Pengulas Ulung Malaysiana: Din Merican (1939-2026)
Pengulas Ulung Malaysiana: Din Merican (1939-2026)
M. Bakri Musa
12 April 2026
Saya amat berdukacita mendapat khabar kematian sahabat lama serta rakan pengulas hal-ehwal Malaysiana, Din Merican. Tidak hairanlah saya menerima berita sedih itu melalui media sosial kerana Din lebih terkenal menerusi blognya yang amat ramai pembaca, “The Malaysian DJ Blogger.” Walaupun begitu, media arus perdana termasuk akhbar harian The New Straits Times turut menyiarkan berita tersebut.
Hanya beberapa bulan yang lalu kami berbual melalui celfon. Walaupun beliau di serang dengan strok beberapa tahun yang lalu, perbualan kami agak racak dan panjang. Kecuali sedikit telat pada pertuturan dan rungutannya tentang tetapan telefon bimbit yang mengelirukan—perkara biasa bagi kami warga emas dengan jari yang semakin kurang tangkas—kami tiada masalah untuk berbicara. Pemikiran Din tetap tajam, bernas, dan sangat prihatin terhadap perkembangan politik tempatan; minat yang menjadi titik pertemuan antara kami berdua walaupun sebelum itu membawa haluan masing-masing.
Pertemuan pertama saya dengan Din, seperti yang dijangka, adalah melalui tulisan beliau. "Surat kepada Pengarang" yang dikirimnya ke majalah Far Eastern Economic Review (kini sudah tiada) mengkritik rencana saya, “Cabaran Ekonomi Malaysia” (“Malaysia’s Economic Challenges,” 2 April 1998). Beliau berpendapat saya tidak adil terhadap pentadbiran Mahathir dan tokoh itu sendiri, memandangkan Malaysia ketika itu sedang menderita dan bersungguh-sungguh berpulih daripada Krisis Ekonomi Asia 1997.
Selepas beberapa pertukaran e-mail, kami berdua menyedari bahawa perselisihan awal bukanlah dari segi prinsip, tetapi hanya pada tahap penekanan. Kesedaran itu membawa kepada banyak ulasan bersama kami berdua. Yang pertama adalah kecaman terhadap serbuan polis cara kuno dan biadab oleh pentadbiran Abdullah yang baru terhadap Malaysiakini.com yang ketika itu baru setahun jagung (“What Has The Malaysiakini Raid Wrought,” 27 Feb 2003). Perlakuan itu merupakan pemerhatian awal yang tepat tentang kepimpinan Abdullah yang kasar dan tidak cekap. Beliau kemudiannya dipaksa keluar oleh orang yang meletakkannya—Mahathir.
Din pernah disiasat oleh Cawangan Khas Polic Negara juga pada zaman Abdullah. Din tidak gentar. Syukurlah tiada yang di ingini berlaku kepada dia.
Saya banyak terhutang budi kepada Din kerana dia sering menyiarkan semula ulasan saya di blognya. Sebelum itu waktu beliau berada di Institut Asia-Eropah Universiti Malaya, beliau memainkan peranan penting dalam memastikan buku pertama saya, The Malay Dilemma Revisited: Race Dynamics In Modern Malaysia diterbitkan di tanah air pada tahun 2000, walaupun dengan secara sembunyi. Berikut saya dijemput memberi syarahan di kampus. Namun, jemputan tersebut kemudiannya ditarik balik oleh pihak pentadbiran university. Itu memalukan profesor kanan yang memulakan usaha tersebut.
Din hanya beberapa tahun sahaja lebih tua daripada saya. Kami antara segelintir insan yang bertuah kerana mendapat manfaat daripada pendidikan Barat yang unggul tajaan penjajah British. Ibu Din, seorang jururawat yang pernah bekerja di klinik perubatan swasta Mahathir, menginsaf nilai tinggi pendidikan moden yang disediakan oleh pihak penjajah yang secular itu. Bagi saya pula, para pensyarah Inggeris di Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim dan Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka pula yang telah menerapkan nilai tersebut kepada ibu bapa saya. Tidak pernah terlintas dalam fikiran kami, dulu mahupun sekarang, untuk mempersoalkan motif si penjajah. Kami cuma merebut peluang yang ada.
Din bersekolah di Penang Free School, satu institusi elit dan lulus dari Universiti Malaya pada zaman di mana ia beraspirasi untuk menjadi “Oxbridge Tropika” dan belum lagi dicemari oleh kaum nasionalis membuta. Beliau kemudiannya mendapat ijazah MBA dari George Washington Universiti. Dengan itu beliau menerajui banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pada masa di mana usaha sebegitu belum lagi dikaitkan dengan rompakan besar-besaran harta rakyat.
Saya merenung. tertanya-tanya di manakah kedudukan Malaysia dan orang Melayu khususnya hari ini sekiranya British pada waktu itu turut membina "Terengganu Free School" atau "Kelantan Free School". Begitu juga, di manakah orang Melayu hari ini jika wujud rantaian "Anglo-Malay Schools" di pekan-pekan kecil kita dahulu. Satu renungan semasa kegelisahan terhadap sistem pendidikan semasa.
Din seolah mendapat nafas baru selepas bersara apabila beliau berkhidmat di University of Cambodia. Beliau berasa segar secara intelektual dengan ramai anak muda Kemboja yang cerdik yang berpeluang dibimbingnya. Terkilan sedikit sebab kehidupan indah itu terganggu apabila beliau diserang angin ahmar. Universiti di negara Dunia Ketiga tidak begitu mesra terhadap kakitangan mereka apabila mereka tidak lagi berdaya.
Isteri Karen dan saya amat gembira dapat bertemu dengan Din dan isterinya Kamsiah semasa mereka melancung di California pada Julai 2011. Walaupun masa kami bersama hanya sehari sahaja, itu meninggalkan kenangan mendalam bagi kami. Bagi saya, ia seolah bertemu dengan "soul mate" yang lama hilang.
Din, terima kasih kerana sudi berkongsi pandangan dan menjadi sebahagian besar kehidupan intelektual saya. Dan terima kasih atas syor yang sangat saya hargai, yakni pandangan saya tidaklah jauh dalam belukar. Berehatlah kamu dengan tenang wahai sahabatku, dan semoga Allah menempatkanmu di kalangan hamba-hamba-Nya yang paling di borkati.



0 Comments:
Post a Comment
<< Home