Kegagalan Umar Islam Menikmati Borkat Modal Perbadanan
Kegagalan Umat Islam Menikmati Borkat Modal Perbadanan
M. Bakri Musa
29 Mei 2026
(Kutipan dari buku saya Qur’an, Hadith, Dan Hikayat: Latihan Untuk Berfikir Secara Kritis akan di sambung minggu depan)
Kegagalan umat Islam kini untuk menikmati modal perbadanan utama seperti dana zakat, wakaf, takaful, dan faraid menyumbang kepada kemunduran ekonomi kita.
Beban ini jauh lebih parah daripada berita sensasi tentang penyalahgunaan hampir AS$1 bilion dana zakat oleh badan amal terkemuka Islam di Amerika, atau penyelewengan RM280 juta duit zakat di Perlis. Juga harta bernilai lebih RM90 bilion terbeku di bawah faraid.
Setiap tahun Malaysia membelanjakan berbilion ringgit untuk birokrasi agama yang raksasa serta menggeluarkan ratusan pemegang PhD dalam Pengajian Islam. Namun hanya segelintir sahaja yang menyedari—apalagi menyelesaikan—masaalah terutama ini. Mereka lebih heboh dengan perkara remeh seperti sama ada badan bukan Islam boleh menganjurkan sambutan Aidilfitri. Mufti Perlis misalnya tersengih sahaja sambil mendakwa bahawa zakat bukan di bawah bidang kuasanya. Dari segi undang-undang mungkin benar, tetapi secara moral beliau tetap bertanggungjawab.
Beberapa tahun yang lalu Menteri Agama yang juga bekas Mufti Persekutuan dan rakan ulamanya bersenggeh dalam jet peribadi dalam perjalanan mereka ke Mekah. Secara percuma “borkat” dari bank pemegang amanah dana zakat. Memandangkan bayaran faedah adalah haram dalam Islam, bank tersebut mengaut keuntungan besar hasil penggunaan dana tanpa faedah tersebut. Mufti itu juga tidak nampak apa-apa masalah, sama ada dengan jet percuma itu mahupun penggunaan dana percuma oleh pihak bank.
Zakat adalah rukun Islam keempat. Seharusnya ia pertama dan utama. Apa gunanya anda bersyahadah, bersolat, berpuasa, dan menunaikan Haji jika hati dan amalmu tidak pemurah. Hadis mengenai seorang pelacur yang dimasukkan ke syurga kerana ia pernah menyelamatkan seekor anjing yang kehausan dengan memberinya air adalah satu pengajaran yang mendalam.
Sebelum anda boleh memberi zakat, anda perlu terlebih dahulu mempunyai harta. Makanya, mencari harta atau kekayaan adalah satu kewajipan. Islam tidak memuja kebangsatan dan kemiskinan. Harta dan kekayaan, seperti air, mestilah dialirkan untuk dibersihkan; konsep “halaju wang” (velocity of money) dalam kajian ekonomi mencerminkan kebijakkan ini. Zakat memenuhi peranan penting ini.
Kutipan zakat di Malaysia melebihi RM5 bilion pada tahun 2025, berbanding dengan RM50 bilion cukai pendapatan rakyat. Jika sebahagian daripada dana zakat itu dilaburkan, ia bukan sahaja menjamin pendapatan berterusan pada masa hadapan tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan akibat pelaburan itu. Penolongan yang amat bermakna serta berkesan adalah memberi hamba Allah pekerjaan, dan dengan itu pendapatan serta nilai diri yang tinggi.
Di Malaysia, zakat adalah kredit cukai (tax credit) dan bukannya pelepasan cukai (tax deductible). Tetapi penerimanya borkat zakat adalah umat Islam sahaja. Ini adalah satu ketidakadilan, dan oleh sebab itu, tidak mungkin bersifat Islam.
Walaupun zakat disebut secara khusus dan diwajibkan dalam Al-Quran, tetapi wakaf dan takaful tidak begitu. Konsep wakaf berkembang apabila Khalifah Umar menakluki tanah yang subur selepas Perang Khaybar (629 CE). Kerana dia tidak mampu mengangkut tanah itu pulang ke Mekah seperti emas atau kuda perang yang di rampasnya, beliau meminta pemilik asal mengusahakan tanah tersebut dan menghantar sebahagian hasil setiap tahun kepada pemerintah di Mekah.
Lama-kelamaan wakaf berubah menjadi alat utama untuk melindungi harta daripada raja yang tamak. Apabila harta diwakafkan, maknanya diberi kerana Allah untuk selamanya, sultan yang rakus tidak lagi berani merampasnya. Wakaf juga memastikan sesebuah perusahaan terus hidup melampaui hayat pengasasnya.
