Cara Ajaran Agama Semasa Penghalang Terutama Terhadap Pemikiran Kritis
Cara Ajaran Agama Semasa Penghalang Terutama Terhadap Pemikiran Kritis
M. Bakri Musa
Petikan #22: dari Qur’an, Hadith, And Hikayat: Exercises In Critical Thinking
17 September 2025
Islam seperti yang diajar, amal, dan sebarkan pada masa ini di kebanyakan negara Islam, termasuk Malaysia, adalah penghalang terbesar kepada pemikiran kritis. Kenyataan ini bukanlah untuk mengejutkan tetapi sekadar menyatakan satu keadaan yang nyata.
Islam hari ini bukan lagi satu pedoman bagaimana untuk menjalani kehidupan yang diredhai Allah, sebaliknya lebih kepada dogma yang tegar dan ritual tanpa jiwa. Umat Islam mendambakan Zaman Keemasan lampau kita, tetapi gagal mempelajari apa yang menjadikannya agung, atau lebih penting lagi, mengapa ia kemudianya ditenggelami oleh Barat.
Para ulama di Zaman Keemasan Islam dikenali kerana tahap pemikiran kritis mereka yang tinggi. Mereka juga sanggup belajar daripada kaum yang jauh lebih maju, meskipun kaum itu tidak percaya dengan Tuhan seperti masyarakat kaum Yunani purba.
Saya terselamat daripada versi ajaran agama yang sempit serta menyesakkan ini sebab bermastautin di Barat. Saya juga bermanfaat daripada pemikiran serta ajaran sarjana Muslim moden yang berkembang pesat dalam suasana kebebasan yang mereka nikmati di sini. Pusat pengajian Islam yang terkemuka kini berada di Barat. Renungkan prakata Muhammad Asad seorang mualaf dalam terjemahan agungnya The Message Of The Qur’an (Perutusan Al-Qur’an), “Untuk mereka yang berfikir.”
Dengan bahasa ringkas, gunakan otak bila membaca kitab suci kita.
Al-Qur’an penuh dengan perkataan seperti “renung,” “fikirkan,” dan “perhati.” Anehnya kita mensifatkan Al-Qur’an disifatkan sebagai tangkal ajaib. Baca sajalah sesuatu ayat dan semua permintaan kamu akan makbul dan segala penyakit akan sembuh serta eksperimen kamu berhasil dan keputusan peperiksaan cemerlang.
Aqidah kita telah diselewengkan dan digunakan untuk memaksa serta menghentam pengikutnya. Kamu dianggap derhaka dan berdosa jika tidak memuliakan ulama, guru dan mereka yang bersekongkol dengan pemimpin yang korup, zalim dan tanpa amanah. Dalam istilah semasa, agama suci kita telah dijadikan senjata untuk mengawal dan menindih ummah.
Manusia di mana juga dan sepanjang sejarah lebih digerakkan oleh emosi berbanding akal. Di Timur renungkan kegilaan Revolusi Kebudayaan Mao pada lima pulohan; di Barat, fasisme Eropah pada awal abad ke-20. Itu mungkin akan muncul kembali.
Ketika Islam memasuki dunia Melayu beberapa abad dahulu, itu adalah peristiwa yang amat mengubahkan keadaan kita. Nenek moyang kita memahami keunggulan jelas kepercayaan baru ini dan menerimanya dengan penuh semangat tanpa batasan. Islam juga membawa bersama budaya bertulis kepada budaya lisan kita. Dengan itu meloncat lah kemajuan dan perluasan cakrawala intelektual budaya itu yang tidak terhad.
Tetapi ada terkilannya. Sungguhpun nenek moyang kita menterjemahkan dan menghasilkan tafsir (komentari) kita sendiri ke atas Kitab Suci dan teks-teks kuno Islam lain, yakni mengagumkan dan patut dipuji, mereka terlepas satu peluang terbesar. Yakni mereka tidak menterjemah atau menyerap risalah yang tidak berkaitan dengan agama. Maksudnya, kajian sains dan matematik Arab kuno, atau cerita pengembaraan serta wacana falsafah mereka diabaikan oleh nenek moyang kita. Mereka juga tidak mencontohi kehandalan berdagang orang Muslim awal. Walau bagaimanapun, sebaik sahaja gerbang intelektual Melayu terbuka dengan pengenalan perkataan bertulis, jalan ke hadapan terbuka luas. Islam membebaskan minda dan masyarakat Melayu.
Laluan kehadapan ini terbantut secara kasar oleh kedatangan penjajah Barat. Penjajahan menindih dunia Melayu seperti juga dunia lain. Walaupun penjajah barat seperti orang Islam dari negara Arab dan India sebelumnya membawa masuk ke dunia Melayu amalan perdagangan (kapitalisme) dan pandangan dunia saintifik, kedua-duanya tidak bergema dengan orang Melayu.
Itu adalah kenyataan umum. Walaupun nenek moyang kita masih melihat penjajahan sebagai sesuatu yang keji dan serangan terus terang terhadap nilai Islam kita, namun ada juga segelintir seperti Munshi Abdullah yang melihat unsur kebaikan di sebalik kejahatan umum itu. Kita patut belajar seperkara atau dua dari budaya yang boleh membuat keluli terapung, kata Munshi Abdullah setelah melawat kapal perang besi British SS Sertoris yang berlabuh di Singapura.
Dengan kebangkitan semangat kebangsaan dan dengan itu azam untuk menamatkan penjajahan, segelintir orang Melayu yang terlatih dan cerdik serta memahami cara dan fikiran British seperti Perdana Menteri pertama Tengku Abdul Rahman, yang berjaya meyakinkan mereka untuk memberikan kemerdekaan kepada kita. Mereka meyakinkan kaum British bahawa tindakan sedemikian adalah selaras dengan cita dan nilai murni British.
Ada pandangan yang bertentangan dan kurang baik terhadap anak watan yang menyerap cara Barat dan menolak mereka sebagai “minda tawanan” yang tidak mampu mengatasi pengaruh Barat. Mereka kononnya sudah tertawan dengan dan berfikir cara Barat dan sudah tidak lagi dapat memikirkan atau mencari penyelesaian yang sesuai dengan budaya Timur kita. Ironisnya, ramai daripada pengkritik itu sendiri dididik di institusi akademik terkemuka di Barat.
Seperti bangsa lain, orang Melayu tidak berhasrat untuk dijajah. Benih nasionalisme Melayu dicetuskan dari mula dengan kedatangan penjajahan Barat. Dengan minda Melayu yang terbuka melalui Islam, terutamanya prinsip kesaksamaan yang dihormati, orang Melayu tidak suka ditindas oleh orang lain. Tidak hairan mahupun suatu kebetulan bahawa nasionalis Melayu awal itu datang dari golongan ulama. Merekalah yang pertama melalui khutbah dan syarahan mereka berazam untuk memerdekakan negara. Merekalah yang pertama berazam untuk Malaysia merdeka dan mula menyalakan api kebebasan dalam kalangan ramai.
Berikutnya: Petikan #23: Penyelewengan Ajaran Suci oleh Kaum Islamis Semasa.



0 Comments:
Post a Comment
<< Home