Pemikiran Kritis: Latihan Dari Al-Qur'ab
Pemikiran Kritis: Latihan Dari Al-Qur’an
“Satunya cara agar umat Islam kekal setia kepada ajaran agama kita dan pada masa yang sama memenuhi perjanjian kita dengan Tuhan adalah melalui kritikan diri yang introspektif serta reformasi.”
Khaled Abou El Fadl: The Great Theft: Wrestling Islam from the Extremists
Perangkap Meniru Dan Merepek
Seorang Muslim Amerika yang juga profesor falsafah di Universiti Qatar menceritakan pengalamannya mengajar pemikiran kritis kepada pelajar Arab tempatan. Buku teks yang diwajibkan oleh universiti adalah terbitan Amerika. Oleh sebab itu contoh dan latihan yang diberikan terasa asing dan tidak relevan kepada pelajar tersebut, seperti isu diskriminasi kaum dan tindakan afirmatif. Akibatnya pelajar tersebut hanya “memuntahkan” semula hujah yang biasa tertulis oleh pengulas di Amerika. Pelajar tersebut tidak belajar untuk berfikir secara kritis; mereka hanya pintas meniru gaya orang Amerika.
Kerana dia tidak berpuas hati, profesor tersebut menukar cara dia mengajar dan latihan yang diberi kepada pelajar. Beliau menugaskan mereka membaca penerbitan dan akhbar tempatan supaya memahami isu semasa yang dihadapi oleh masyarakat tempatan, dan kemudian membawanya ke dalam perbincangan dalam kelas. Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran pelajar terhadap masalah tempatan—seperti diskriminasi jantina serta politik minyak dan gas—tetapi juga memaksa mereka untuk berfikir sendiri tentang perkara tempatan dan relevan. Tambahan pula, memandangkan isu tersebut belum pernah diulas oleh penulis Amerika, para pelajar terpaksa merangka hujah mereka sendiri. Pendek kata, mereka terpaksa melibatkan diri dalam pemikiran kritis. Beberapa tahun kemudian, dengan contoh yang dikumpul oleh pelajarnya, beliau berjaya menerbitkan bukunya sendiri yang sesuai untuk pelajar Arab.
Kita mesti sedar tentang banyak andaian tersirat yang berasas atas perbezaan zaman, budaya dan persekitaran tertentu. Renungkan lagenda abadi kita Hikayat Hang Tuah. Selama beberapa keturunan kita telah diajar atau lebih tepat lagi disumbat dengan fikiran bahawa Si Tuah adalah wira agung yang tidak boleh dipertikaikan. Persekitaran anti-wira dan sentimen pada tahun 1950-an dan 60-an mengilhamkan penulis Kassim Ahmad membaca teks klasik itu semula dan memberikan pandangan yang amat jauh berbeza. Bagi Kassim, Tuah hanyalah seorang pembodek sultan sambil mengambil kesempatan berpoya dengan gundik istana. Wira sejati, yang selama ini dianggap sebagai pengkhianat, ialah Hang Jebat, musuh Tuah.
Teks atau apa yang tertulis adalah sama tetapi tafsirannya amat berbeza. Itulah tujuan saya menggunakan teks biasa seperti dari Al-Quran, Hadis, dan hikayat kita sebagai latihan untuk berfikir dengan teliti serta kritis. Kita mesti berhenti meniru sebulatnya rangka kerja intelektual budaya dan masyarakat dan mula membina fikiran dan rangka kerja kita sendiri.
Itulah juga tujuan saya memilih bahan dari al-Qur’an, hadis, serta hikayat dan sastera semasa, yakni bahan yang sepatutnya sudah biasa dengan pembaca sebagai latihan untuk berfikir dengan teliti.
Anggapan Songsang Tentang Kitab “Lengkap”
Seperti di tempat lain dalam dunia Islam, Islam merupakan satu tajuk yang amat sensitif di Malaysia. Keyakinan yang lazim ialah al-Qur’an itu lengkap dan menjelaskan dirinya dengan sendiri. Tidak perlu lagi menggunakan akal atau pemikiran rasional. Balasan saya ialah jika kita menggunakan kemahiran berfikir secara kritis, kita mungkin lebih memahami lebih mendalam teks tersebut. Malah, al-Qur’an berulang kali menyuruh kita menggunakan akal. Akal, keupayaan untuk menaakul, membezakan kita daripada haiwan. Kita seharusnya memanfaatkan dengan mengunnakan kurniaan Ilahi itu.