Takaful sebaliknya berasal daripada arahan Al-Quran untuk tolong-menolong dan kebaikan masyarakat. Takaful sebenarnya wujud sebelum Islam. Apabila pedagang Arab jahiliah mengembara dalam kafilah, mereka mempunyai perjanjian tersirat untuk melindungi dan membayar ganti rugi sesama mereka jika ada yang dirompak atau diserang.
Wakaf dan takaful membuktikan pemahaman mendalam umat Islam awal terhadap hikmah Al-Quran. Bagi mereka, Al-Quran bukan bersifat menyekat, sebaliknya adalah permulaan pencarian arahanNya demi manfaat duniawi. Ironisnya, kecerdasan intelektual Barat yang kemudiannya membangunkan wakaf dan takaful menjadi bentuk modennya, yakni perbadanan terhad (korporat) dan insurans, keduanya alat utama pertumbuhan ekonomi. Sebaliknya umat Islam semasa menganggap sebarang tafsiran baru Al-Quran sebagai bidaah. Bagi mereka, badan korporat hanyalah alat Barat untuk mengaut keuntungan; insurans pula dianggap judi.
Usaha semasa maqasid syariah terlalu memberatkan niat dan mengabaikan hasil. Jika sesuatu inisiatif itu menghasilkan pemeliharaan atau peningkatan agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta, maka ia adalah maqasid. Jika tidak, bukan maqasid betapa murni niatnya atau betapa berwibawa ulama yang menghalalkannya. Maqasid patut ditakrifkan atas hasilnya.
Semasa saya muda dan anak masih kecil, saya memiliki insurans nyawa, kesihatan, dan hilang upaya, serta meminjam dana untuk membeli. Itu semua adalah keperluan asas, jauh daripada haram. Jika tidak berada insurans dan rumah kediaman adalah satu kecuaian yang sengaja dibuat. Itu juga sifat tidak bertanggung jawab serta cuai. Umat Islam hari ini taksub dengan label, menganggap instrumen seperti pinjaman rumah di luar maqasid, malah ada yang mengharamkannya terus terang. Untuk zakat pula, saya menderma terus kepada perbadan tempatan yang saya ketahui dan percayai.
Bayangkan faedah serta kebaikannya kepada masyarakat jika sebahagian dana zakat dilaburkan untuk membaikki dan mengkembangkan pasar malam kita, atau membantu pesawah membeli traktor serta membina kemudahan penginapan di masjid bandar untuk pelawat dari desa yang kurang selesa dengan hotel moden. Pelaburan sedemikian akan menjadi alat ampuh untuk pembasmian kemiskinan. Dan itu adalah satu perbuatan yang dianggap baik di semua agama.
Pakar ekonomi pembangunan sekian lama menyarankan hikmah “Wang + Tambahan” (Cash + Plus) sebgai cara bermakna untuk membasmi kemiskinan. “Tambahan” yang dimaksudkan itu ialah memberi peluang berkerja, berdagang, membina sekolah dan rumah sakit, dan peluang mendapat kredit. Pada pemenang Hadiah Keamanan Nobel Muhammad Yunus, keperluan kredit (maknanya mendapat hutang) sepatutnya menjadi satu hak asasi maknusia.
Renungkan hutang rumah yang kononnya bersifat Islam. Pertama, ia lebih mahal serta rumit dan lebih berisiko kepada si peminjam sebab sifatnya yang bukan non-recourse. Ia juga berbeza dengan hutang rumah dari bank biasa yang di anggap “tidak Islamik” di mana faedah di kira berdasarkan baki yang terus berkurangan. Tetapi pinjaman rumah dari bank Islam adalah seperti sewa beli—berdasarkan jumlah pinjaman awal yang dibahagikan dengan bilangan bayaran. Itu tidak mungkin maqasid, tidak kira betapa kuatnya anda memutar belit niat dan maknanya.
Ummah kini gagal memahami perbezaan natijah antara makna riba dalam Al-Quran (yang merupakan satu alat perhambaan) berbanding dengan faedah bank semasa yang mencerminkan “nilai masa wang” (time value of money) dan kos peluang (opportunity costs) yang diuangkan. Kegagalan memahami makna asas inilah yang menyumbang kepada kemunduran kaum kita.
Umat Islam harus menghentikan usaha sia-sia mengejar apa yang dipanggil sebagai sistem kewangan Islam. Belajarlah daripada Barat. Manfaatkan, atau sekurang-kurangnya jangan bazirkan sumber modal institusi kita seperti zakat, waqaf, dan takaful supaya ia dapat memenuhi misi Al-Quran untuk mengangkat martabat ummah. Seperti donggennya konsep “sains Islam,” begitu jugalah dengan sistem “kewangan Islam.” Ia hanyalah satu gimik atau sihir sahaja. Satu pengiklanan jika tidak satu penipuan besar ke atas ummah.

0 Comments:
Post a Comment
<< Home