Dilema Melayu Masa Kini
Dilema Melayu Masa Kini
M. Bakri Musa
Kedua Daripada Tiga Bahagian: Contohi Ireland Dan Quebec
[Dalam Bahagian Pertama saya mengutuk budaya kita yang asyik dengan peraga. Akibatnya ialah keadaan semasa yang memalukan di mana negara maju tetapi kaum Melayu tidak ikut bersama makmur. Dalam bahagian ke dua ini saya mendorongkan supaya masyarakat kita mencontohi rakyat Ireland pada tahun 1950-an dan Quebec pada tahun 1960-an untuk mengatasi cabaran semasa.]
Malaysia hari ini mengingatkan saya kepada keadaan negeri Ireland pada 1950-an dan provinsi Quebec, Canada, pada 60-an. Orang Melayu hari ini, seperti orang Ireland dan Perancis-Kanada ketika dulu, berada di dalam cengkaman ketat para nasionalis dan seagama kita. Anak Melayu berpusu-pusu belajar Bahasa Arab, hadis, dan ilmu wahyu hingga mengabaikan Bahasa Inggeris, sains, dan matematik. Orang Ireland dan Perancis-Kanadi dahulu juga sibuk dengan tasbih dan katekismus (catechism) mereka; kita Melayu sekarang dengan ratib dan zikir.
Orang Ireland dulu heboh untuk menghidupkan semula bahasa mereka yang sudah lama mati, yakni Gaelic. Orang Melayu hari ini tidak mahu kanak kanak kita belajar bahasa lain. Belajar Bahasa Inggeris disifatkan sebagai menghina bahasa ibunda dan bukan seperti yang sepatutnya, yakni mencari satu kemahiran yang berharga serta diperlukan.
Perusahaan besar di Malaysia sekarang berada di tangan orang bukan Melayu manakala orang Melayu heboh dengan politik sahaja. Di Ireland ketika dulu, perniagaan utama berada dalam genggaman Inggeris manakala orang Ireland sibuk untuk menyatukan semula dengan kerabat mereka ke Utara. Orang Quebec pula sibuk hendak berpisah dari Kanada.
Oleh sebab sistem pendidikan Ireland di masa dulu ketat di bawah kawalan gereja, dengan mata pelajaran penuh dengan unsur agama sahaja, pusat pengajian yang terkemuka ialah yang berkaitan dengan Protestan Inggeris. Jika ada ibu bapa orang Katolik Ireland yang bercita tinggi untuk masa depan anak mereka dan ingin mendaftarkan anak mereka di institusi Inggeris, mereka di anggap murtad. Pada tahun 1960-an, Mary Robinson, yang kemudiannya menjadi Presiden perempuan Ireland yang pertama, terpaksa mengambil kebenaran khas daripada paderinya untuk belajar di Trinity College, satu institusi kemuka Inggeris.
Sean Lemass, Perdana Menteri Ireland dari 1959 hingga 1966, berjaya mengubah nasib rakyatnya. Dia bermula dengan menyingkat kuasa dan pengaruh Gereja dengan melucutkan kawalannya ke atas dasar sosial dan pendidikan. Dengan itu anak Irish kini boleh meninggalkan sekolah dan kolej Katolik mereka yang bermutu rendah untuk menghadiri sekolah Inggeris yang lebih unggul tanpa rasa takut bahawa mereka akan dilihat sebagai berdosa. Begitu juga mereka kini boleh menggunakan kontraseptif tanpa rasa takut akan azab abadi.
Lemass membebaskan akhbar serta media am, termasuklah yang di miliki oleh kerajaan. Dengan sekali gus dia mendedahkan rakyat kepada dunia yang lebih luas dan perbagai pandangan. Beliau juga menggalakkan kritikan terhadap kepimpinan dan dasar beliau, mencerminkan keyakinan dan kecekapan beliau. Dan sunggoh pun orang Irish bersikap benci kepada orang Inggeris termasuk kepada bahasanya, Lemass mengistiharkan supaya bahasa Inggeris, bukan Gaelik, menjadi Bahasa resmi Ireland. Orang Irish sekarang tanpa segan silu memuji pengarang mereka dalam Bahasa Inggeris seperti James Joyce. Sementara itu merentasi Atlantik Utara dan sadekat kemudian, Jean Lesage dari Quebec melakukan serupa kepada kaum Perancis-Kanadien di wilayah mundur itu.
Disebaliknya renungkan sedikit tangkah laku Sasterawan Negara kita Muhammad Haji Salleh. Dia tidak lagi ingin menulis dalam Bajasa Inggeris sebab itu kononnya ialah satu perbuatan derhaka atau menunjokkan tidak percaya kepada bangsa dan bahasa. Tetapi dia sendiri fasih dalam duibahasa.
Pilihan atau jalan masa depan untuk Malaysia khasnya kaum Melayu ialah untuk mengikuti cara orang Ireland dan Quebec supaya kaum kita boleh dianggap dalam kalangan masyarakat yang maju.
