Rancangan Pendidikan Malaysia: Kelakar Je!
Rancangan Pendidikan Malaysia: Kelakar Je!
M. Bakri Musa
28 Jan, 2026
Pada 20 Januari 2026, Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentangkan Laporan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 yang telah lama dinantikan. Sejurus sahaja kemudiannya Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Kadir pula mencelah bahawa beberapa pindaan undang-undang yang perlu masih belum lagi di buat! Selamat datang ke persembahan kelekar cara Malaysia! Anda berhenti bertepuk sorak hanya apabila menyedari bahawa mereka memperjudikan masa depan anak dan bangsa kita.
Hanya Ringkasan Eksekutif laporan tersebut yang sudah siap, itu pun sekadar digital sahaja. Namun lakunan mesti di teruskan dengan gemilang. Upacara di Pusat Konvensyen Putrajaya itu mengambil masa sepanjang pagi, namun mungkin pun sepanjang hari dengan para pelajar di kerah hadhir dari sejauh Tanjung Malim.
Daripada seribu satu masalah yang di hadapai oleh sistem pendidik negara, isu tandas bocor di sekolah pula yang menarik perhatian Anwar! Itu urusan kaki cuci tandas atau guru besar, bukan Perdana Menteri! Anwar berhak dan patut menuntut lebih daripada menterinya. Sekurangnya beliau jangan di malukan di mata awam. Beliau tidak sepatutnya memberi ucapan tersebut selagi menterinya belum memastikan segala butir, termasuklah laporan sepenuhnya sudah sedia.
Berbalik kepada sistem pendidikan negara, pada hakikatnya kita tidak ada. Yang di maksudkan itu hanyalah sistem yang kini hanya melayan kaum Melayu. Bukan semua. Golongan yang kaya, tidak ramai, memilih sekolah antarabangsa. Itu hanya topeng untuk bahasa pengantar Inggeris. Kaum menengah Melayu juga kini sudah mula sedar dan memilih Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) walau pun itu perbuatan di anggap khianat oleh para nasionalis Melayu.
Lebih membimbangkan ialah meningkatnya jumlah yang sekarang memilih aliran agama. Sekolah agama di Amerika melahirkan ramai kaum profesional dan saintis, tetapi di Malaysia mereka hanya asyik dengan teks Arab kuno. Akibatnya pelajar mereka buta sains dan lemah dalam matematik. Kekurangan yang nyata serta berbahaya inilah punca kemunduran masyarakat Melayu dan juga negara. Sayangnya tiada siapa pun yang mengambil peduli. Oleh sebab itu tiada usaha untuk memperbaiki dan mempulehkannya. Sekolah agama adalah pemusnah terbesar minda anak Melayu.
Kerajaan patut mewajibkan kelas STEM dan Bahasa Inggeris setiap hari di sekolah kebangssan dan agama. Malah pesantren di Indonesia pun sudah mula berbuat demikian. Sebaliknya Menteri Fadhilah menghabiskan masanya mengganggu Sekolah Cina dan Sekolah Antarabangsa. Kerja sia sia sebab mereka sudah pun beprestasi tinggi!
Yang amat terkilan ialah kedua menteri tidak mengendahkan langsung cabaran kritikal semasa seperti prestasi PISA (Program for International Student Assessment) yang meleset. Jika butir PISA itu di teliti dan mengasingkan data dari Sekolah Cina, nescaya angka nasional akan menjadi jauh lebih teruk. Begitu juga, angka untuk sekolah kampung dan agama mungkin setaraf dengan Haiti.
Saya terkejut bahawa Malaysia hanya mewajibkan persekolahan pada tahun lepas dan untuk mereka yang berumur tujoh tahun. Cadangan semasa menurunkan umur itu ke enam, tetapi hanya kepada mereka yang lulus “ujian diagnostik.” Saya mengandaikan bahawa Menteri Fadhlina sudah pun mengreka dan mengubahsuaikan ujian tersebut khas untuk murid tempatan. Renungkan ejekan kejam yang bakal berikut: “Gagal Peperiksaan Masuk Darjah Satu!” Menteri Fadhlina kelihatan seperti Mak Cik kampung mencerebeh ketika menjelaskan jalan keluar daripada kemelut yang diciptanya sendiri.
Memulakan prasekolah pada usia lima tahun patut di puji. Turunkan lagi ke empat tahun terutamanya di kawasan luar bandar di mana keperluan untuk intervensi awal patut di utamakan. Jadikan ia sukarela dan di tambahkan dengan makan percuma untuk mereka di kawasan miskin. Apabila ibu bapa melihat nilainya, mereka akan mendaftarkan anak mereka.
Seperti rakan sementeri Zambry Kadir, siri penjelasan Fadhlina hanya menunjukkan bahawa kedua-duanya belum cukup sedia memegang tanggung jawab besar.
Dari sudut lain, kerajaan menguruskan universiti secara mikro dengan mengarah mereka mengajar mata pelajaran Sejarah dan berusahasama dengan syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC) untuk membina asrama pelajar. Sekali lagi, seperti isu tandas bocor tadi, itu sepatutnya keputusan tempatan.
Rancangan menempatkan kelas lepasan Tingkatan Lima (Asasi, Matrikulasi, dan Tingkatan Enam) di bawah universiti adalah kurang bijak serta mahal, mengganggu, dan membazirkan sumber kampus yang amat ketara. Lebih baik menambah kelas Tingkatan Enam tetapi pendekkan masanya ke setahun sahaja berbanding dengan dua tahun yang ada sekarang. Sekali gus itu akan menjadikan K-12 bersambung dan sebagai norma baru. Itu juga akan mengurangkan keciciran dan kehilangan tabiat belajar akibat tempoh menunggu keputusan pepereksaan selama lebih tujuh bulan selepas Tingkatan Lima.
Dalam persembahan yang gemilang itu, para penceramah kementerian heboh dan berkali menyenaraikan waktu rundingan dan persediaan yang berpanjangan sebelum membentuk Rancangan Baru ini. Tetapi saya percaya mungkin tiada seorang pun pernah melawat sekolah menengah persendirian Cina yang cemerlang hanya beberapa batu sahaja dari Kementerian, atau menyeberang Tambak Johor melihat sistem cemerlang di sana.
Juga, tiada sebutan langsung mengenai birokrasi raksasa di pelbagai peringkat yang melumpuhkan sekolah kita dan mematahkan semangat guru dan pendidik, sambil menyedut dana dan sumber yang sudah tentunya terhad.
Apabila Laporan penuh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026-2035 diterbitkan (entah bila itu mungkin berlaku), percayalah bahawa, seperti Laporan 2013-2025 sebelum ini, satu bab penting yang tiada ialah: Apakah yang telah kita pelajari daripada dekad yang lalu? Musibah bagi rancangan Malaysia, sama ada pendidikan atau lain-lain, adalah pelaksanaannya. Anda tidak boleh mula belajar dan memperbaiki kesilapan anda jika tidak tahu apakah kesilapan tersebut.
Perdana Menteri Anwar harus menghentikan segala pesta pertunjukan yang keterlaluan ini. Terlalu awal untuk mula berkempen. Banyak masalah yang perlu dihadapi dan diselesaikan dahulu. Pertunjukkan yang mewah serta berlarutan hanya akan mengganggu dan mengalihkan tumpuan kakitangan kerajaan. Maklumlah mereka bukanlah contoh kecekapan dant kepintasan.

0 Comments:
Post a Comment
<< Home