Merenungkan Makna "Tanah Melayu Untuk Melayu!"
Merenungkan Makna "Tanah Melayu Untuk Melayu!"
M. Bakri Musa
Petikan #13 dari buku saya Qur’an, Hadith, Dan Hikayat: Exercises In Critical Thinking
Renungkan seruan politik semasa: “Tanah Melayu Untuk Melayu.” Itu sering dilaungkan dengan gemeruh dan bersemangat, serta disambut dengan sorakan yang hebat. Kita mahu dinobatkan sebagai Tuan di Tanah Melayu. Penegasan yang penuh emosi itu, seperti yang dijangka, menimbulkan kebimbangan yang besar di kalangan rakyat bukan Melayu.
Kurang difikirkan ialah adakah Negara Malaysia semasa sama dengan apa yang di anggap sebagai Tanah Melayu atau Dunia Melayu yang dulu? Untuk menyamakannya akan memerlukan regangan yang amat terbesar atas konsep Tanah Melayu.
Kemudian timbul pula masalah siapa yang sebenar yang di kenali sebagai Orang Melayu. Mengikut perlembagaan, Melayu ialah seseorang yang lazim bertutur bahasa tersebut, mengamalkan budayanya, dan beragama Islam. Maknanya seorang Orang Jawa atau si Mamak dari Kerala yang datang ke Malaysia semalam dan boleh berbahasa Melayu serta mengamalkan ciri-ciri budaya kita akan kini dianggap, mengikut perlembagaan dan penerimaan umum, sebagai seorang Melayu. Dia kemudian boleh menyertai UMNO dan terus menjadi Perdana Menteri jika dia tidak beramanah dan tidak segan makan suap.
Kita boleh mengiktirafkan sejauh mana "keMelayuan" seseorang melalui analisis genetik jika anda ingin membazirkan wang untuk ujian "saintifik" itu. Test itu mungkin mengikut cara sains tetapi sayangnya tidak ada apa yang di sifatkan sebgai “gene” atau “urat”Melayu atau bangsa lain. Yang nyata ialah ciri-ciri seperti sepet mata, rambut hitam, dan hidung lepet yang berkait secara statistic dengan sesuatu kaum dan bangsa. Konsep kaum atau ras lebih merupakan binaan sosial. Lawati Kedah. "Melayu" di sana tidak berbeza rupa dengan Tamil di Kerala tetapi mereka adalah penyokong kuat UMNO.
Jika Tanah Melayu dikatakan milik Melayu semata-mata berdasarkan namanya, maka pertimbangkan Lautan Hindi dan Laut China Selatan. Presiden Trump menukar nama Teluk Mexico kepada Teluk Amerika tidak mengubah realitinya. Itu hanya bermakna pembaziran dana untuk menghasilkan atlas dan buku yang baru untuk sekolah di Amerika.
Ramai menganggap Tanah Melayu dahulu melimpungi Singapura dan sebahagian besar Selatan Thailand (Pattani). Adakah itu akan menjadi sebahagian versi Tanah Melayu mereka pada hari ini? Ramai penyokong “Tanah Melayu Untuk Melayu” ingin melangkah lebih jauh dan mengisytiharkan rakyat bukan Melayu sebagai pendatang haram dan mengusir mereka? Lakukan sedemikian dan Negeri Cina tidak akan berdiam. Jika Jepun boleh menakluki negara ini hanya dengan naik basikal, bayangkan apa yang boleh dilakukan oleh Negara Cina yang sekarang moden dan kuat!
Hanya memikirkan (secara kritikal atau tidak) tentang kemungkinan itu akan membuatkan kaum pelampau Melayu yang ingin mengamuk berfikir dan bersabar.
Maklumkanlah jika kita menerima tuntutan bahawa Tanah Melayu adalah untuk orang Melayu sahaja. Mungkinkah sesiapa sahaja orang Melayu boleh menuntut hutan rimba dan menebang dan menjual pokok kayu keras bernilai tinggi, atau melombong nadir bumi yang berharga itu? Atau menuntut untuk memilik rumah mahal di Country Estate atau kondo mewah di Bukit Kiara?
Jika melalui undang undang baru yang direka, tanah dan rumah yang mahal itu dikhaskan atau di beri kepada orang Melayu, yakinlah bahawa orang Melayu biasa dan di kampung tidak akan menjadi penerima borkat itu. Malah sekarang, hutan dengan balak yang berharga itu telah pun dituntut dan digondolkan oleh keluarga diraja dan panglima UMNO. Orang Melayu biasa tidak mendapat apa-apa, kecuali mungkin hadiah Haji percuma sekali-sekala. Sementara itu mereka menanggung akibatnya, seperti banjir dan tanah runtuh kerana kemerosotan alam sekitar yang berlaku.
Orang Melayu perlu diingatkan, dan selalu, bahawa di bawah pemerintahan Melayu terdahulu sebelum penjajahan Barat masuk ke dunia kita, rakyat biasa tidak dapat memiliki apa-apa pun. Sebaliknya, mereka adalah hamba dan harta sultan. Perhambaan adalah sangat biasa dalam alam Melayu sebelum datangnya kaum penjajah barat. Satu-satunya hikmahnya, kalua itu istilah yang sesuai, ialah kita tidak seperti orang kulit hitam di Amerika yang diperhambakan oleh orang kulit putih, kita orang Melayu diperhambakan oleh bangsa kita sendiri. Walau bagaimana pun pait dan sedihnya sama sahaja.
Jika tidak kerana penjajahan British yang menghapuskan sifat perhambaan dalam budaya kita dan kemudian memberi peluang pendidikan moden, saya ditakdirkan mungkin masih menjadi orang hamba di istana.
Dengan menyoal apa makna sebenarnya istilah seperti "milik" dan "Tanah Melayu" akan membuat kita lebih teliti untuk memeriksa andaian yang telah kita buat secara sedar atau tidak sedar. Sekurangnya latihan tersebut akan membuatkan kita merenung, menjadikan kita lebih susah untuk dipengaruhi secara emosi dan seruan yang menarik tetapi merosakkan seperti "Tanah Melayu untuk Melayu!"
Itulah yang dilakukan oleh pemikiran kritikal. Ia menjadikan seseorang kurang berkemungkinan untuk menelan kata-kata manis jurujual dan juga laungan chauvinistik ahli politik yang licik.
Satu cara untuk menjadikan Malaysia atau sekurang-kurangnya bahagian Semenanjung, menjadi tanah atau milik orang Melayu sebagai realiti dan bukan hanya sekadar fantasi atau angan angan Mat Jenin Sahaja ialah dengan meningkatkan mutu sekolah kebangsaan di mana pelajarnya semua Melayu. Laksanakan itu dan kemudian lihat orang Melayu kita menjadi lebih kompetitif sebagai para usahawan dan kaum profesional. Hanya dengan cara itu kita boleh menjadi Tuan bukan sahaja di Tanah Melayu tetapi juga di negara lain.
Jika tidak, maka kita ditakdirkan untuk kekal sebagai orang hamba di Tanah Melayu kita sendiri. Tiada ribuan jeritan dan berpanjangan berslogan serta perhimpunan gergasi "Melayu Berdaulat" yang tidak berhabisan akan mengubah keadaan pahit kita. Kedaulatan, seperti penghormatan, diperoleh dengan tenaga dan usaha, dan tidak mungkin diberikan di atas dulang perak.
Seterusnya: Kajian Tentang Penyelesaian Masalah Sosial



0 Comments:
Post a Comment
<< Home