Membalas Jasa Mereka Yang "Berbuat Baik"
Membalas Jasa Mereka Yang “Berbuat Baik”
M. Bakri Musa
Petikan daripada Qur’an, Hadith, And Hikayat: Exercises In Critical Thinking (2021)
4 hb November 2026
Renungkan hadis terkenal mengenai membendung kemungkaran: ubah dengan tangan. Jika tidak berdaya, dengan lidah; dan sekiranya itu pun gagal, maka dengan hati kita—walaupun itu menandakan selemah iman. Sebaliknya, apakah sepatutnya dorongan kita apabila menyaksikan sesuatu kebaikan yang dilakukan? Bagaimanakah tindak balas kita apabila seorang ahli masyarakat bertindak dengan inisiatif, kecerdasan, atau daya usaha kemasyarakatan?
Hikayat Melayu purba menawarkan jawapan yang cukup tajam dan menggerunkan. Hikayat Singapura Dilanggar Todak mengisahkan seorang anak lelaki yang bijak, Hang Nadim, yang menyelamatkan Singapura daripada serangan ikan todak. Penyelesaian sicerdik ini namun amat bernas: tanam batang pisang di sepanjang pantai supaya muncung tajam ikan yang menyerang akan terlekat pada batang pisang yang lembut dan bukan kepada tubuh manusia. Kisah ini merupakan cerita anak Belanda yang menyelamatkan desanya dengan menyumbat jarinya pada benteng yang bocor. Namun, lihatlah jurang perbezaan budayanya: di Belanda, budak tersebut diabadikan sebagai wira negara; manakala dalam budaya Melayu, kepintaran budak muda yang menanam pisang itu dilihat sebagai ancaman maut kepada ego Sultan yang rapuh. Apa lagi sibijak muda ini akan fikirkan kelak bila dia dewasa dan akan lebih cerdik lagi!
Oleh sedemikian penasihat sultan berrasa tidak selamat dan terancam. Dengan itu si bijak muda ini dihukum mati. Hikayat yang tragis itu bukan sekadar dongeng purba; ia kekal sebagai metafora yang mendalam bagi penyakit budaya yang berlarutan. Masyarakat kita dengan sengaja menghukum dan menindas akal budi dan daya usaha yang sepatutnya boleh menyelamatkan kita.
Keendahan Usahawan Harian
“Berbuat baik” mengambil pelbagai bentuk dan upaya. Renungkan satu usaha perniagaan. Seberapa kecil sekalipun itu merupakan salah satu usaha yang paling utama dan baik. Ambil contoh si penjual goreng pisang di tepi jalan. Gerai kecilnya mewakili bentuk kapitalisme yang paling asas, garis dasar bagi daya usaha manusia. Namun disitu terdapat maruah dan nilai kemasyarakatan yang amat mulia dalam usaha harian beliau. Pertama, beliau memenuhi keperluan mendesak masyarakat setempat secara terus dengan menyediakan rezeki yang mampu dibeli. Kedua, beliau berada di pusat rangkaian ekonomi yang rumit, mewujudkan permintaan untuk petani pisang, pengeluar minyak masak, dan pembekal gas memasak. Pertimbangkan perkelanaan sekeping wang kertas sepuluh ringgit yang diserahkan di atas kuali yang berdesir itu. Apabila wang itu berpindah daripada pelanggan kepada penjaja, kemudian daripada penjaja kepada petani, dan seterusnya kepada pembekal, ia mencetuskan tindak balas berantai perdagangan, kemakmuran, dan ihsan sesama manusia. Dari sudut ekonomi, kesan riak ini pada hakikatnya tidak terhad. Ahli ekonomi memanggil fenomena ini sebagai “kitaran pantas wang” (velocity of money). Itu adalah satu petunjuk penting yang mengukur kesihatan dan kecergasan sesebuah ekonomi. Apa yang gagal disedari oleh perancang sosial yang acah serba tahu ialah penjaja kecil itu melakukan lebih banyak usaha untuk menyegarkan masyarakatnya berbanding belasan bantuan kerajaan.
