Menfaat Kefasihan Dwi- Dan Beberapa Bahasa
Manfaat Kefasihan Dwi- dan Beberapa Bahasa
M. Bakri Musa
11 Mac 2026
Saya fasih dalam Bahasa Inggeris (BI) dan juga Bahasa Melayu (BM). Malah saya bermimpi pun dalam kedua bahasa. Namun apabila berbicara, saya hanya menggunakan satu bahasa sahaja. Saya belum lagi terjangkit dengan tabiat menjengkelkan yang cukup ketara dalam kalangan orang Melayu dan Filipina di mana mereka bertukar-tukar bahasa dalam satu ayat pun. Pakar linguistik mengistilahkan itu sebagai code switching. Tetapi di Malaysia profesor dan pemimpin tempatan kita nampaknya tidak mampu menghabiskan wacana yang ringkas pun dalam bahasa Melayu atau Inggeris yang sempurna. Semuanya bisa bercampur-aduk, tunggang-langgang bahasa rojak atau pasar. Apa yang dikenalkan sebagai Manglish.
Banyak manfaatnya jika seseorang itu fasih dalam beberapa bahasa. Mereka yang amat teristimewa di dunia sekarang ialah mereka yang fasih dalam pelbagai bahasa dan satu antaranya ialah BI. Mereka yang ketinggalan ialah mereka yang fasih dalam satu bahasa sahaja, ban bahasa itu ialah bukan BI. Kemunduran masyarakat Melayu ialah disebabkan kita fasih hanya dalam BM. Pengedar sayur Cina di kampung dan juga peniaga di bandar tidak mungkin maju jika mereka fasih hanya dalam Bahasa Cina sahaja.
Semasa dalam kelas Sastera Inggeris tahun pertama di universiti Kanada dahulu saya sering menerima ulasan memuji karangan saya dengan kata seperti “sudut pandangan yang menarik!” Begitu juga saya mendengar pujian serupa dalam pelbagai mesyuarat jawatankuasa apabila saya mengemukakan jalan tengah atau kompromi.
Pada mulanya saya sudah tentunya berasa mendabik dada kerana kononnya bijak luar biasa. Namun setelah bermuhasabah, saya sedar ia lebih kepada keupayaan saya untuk melihat dari pelbagai sudut pandangan dan perspektif. Saya menyandarkan kelebihan ini kepada kemampuan saya bertutur dalam dua bahasa serta pengalaman hidup dalam beberapa budaya yang berbeza. Itu melatih saya supaya lebih peka terhadap realiti dan pandangan yang rencam.
Kami pernah mempunyai rakan lama sejak zaman belajar di Kanada dulu, yakni Karen Crouse dan suaminya, Badri Muhammad. Kedua merupakan Profesor Kimia terlama di Universiti Putra Malaysia. Karen dapat menyesuaikan dirinya dengan begitu baik serta cepat di Malaysia sehinggakan setiap kali saya merungut tentang kerenah birokrasi tempatan, dia akan menenangkan saya dengan berkata, “Mereka melakukannya dengan cara berbeza di sini, Bakri!”
Bukan salah tetapi berbeza atau berlainan. Pandangan begitulah yang menentukan sama ada anda menerima sesuatu dengan ketenangan atau kekecewaan, apatah lagi menentukan kejayaan atau kegagalan. Karen Crouse cepat memfasihi BM dan boleh menyampaikan kuliahnya dalam bahasa tersebut dalam tempoh yang singkat.
Bandingkan Karen dengan ramai warganegara Malaysia yang bukan Melayu dan yang lahir dan menetap seumur hidup di Malaysia tetapi gagal menguasai BM. Contoh ternyata serta menyedihkan ialah Tommy Thomas, seorang peguam terkemuka yang mendapat keistimewaan menjadi seorang bukan Melayu pertama dilantik sebagai Peguam Negara. Itu satu pencapaian yang gemilang dan patut di puji setinggi.
Namun pada sidang media rasminya pertama, dia dengan tanpa segan silu terus berucap dalam BI. Beliau meminggirkan dan tidak langsung menghormati Bahasa Kebangsaan kita. Malah beliau tidak sedikit pun merasa malu dan segan atas perbuatannya serta kekurangan peribadi yang amat ketara itu. Hakikatnya keadaan adalah sebaliknya; beliau seolah-olah sukar menyembunyikan rasa jelik terhadap bahasa tersebut. Dan dia lahir serta membesar di Malaysia!
Tingkah laku Thomas amat berbeza serta memalukan jika dibandingkan dengan semua menteri bukan Melayu sebelum ini. Seolah-olah beliau mempersendakan Bahasa Kebangsaan dan budaya yang mendukungnya. Namun dalam masa yang sama beliau dengan bangganya mempamerkan dan menikmati gelaran feudal Melayu yang dianugerahkan kepadanya. Percayalah tingkah laku Thomas akan memberi kesan buruk yang tidak mungkin senang dilupakan. Tidak hairanlah jika masa yang sangat lama sebelum seorang lagi bukan Melayu dipertimbangkan untuk jawatan sedemikian. Thomas telah meracuni air perigi.
Saya sudah lama menyarankan penyuntikan bakat segar dari luar di aras tinggi ke dalam perkhidmatan awam bagi menyuntik nafas baru kepadanya. Tetapi tingkah laku Thomas menambah beban dan cabaran untuk berbuat demikian sekali lagi.
Tommy Thomas dan Karen Crouse mencerminkan apa yang dirujuk oleh pakar psikologi Stanford, Carol Dweck, sebagai individu dengan “minda tertutup” (fixed mindset) bagi Thomas dan “minda berkembang” (growth mindset) bagi Karen. Thomas, dan mereka yang berminda tertutup, melihat mempelajari BM sebagai menunduk kepada masyarakat Melayu dan bukannya sebagai satu lagi kemahiran yang amat berguna dan memanfaatkan.
Seterusnya: Bias Keakuran Sebagai Penghalang Pemikiran Kritis

0 Comments:
Post a Comment
<< Home