Hari Buroh Dan Menghormati Pekerja Dan Kerja Mereka
Hari Buroh Dan Menghormati Pekerja Serta Kerja Mereka
10 September 2025
Isnin pertama bulan September ialah cuti umum di Amerika, Hari Buroh. Itu menghormati pekerja dan kerja mereka. Dalam khutbahnya pada Jumaat sebelum Hari Buruh 2025, Imam Ilyas kami mengingatkan tentang nilai utama agama kita. Salah satunya ialah menghormati pekerja dan menghargai kerja mereka. Imam kami memetik hadis “Membayar upah pekerja sebelum peluh di dahinya kering.”
Imam kami menerangkan lebih lanjut. Jika seorang pekerja itu melakukan kerja bernilai seratus ringgit, bayarlah dia sebanyak itu dan tidak satu sen pun kurang meskipun ia seorang pendatang haram. Di Malaysia itu bermakna pekerja Bangla atau pembantu rumah Indon.
Walau pun Amerika menghormati pekerja, tetapi sistem kewangan awam di sini berasaskan cukai pendapatan, yakni akibat buruh. Cukai itu juga progresif. Yakni kadarnya meningkat dengan pendapatan yang tinggi. Sebaliknya “cukai” dalam Islam, yakni zakat, adalah atas aset atau harta dan dengan kadar rendah serta rata, yakni 2.5 peratus. Beban zakat lebih berat kepada pemilik harta (maksudnya orang kaya) dan kurang kepada pendapatan, yakni atas pekerja.
Penghormatan terhadap kerja dan pekerja panjang riwayatnya dalam Islam. Satu cerita lama dalam tradisi Sufi ialah seorang ulama terkenal yang sering ke masjidnya pada awal pagi untuk mencuci tandas. Beliau memilih waktu itu supaya tidak dilihat oleh orang ramai. Kisah itu mencerminkan kemuliaan kerja sehingga seorang ulama terkenal pun tidak menganggapnya rendah untuk melakukan tugas yang pada pandangan ramai amat remeh.
Walaupun saya menghormati intipati cerita itu, kepada saya cerita itu memberi ajaran yang berbeza. Mungkin Imam itu belum mendapat cara yang sopan, berkesan, atau tidak menyinggung untuk menyuruh jemaahnya membersihkan sisa mereka sendiri! Perhatikan yang ramai melakukan solat tahajud jauh di tengah malam. Berapa ramai yang tinggal kemudian untuk membersihkan masjid? Begitu juga mereka yang solat fajar. Mereka bangun pagi tetapi membazirkan peluang untuk memulakan hari mereka lebih awal. Kebanyakan mereka balik tidur, menysesiakan peluang berharga.
Berbalik ke buruh, pada satu ketika seorang imam disini mengingatkan muridnya bahawa walau pun dia menghargai kehadiran dan ketekunan mereka, orang yang mengutip sampah pada awal pagi sebenarnya melakukan lebih banyak kebaikan kepada masyarakat, dan dengan itu berkhidmat kepada Tuhan. Atau lebih banyak pahalanya. Itu adalah satu pandangan yang tepat dan juga mencerminkan kerendahan hati si Imam dengan mengakui nilai sumbangannya di dalam skema besar kehidupan!
Itu juga mencerminkan satu sikap rendah hati yang amat berbeza bila dibandingkan dengan keangkuhan ulama YouTube Melayu yang tanpa habis mengulangi isi teks usang mereka.
Saya pernah menghadiri perkelahan di sebuah taman awam di Amerika bersama pelajar Melayu disini. Seorang pelajar bertanya mengapa mereka dengan tekun mengutip sampah dan membuangkannya ke dalam tong. Sedangkan balik di Malaysia mereka akan membuang sampah merata dan sesuka hati.
Selepas memuji pemerhatiannya pelajar itu, saya terus bertanya sama ada dia menyedari sesuatu yang luar biasa tentang tong sampah di sini. Yakni semuanya telah dibersihkan dan di kosongkan secara berkala pada awal pagi sebelum perkelahan itu. Bandingkan di Malaysia di mana tong sampah jarang di bersihkan. Walau pun sampah di pungut, ada sisa-sisa yang bertebaran di sekelilingnya seumpama mengiklankan, “Silakan lempar sampah di sini!”
Rakyat Malaysia tidak menghormati pengutip sampah atau kerja yang mereka lakukan. Itu tercermin dengan gaji mereka yang rendah.
Ahli psikologi sosial merujuk kepada pentingnya peranan alam sekitar atas sikap dan tingkah laku seseorang. Anda mungkin tidak berani atau berasa segan masuk lobi hotel lima bintang dengan kaki ayam dan memakai baju singlit seperti apik walaupun tiada papan tanda kod pakaian khusus. Semasa melakukan umrahnya baru-baru ini, Imam kami terkejut apabila para penumpang, semuanya dari Amerika, mula berdiri dan membuka ruang bagasi di atas sebaik sahaja pesawat mendarat, meskipun kru kabin berulang kali mengingatkan mereka untuk kekal duduk demi keselamatan. Di Amerika penumpang tersebut akan kekal duduk dan memakai tali keledar sehingga pesawat berhenti sepenuhnya dan lampu isyarat tali keledar dipadamkan.
Kembali kepada pengaruh persekitaran, kedai 7-Eleven di sini memainkan muzik Mozart supaya kaum remaja tidak melepak di premis mereka. Bertahun lalu hospital kami disini mengalami kemorosotan pendapatan akibat ramainya pesakit yang miskin. Saya secara jenaka mencadangkan meniru 7-Eleven dengan memainkan muzik klasik di lobi hospital dan di bilik kecemasan, atau memberi pengawal keselamatan pakaian seragam dengan pegawai ICE (Immigration Control and Enforcement).
Dalam sains social ada juga satu konsep yang seumpama, yakni “sindrom tingkap pecah” atau “broken window syndrome.” Apabila tanda kecil kerosakan dan kelalain, sama ada fizikal seperti tingkap yang pecah yang tidak di baikki, atau sosial, seperti sampah yang tidak di kutip, itu akan menggalakkan pelanggaran atau keburukkan lain yang lebih teruk berlaku.
Kembali kepada membayar pekerja “sebelum peluh di dahinya kering,” jelas bahawa jika itu diikuti, kos pentadbirannya akan meninggkat. Oleh sebab itu gaji sekarang dibayar setiap dua minggu atau bulan. Namun prinsip asasnya tetap: hormati pekerja dan kerja mereka dengan memberi pampasan yang adil, tidak kira jika mereka berunion atau tidak.
Walau pun Hari Buruh diiktiraf di Amerika, tetapi sistem cukai disini tidak mencerminkan itu. Pendapatan yang diperoleh dari hasil kerja dicukai lebih taraf tinggi bila di bandingkan dengan pendapatan daripada pelaburan dan keuntungan modal yang lain.



0 Comments:
Post a Comment
<< Home