Semuanya Nek Berperagai Sultan
Semua Nak Berperagai Sultan
M. Bakri Musa 2 Feb 2026 (Petikan kemas kini daripada karya saya: Qur’an, Hadith, and Quran In Critical Thinking)
Zaman dahulu kalau ada orang kampung yang naik minyak dan mengamuk, habis habis kuat pun dia hanya mencederakan seekor dua kerbau atau merobohkan pondok kampung yang sudah usang. Begitu jugalah halnya dengan sultan yang berkelakuan sumbang pada masa itu; kesannya terhad. Namun hari ini, kerenah kecil seorang sultan boleh melumpuhkan seluruh negara, malah meletakkan tanda aras yang amat rendah bagi perilaku yang dianggap boleh diterima.
Perangai ini kemudiannya ditiru oleh orang bawahan, daripada Perdana Menteri dan barisan kabinet hinggalah ke peringkat mandur. Mereka semua mahu dilayan bak ‘sultan kecil’ di jajahan masing-masing—satu fenomena yang saya istilahkan sebagai "Sindrom Sultan" dalam buku saya terdahulu, The Malay Dilemma Revisited: Race Dynamics In Modern Malaysia. Golongan "Little Napoleon" dalam perkhidmatan awam hari ini hanyalah satu variasi daripadanya.
Di sinilah letaknya punca masalah. Apabila pengarah dan ketua jabatan berlagak sombong seperti sultan dan bukannya bertindak sebagai ketua eksekutif yang selalu turun padang, maka tiada kerja yang akan selesai. Mereka lebih sibuk dengan protokol dan kemewahan pejabat, sambil mengangkat nilai kesetiaan lebih tinggi daripada kecekapan kakitangan. Pekerja di bawah pula enggan atau tidak berani mempersoalkan ketua mereka.
Lihat sahaja Najib Razak, Perdana Menteri dari 2009 hingga 2018. Dalam masa yang singkat sahaja lama beliau dan isterinya untuk hanyut dalam khayalan kemewahan seolah-olah mereka adalah kerabat diraja. Isterinya, Rosmah Mansor, membayangkan dirinya sebagai kononnya "First Lady" dan sangat menikmati gaya hidup yang serba menunjuk-nunjuk. Sesuka hatinya dia membelanjakan berjuta wang rakyat demi kepuasan peribadi.
Sindrom Sultan ini juga menjelma dalam pelbagai cara lain yang lebih licik namun nyata. Bayangkan suasana mesyuarat yang dihadiri oleh Raja atau Sultan, bukan sekadar sebagai simbol istiadat, tetapi memegang tanggungjawab eksekutif seperti Canselor universiti atau ketua badan agama.
Acara mukadimah sahaja sudah memakan sebahagian besar masa mesyuarat kerana masing-masing sibuk menyembah dan mengucup tangan sultan. Setiap penceramah pula berlumba-lumba memuji sultan dengan kata-kata yang melangit. Sukar untuk membayangkan sebarang keputusan penting yang dapat dicapai dalam mesyuarat sedemikian. Yang lebih penting, adakah sesiapa yang berani menyanggah atau mengajukan soalan yang kritis kepada baginda?
Lihat pula pelbagai majlis rasmi gilang-gemilang yang melibatkan Perdana Menteri Anwar minggu lalu. Segala apa yang beliau khutbahkan hanya akan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Sesi yang meleret-leret itu hanyalah alasan bagi penjawat awam untuk keluar daripada meja tugas dan kerja mereka.
Unsur feudalisme masih hidup subur di Malaysia. Bersama dengan itu datanglah hierarki status yang kaku lagi tegar, di mana orang bawahan tetap tunduk patuh kepada mereka di atasan. Jika seorang bawahan berani mempersoal atau sekadar meminta penjelasan daripada ketuanya, dia hanya akan mengundang markah buruk, atau mungkin lebih parah lagi. Seorang bawahan bukan sahaja dilarang bertanya, malah perlu lebih daripada itu—dalam bahasa pasarnya, kena pandai membodek, sama ada di dalam atau di luar waktu pejabat.
Masalah ini menjadi lebih parah apabila ketua anda bukan sahaja berkuasa dalam skim rasmi, tetapi juga di luar bidang itu. Di awal kerjaya ibu bapa saya sebagai guru pada tahun 1950-an, ketua tertinggi mereka adalah seorang ahli kerabat diraja (walaupun pertaliannya agak jauh). Secara birokrasi, beliau berada beberapa tingkat di atas kedudukan ayah saya sebagai guru biasa. Mungkin di anggap bahawa kerabat diraja ini tidak mempunyai kesan apa apa pun terhadap kerjaya ibu bapa saya, kecuali satu fakta: dia tinggal sekampung dengan kami.
Kesalahan ibu bapa saya hanyalah kerana mereka tidak membawa "ufti" ke rumahnya, sebagaimana yang diharapkan dalam budaya feudal Melayu. Ayah saya dibesarkan di Rantau, sebuah kawasan yang dibanjiri oleh kaum pendatang yang bekerja di lombong bijih timah dan ladang getah kolonial. Amalan membawa ufti kepada penghulu atau ketua tempatan adalah sesuatu yang asing bagi mereka, dan sifat itu sebati dalam diri ayah saya.
Oleh sebab kerana kekhilafan kecil yang tidak disengajakan itu, ibu bapa saya telah ditukarkan dari satu kawasan "hitam" yang terpencil ke kawasan lain ketika kemuncak pemberontakan komunis dalam tahun lima pulohan.
Tidak hairanlah orang bawahan tidak memberikan nasihat selain daripada apa yang mahu di dengar oleh ketua mereka. Tujuh puluh tahun kemudian, Malaysia masih tidak berubah.
Seterusnya: Jarak Kuasa Dalam Budaya Melayu

0 Comments:
Post a Comment
<< Home