Pengajaran Dari Kelas Falsafah
Pengajaran Dari Kelas Falsafah
M. Bakri Musa
Petikan #12 daripada buku saya Qur’an, Hadith, Dan Hikayat: Latihan Dalam Pemikiran Kritikal.
Semasa di universiti dahulu saya pernah mengambil kursus falsafah, khususnya logic, daripada seorang profesor yang amat berminat kepada Socrates, seperti semua ahli falsafah Barat. Beliau juga tidak suka bersyarah. Alasannya ialah sipelajar boleh dengan sendiri membaca teks yang diberikan pada masa dan tempat pilihan sendiri. Oleh sebab itu kelasnya agak rengan sedikit dan di isi dengan perbincangan, bantahan, dan soal jawap.
Salah satu latihan beliau ialah untuk anda untuk berfikir menghadapi satu soalan hidup yang penting. Mithalnya, patutkah saya membeli kereta baharu atau membaiki kereta yang sedia ada? Atau tidak membeli langsung dan sebaliknya mengunakan pengangkutan awam. Tajuk yang lain pula adalah patutkah menyambung pengajian ke peringkat siswazah atau mencari pekerjaan; berkahwin sekarang atau menunggu. Beliau kemudian akan meminta kami semua mencatat keputusan dengan segra, menyokong atau menentang, yakni secara impulsif.
Beberapa dekad kemudian Daniel Kahneman akan mengistilahkan itu sebagai "pemikiran pantas" dalam bukunya,Thinking, Fast And Slow (Berfikir: Pantas Dan Perlahan).
Selepas itu professor saya akan mulakan perbincangan dan diikuti dengan meminta kami menyenaraikan kebaikan dan keburukan setiap alasan. Kami akan memberikan pemberat numerik kepada setiap kenyataan. Pada akhirnya kami akan menjumlahkan yang setuju dan tidak setuju (atau yang positif dan negative). Kemudian kita akan membandingkan sama ada keputusan "pemikiran pantas" yang dibuat sebelum analisis mendalam bersetuju dengan "pemikiran perlahan" yang dibuat selepas analisis dengan teliti.
Itu adalah satu latihan beliau untuk penuntutnya membuat sesuatu keputusan yang rasional. Itulah satu pengajaran yang saya dapati berguna dan relevan sepanjang hidup.
Memandangkan dilema saya (patutkah saya terus tinggal di Kanada untuk mengikuti pasca siswazah atau pulang ke Malaysia dengan segera?) agak luar biasa, ia dibincangkan secara meluas sebagai contoh membuat keputusan yang mendalam dan bermakna. Sebagai tambahan pula, perbincangan dengan senang pula beralih kepada tanggungjawab komuniti berbanding aspirasi peribadi, di mana kedua-duanya akan selari dan apabila mereka akan bertentangan, sambil profesor kami membimbing dan mendorong, seperti Socrates.
Kami semua (terutamanya saya) terkejut betapa berbezanya keputusan kami yang dibuat sebelum dan selepas analisis teratur dan teliti. Itu juga kali pertama saya terfikir untuk tidak pulang dengan serta-merta tetapi kekal meneruskan pengajian pasca ijazah serta menimba pengalaman berharga sebelum pulang balik ke tanah air. Saya ingin pulang sebagai pakar bedah yang berpengalaman, bukan yang separuh mantah.
Merenungkan kembali kelas latihan itu, dan setelah menggunakan teknik berfikir pantas dan perlahan berkali sejak itu, banyak keputusan yang telah saya buat dimana saya paksa diri saya membuat analisis hiliran yang teliti dan tidak membuat keputusan terburu dan dipengaruhi oleh suasana semasa. Kahneman menghuraikan itu dalam bukunya Thinking, Fast And Slow (Berfikir–Pantas Dan Perlahan). Beliau ialah seorang yang bukan ahli ekonomi yang pernah dianugerahi Hadiah Nobel dalam bidang Ekonomi untuk pandangan beliau mengenai bagaimana membuat sesuatu keputusan.
Bertentangan dengan kebijaksanaan yang berlaku dalam disiplin ilmu itu, manusia bukanlah Homo economicusrasional yang kita sangkakan, yang hanya sibuk dengan mencari "utiliti maksimum". Emosi dan faktor luaran lain juga memainkan peranan penting apabila kita membuat sesuatu keputusan.
Socrates mengulangi sesuatu yang serupa dua alaf yang lalu: kenali dirimu sendiri! Atau lebih terkenal dipetik, kehidupan yang tidak diperiksa tidak bernilai untuk dijalani, mencerminkan kepentingan memikirkan diri sendiri dengan kritikal. Sebagai seorang doktor dan seorang Muslim, saya tidak bersetuju dengan itu. Semua nyawa dan kehidupan adalah anugerah Allah yang berharga. Semuany bernilai.
Semasa saya kecil ayah saya pernah menggunakan cara berfikir yang setanding dengan apa yang sekarang disifatkan sebagai "berfikir perlahan" (slow thinking). Sebelum meninggalkan rumah untuk perjalanan, beliau pernah berhenti dan bertanya, "Semua sudah sedia?" Jika kami menjawab dengan cepat "Ya" secara sambil lewa, beliau akan bertanya dengan lebih tertentu seperti sama ada pintu belakang rumah telah dikunci dan adakah kami meninggalkan air yang cukup untuk kucing. Tindakan berhenti sesaat dua itu, atau memperlahankan pemikiran kami dengan bertanya, memaksa kita untuk menyemak semula perkara secara mental. Sungguh menakjubkan berapa kerap kita terlupa untuk mengunci pintu atau mematikan lampu.
Berhenti untuk berfikir, atau dikenali sebagai mempertimbangkan, akan mencetuskan banyak soalan seperti: apa, mengapa, bila, dan yang paling penting, "bagaimana jika" dan pertanyaan "adakah anda pasti?" Hanya dengan mengajukan soalan mudah itu, kita sudah berada di landasan yang baik untuk melatih berfikir dengan teliti dan mengakibatkan penyelesaian atau jawapan yang lebih memuaskan dan Berjaya. Itu juga akan memebri keputusan yang lebih bermaklumat.
Itu caranya anak kecil belajar, dengan bertanya "mengapa" yang tidak bersudahan. Itu mungkin menjengkelkan ibu bapa tetapi pada akhirnya itu menajamkan dan meningkatkan pembelajaran si anak.



0 Comments:
Post a Comment
<< Home