“Melayu malas,” “Melayu mudah lupa” dan stereotaip pemusnah lain yang menyamar sebagai ‘penjelasan’ dan ‘penyelesaian’ lebih mencerminkan kebodohan mereka yang mengucapkannya. Bandingkan dengan apa yang ditulis oleh orang Inggeris dahulu tentang orang Cina dan candu mereka, orang India sistem kasta mereka, dan orang Ireland agama mereka. Lihat di mana mereka sekarang.
Jika orang Melayu malas, soalan seterusnya dan segera kita tanya ialah, kenapa dan mengapa? Mungkin mereka mendapat pampasan dan hasil yang rendah untuk usaha mereka. Petani Amerika tidak "malas" kerana mereka mempunyai sokongan harga untuk produk mereka, walaupun ianya negara kapitalisme. Selain daripada itu petani di Amerika mendapat pinjaman subsidi untuk membeli jentera lading yang membolehkan mereka dengan sekali gus meningkatkan produktiviti dan keluaran mereka. Renungkan sedikit. Semasa Perentah Jepun dahulu tiada orang Melayu yang malas! Malas dan engkau akan di kerah atau di hantar berkerja di “kerata api mati” di Burma.
Renungkan pencapaian akademik dan lain-lain yang rendah antara murid Melayu. Pada tahun 1950-an pakar ekonomi Ungku Aziz mencadangkan untuk mengukur tinggi dan menimbang berat serta melakukan ujian darah ke atas anak-anak kampung. Penyelidikan yang mudah itu, jika dilakukan dengan teliti akan memberikan data yang tidak ternilai harganya dan akan boleh memperbaiki nasib kanak-kanak luar bandar. Allahyarham Ungku tahu bahawa kemiskinan dan kekurangan zat makanan yang berkaitan adalah akibat dan bukannya punca prestasi mereka yang kurang berkebolehan. Begitu juga dengan kemalasan dan kurang motivasi mereka.
Setengah abad kemudian, penyelidik ekonomi suami-isteri di MIT, Abhijit Banerjee dan Esther Duflo, dianugerahi Hadiah Nobel atas kajian mereka tentang prestasi buruk pelajar sekolah Afrika luar bandar. Dari kajian mereka, initiatif yang paling berkesan bukanlah sekolah yang lebih baik, guru yang mahir, atau makanan sekolah diberi percuma, tetapi sebaliknya . . . memberi murid murid itu pil cacing! Kanak-kanak itu tidak malas atau bodoh; perut mereka penuh dengan cacing membuat mereka lesu oleh sebab kurang darah! Bapa saya tahu sedikit tentang perkara ini. Semasa kecil dahulu saya pernah diberi pil cacing.
Sebagai seorang pakar bedah di Malaysia pada penghujung 1970-an, seorang perempuan Melayu ternama kecewa kerana dia di rawatkan oleh saya dan bukan oleh pakar bedah yang lebih tua dan bergelaran Datuk pula. Perempuan itu tidak puas hati sebab saya memberatkan kiraan darahnya yang rendah. Doktor lain, dia mengadu kepada jururawat saya, boleh mengesan anemianya sejauh satu batu dan tidak membuat kesah. Sebaliknya si perempuan ini suka dengan keadaan anemianya kerana itu membuat rupanya "lebih putih." Begitu juga dia tidak peduli kalau rasa malas akibat anemianya sebab dia mempunyai ramai pembantu rumah.
Saya terdengar keluhan dia. Saya jelaskan bahawa saya lebih ingin mengetahui apa sebab dia kurang darah. Mungkin dia berdarah dalam badan atau mengalami penyakit yang jarang berlaku di mana perutnya tidak dapat menyerap Vitamin 12, penting untuk pembentukan darah baru. Penyakit itu amat berbahaya kerana selain menyebabkan darah rendah, ia juga berkait dengan satu jenis barah perut yang sangat ganas. Itu memeranjatkan dia. Selpas itu dia tidak lagi memperlekehkan nasihat saya.
Fakta dengan sendirinya tidak bermakna. Lebih dasyat lagi, seperti yang dinyatakan oleh pengarang Arthur Conan Doyle "Tiada yang lebih menipu daripada fakta yang jelas."
Fakta yang jelas seperti “Melayu malas” dan “Tidak pandai berniaga” telah menipu dan terus memperdayakan ramai orang Melayu termasuk pemimpin seperti Mahathir. 'Fakta' seperti itu sepatutnya harus menjadi rangsangan untuk siasatan selanjutnya dan bukan untuk digunakan untuk memburukan masyarakat.
Seterusnya: Terakhir dari Tiga Bahagian: Takdir Perdana Menteri Anwar Ibrahim Mengarah Kita Ke Qiblat Yang Benar
0 Comments:
Post a Comment
<< Home