Penjanaan Kekayaan Sebagai Nilai Sosial
Apabila prinsip ini diperluaskan, tokoh seperti Elon Musk dan Jeff Bezos melakukan kebaikan yang amat besar semata-mata dengan memenuhi keinginan masyarakat secara meluas—sama ada melalui kenderaan elektrik yang tidak mencemarkan atau logistik global tanpa hambatan. Mereka mengumpul kekayaan peribadi yang melimpah dalam proses tersebut. Itu bukanlah bukti ketamakan tetapi mencerminan nilai ekonomi yang telah mereka hasilkan untuk jutaan orang. Sekiranya mereka gagal menyediakan produk yang berguna, kuasa pasaran akan sudah tidak lama menutup perniagaan mereka. Adam Smith merakamkan pandangan mendalam yang malar segar ini dalam karya agungnya, The Wealth of Nations (Kemewahan Sebuah Negara):
"Bukan daripada sifat pemurah hati seorang penyembelih lembu, pembuat sarapan, atau pembakar roti yang kita harapkan hidangan makanan kita, melainkan daripada kepentingan diri mereka sendiri."
Walaupun para pedagang bertindak demi kepentingan peribadi, mekanisme pasaran menyelaraskan cita-cita tersebut sehingga masyarakat am dapat menikmati barangan dan perkhidmatan yang amat diperlukan. Inilah takrifan seorang usahawan yang paling kukuh, berfungsi, dan anggun.
Malah sebelum mengambil kira yayasan kebajikan mereka, tokoh seperti Bill Gates dan Warren Buffett telah melakukan "kebaikan" yang jauh lebih besar menerusi perniagaan teras mereka. Secara langsung, mereka mewujudkan ratusan ribu pekerjaan berpendapatan tinggi; secara tidak langsung mereka juga menjadi pemangkin kepada pertumbuhan seluruh industri.
Bagi diri saya, perisian pemprosesan kata ciptaan (wood processing software) Gates telah merintis revolusi dalam karya saya sendiri sebagai penulis. Jika dahulu saya terpaksa menaip semula keseluruhan halaman manuskrip hanya untuk membetulkan satu kesilapan ejaan, hari ini saya dapat membetulkannya hanya dengan satu ketukan kekunci yang cukup lancar. Jumlah waktu produktif yang berhasil dijimatkan di seluruh dunia sungguh menakjubkan.
Keusahawanan, Iman, dan Dilema Melayu
Sungguh mendalam dan sarat dengan iktibar apabila Allah memilih seorang peniaga dan kapitalis yang berpengalaman sebagai Rasul Terakhir-Nya. Islam tidak pernah memandang hina perdagangan; sebaliknya, ia memuliakan perniagaan yang beretika. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW: "Peniaga yang jujur lagi amanah akan bersama para nabi, orang-orang yang jujur, dan para syuhada pada Hari Kiamat."
Di mana masyarakat yang mundur dan jumud, saya akan tunjukkan sebuah masyarakat yang menindas kebebasan serta tidak menghormati para usahawan mereka. Begitu juga dengan negara. Di mana kerajaannya bercampur tangan secara keterlaluan dalam urusan perniagaan, itu akan mematikan nita serta naluri perusahan kreatif warganya.
Malaysia merupakan contoh utama. Warganegara bukan-Melayu secara sejarahnya telah membuktikan daya tahan keusahawanan yang luar biasa justru kerana "Big Brother"—iaitu tangan berat naungan kerajaan—tidak wujud untuk memanjakan atau mengarah mereka. Mereka terpaksa berinovasi, bersaing, dan bertahan berteraskan kebolehan mereka semata-mata.
Lihatlah negara Cina. Hanya dalam masa dua keturunan sahaja mereka bangkit daripada satu negara yang lumpuh dalam kesengsaraan ekonomi kerana kerajaan totalitarian mereka lebih mengutamakan aparat parti yang parasitik berbanding golongan pengeluar dan inovator. Para pemimpin moden China kini telah mempelajari iktibar pahit daripada keterlanjuran campur tangan kerajaan lalu membebaskan sektor perusahaan swasta, seterusnya mencetuskan keajaiban ekonomi yang tiada bandingannya.
Malangnya kearifan asas yang mudah ini terus terlepas daripada kefahaman kepimpinan politik Melayu, dulu mahupun sekarang. Selagi kita tidak berhenti memandang serong terhadap usaha individu—dan selagi kita tidak berhenti berwatak seperti Sultan yang paranoid yang mengeksekusi budak lelaki berpagarkan batang pisang itu, kita akan terus terperangkap dalam kemunduran yang kita cipta sendiri. Kita tidak boleh salahkan bangsa lain.
