceboh heboh sehingga mengejutkan isteri saya yang tertidur. Menyedari kekecewaan saya, beliau bangun dan mengingatkan saya bahawa ini adalah bulan Ramadan, masa untuk bukan juga beramal tetapi juga bermurah hati bukan sahaja dalam perbuatan tetapi juga dalam pemikiran. Ingatan itu memberi ketenangan yang saya perlukan.
Amal jariah adalah teras Islam. Zakat fitrah semasa Ramadan adalah wajib bagi setiap Muslim kecuali golongan kurang upaya; mereka adalah penerimanya. Namun yang lebih penting tetapi sering diabaikan adalah "sedekah jiwa" (charity of spirit). Dalam banyak keadaan, saya telah berbuka dan membatalkan puasa semata-mata supaya saya dapat menumpukan tenaga saya kepada pesakit. Itulah kewajipan saya; itulah zakat saya.
Di Daul Kufr Amerika, bahagian kecemasan hospital wajib merawat semua pesakit tanpa melakukan "biopsi dompet" terlebih dahulu, dan para doktor perlu mengambil giliran bertugas di ER. Sehingga baru ini, tugas itu dilakukan secara percuma (pro bono). Di Daul Islam Malaysia beberapa tahun yanga lalu sewaktu bulan Ramadan, seorang pemuda meninggal dunia di dalam ambulans dalam perjalanannya ke hospital kerajaan selepas ditolak oleh sebuah hospital swasta. Ibu bapanya tidak sempat menyediakan wang deposit tepat pada masanya kepada hospital pertama.
Dalam Darul Islam) tumpuan utama pada bulan Ramadan adalah pada kerakusan makan di waktu malam, dan perincian kira-kira untuk mengumpul “pahala bonus” agama. Kononnya, beribadat pada malam ke-27 Ramadan lebih baik daripada seribu bulan!
Ramadan lebih bermakna bagi saya justru kerana ia hanyalah masa biasa bagi masyarakat umum di sini. Di samping peningkatan spiritual yang diharapkan, serta pinggang yang lebih ramping, saya, seperti jutaan umat Islam di seluruh dunia, menyambut baik kedatangan Ramadan.

0 Comments:
Post a Comment
<< Home