Bahasa Penghalang Untuk Berfikir Dengan Kritis
Bahasa Penghalang Untuk Berfikir Dengan Kritis
Oleh: M. Bakri Musa 4 Mac 2026
Bahasa berjalin rapat dengan budaya. Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Malaysia, dan dengan itu terikat dengan sistem pendidikan serta dasar-dasar negara kita. Seperti Teori Whorf dan Sapir, bahasa mencorakkan proses pemikiran kita.
Bahasa mempengaruhi cara kita melihat dunia dan alam sekitar. Dengan itu juga cara kita berfikir dan mentaraf realiti. Teori Whorf dan Sapir mungkin pernah dicabar atau skopnya disingkatkan, namun hakikatnya tetap sama: mempelajari bahasa lain akan memberikan kita perspektif yang berbeza tentang kehidupan serta realiti.
Cara ringkas renungkan di mana kita meletakkan kata sifat—sama ada sebelum kata nama seperti beautiful house (rumah cantik) dalam bahasa Inggeris, atau selepasnya dalam bahasa Melayu—dengan secara halus boleh mengubah cara seseorang berfikir.
Satu segi bahasa ialah dalam peranannya mengikat sesuatu kaum kepada dengan kumpulan atau organisasi. Lihat sahaja bahasa “rahsia” remaja, atau lingo dan slanga kumpulan kultus, terutamanya kumpulan agama. Dalam bukunya Cultish: The Language of Fanaticism, Amanda Montell menggunakan istilah “thought-terminating clichés” (klise pemati fikiran)—antitesis kepada pemikiran kritis—yang digunakan untuk mengawal minda dan menyekat pemikiran bebas dalam kumpulan kultus dan agama. Ungkapan seperti “Pendatang,” “Ketuanan Melayu,” dan “Keistimewaan” pada asasnya ialah satu bentuk “Bahasa rahsia.” Apabila ia dilaungkan, pemikiran dan perbincangan rasional terus tercampak ke luar.
Dengar wacana agama di masjid dan universiti tempatan. Sebaik sahaja tokoh atau teks lama dipetik, perbincangan pun tamat. Tidak boleh dibincangkan lagi. Apabila membincangkan kemunduran Melayu, jawapan pemimpin agama selalunya bersifat menolak: “Kita bukan memikirkan dunia material ini, tetapi Akhirat yang kekal!” Habis cerita! Tutup perbahasan! Anda hanya di suruh menerima—atau sekurang-kurangnya bertoleransi dengan—nasib buruk anda sekarang di dunia.
Bandingkan Bahasa Melayu dan Inggeris. Kedua-duanya mempunyai intonasi yang berbeza. Dalam bahasa Inggeris, penekanan pada suku kata pertama; dalam bahasa Melayu, pada yang terakhir. Apabila anda mencampuradukkannya secara semberono, terhasillah “Manglish” (Bahasa Inggeris cara Malaysia) yang menjengkelkan. Ia akan memberi anda cognitive dissonance (pertembungan kognitif) tahap tertinggi, ibarat menyanyi dengan nada yang sumbang!
Saya dapati Manglish bukan sahaja sukar difahami, malah mengelirukan dan menjengkelkan. Ia juga mencerminkan pemikiran yang berserabut serta rasa rendah diri penuturnya. Orang Melayu—daripada profesor hebat hinggalah pemimpin negara—suka menyelitkan Bahasa Inggeris dalam ucapan merka semata-mata untuk menunjuk pandai atau membuktikan mereka pernah belajar di luar negari.
Saya tidak pernah mendengar Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama kita, berbuat demikian. Apabila beliau berucap dalam Bahasa Melayu ketika berkempen di kampung, beliau menggunakan bahasa yang tulin, beradat, dan klasik. Beliau tidak pernah menggunakan bahasa rojak atau pasar. Beliau juga tidak perlu mencemar ucapannya dengan perkataan Inggeris. Maklumlah, beliau lulusan Cambridge Universiti.
Untuk perubahan yang menyegarkan, lihatlah bagaimana pemimpin Kanada berucap. Kanada ialah negara dwibahasa—Inggeris dan Perancis. Apabila Perdana Menteri Mark Carney mengadakan sidang media atau berucap di Parlimen, beliau akan menyampaikannya dalam bahasa Inggeris atau Perancis sepenuhnya, kemudian menterjemahkannya ke bahasa yang satu lagi. Tiada adunan bahasa yang mengelirukan seperti pemimpin Malaysia. Itu mencerminkan pemikiran yang jelas. Mereka menghormati kedua-dua bahasa tersebut serta penutur aslinya.
Manglish mencerminkan rasa rendah diri dan ketidakselesaan orang Melayu. Begitu juga tabiat sewenang-wenangnya “memelayukan” perkataan Inggeris seperti situasi (situation) dan mengappresiasikan (to appreciate).
Lebih buruk dan menjengkelkan—jika tidak mahu dikatakan mengganggu—adalah apabila pemimpin kita kini menambah bunga-bunga bahasa Arab dalam ucapan Manglish mereka. Mereka berbuat demikian bukan untuk kejelasan, tetapi untuk memperaga ilmu agama mereka kepada pendengar.
Lihatlah majlis rasmi di Malaysia. Tidak cukup sekadar hanya mengucap “Selamat Datang” seperti zaman dahulu. Mesti ada mukadimah panjang memuji Tuhan, Nabi, dan Sultan, disusuli bacaan ayat suci yang meleret-leret. Majlis berlarutan berjam-jam, seolah-olah peserta tiada kerja lain selain daripada mendengar ucapan yang membosankan. Bukan kerana mereka tiada isi untuk disampaikan, tetapi kerana mereka tidak cekap. Maka, penggunaan upacara panjang lebar itulah menjadi helah untuk melindungi ketidakcekapan mereka.

0 Comments:
Post a Comment
<< Home