Ulama silam tidak menganggap al-Qur’an sebagai sesuatu yang mengehadkan mereka mencari hikmah serta kebijaksanaan dari Tuhan, sebaliknya mereka menganggap Qur’an sebagai satu permulaan. Itulah sebabnya lahir karya kesarjanaan mereka yang tebal dan asli. Bandingkan dengan apa yang dianggap sebagai kesarjanaan hari ini—hanya mengulang tidak berhabisan dan kesudahan.
Nabi Bukanlah "Mesin Faks"
Bagi umat Islam, al-Qur’an mengandungi wahyu daripada Tuhan (Kalamullah) yang disampaikan melalui Nabi Muhammad, Nabi Terakhir, sebagai “petunjuk kepada seluruh umat manusia dan untuk sepanjang zaman hinggalah ke akhir zaman.” Pada asalnya Qur’an berada dalam bentuk lisan dan dalam bahasa dan pada zaman itu serta loghat tempatan.
Pendek kata, Nabi, s.a.w., bukanlah seorang “mesin faks” atau mikrofon manusia sahaja tanpa bersemangat atau berperasaan yang hanya mengulangi apa yang telah diwahyukan oleh Tuhan kepada Baginda. Baginda perlu menyampaikan maksud wahyu itu dalam perkataan dan konteks yang boleh difahami oleh pengikutnya, dengan menggunakan semua alat komunikasi lisan yang berkaitan—seperti pertukaran nada, jeda yang sesuai, perubahan desibel, serta memilih keadaan dan masa yang semperna dan berkaitan. Perkara ini harus disimpulkan oleh pengikut baginda yang kemudiannya menyusun al-Qur’an dalam bentuk tulisan seperti yang ada sekarang. Bila mula dituliskan Qur’an tiada pun tanda baca seperti koma atau noktah.
Al-Qur’an hanya mengandungi kata wahyu. Untuk nada dan perasaan yang berkaitan (termasuk perbezaan loghat) yang akan menguatkan atau menghuraikan maksudnya, kita terpaksa bergantung kepada para penyalin dan pentafsir awal yang berada bersama Nabi pada masa itu. Oleh sebab itu terdapat tidak kurang daripada tujuh perbezaan bacaan al-Qur’an yang diterima, setiap satunya membawa maksud yang sedikit berbeza. Dengan itu terdapatlah kejadian di mana Nabi, s.a.w., terpaksa membetulkan bacaan seseorang kerana cara mereka membaca akan menyampaikan makna yang berbeza. Tambahkan pula dengan perubahan maksud dan implikasi perkataan mengikut peredaran zaman, maka kita berhadapan dengan kerumitan yang berganda dalam menafsirkan inti dan makna sesatu ayat. Sebagai contoh, pada zaman Nabi, penyair tidak dipandang tinggi. Begitu juga perkataan “bida'ah;” ia juga membawa makna yang tidak diingini sementara pembaharuan membawa makna dan hajat yang 180 darjah berlainan. Justeru pentingnya untuk menggunakan fakulti kritikal seseorang apabila membaca al-Qur’an dan teks agama lain.
Mentafsir Si Pentafsir
Jika pembaca mendapati bahawa menggunakan fakulti kritikal (pendek kata otak) semasa membaca al-Qur’an itu sebagai satu perbuatan kufur, izinkan saya menjelaskan semula. Saya menggunakan pemikiran kritis bukan terhadap al-Qur’an, tetapi terhadap pentafsir awal dulu. Betul mereka bijak, asli, dan memberikan sumbangan yang besar membantu dan meningkatkan pemahaman kita. Saya tidak mempersoalkan kebenaran mesej al-Qur’an, sebaliknya saya mempersoal para pentafsir tersebut. Sebagai manusia, mereka pastinya tidak maksum.
Saya juga tidak memperlekehkan atau menolak tokoh agung purba kala. Mereka telah memberikan sumbangan mereka. Kita harus bersyukur dan dipandu oleh mereka. Walau bagaimanapun, kita juga harus terbuka kepada pandangan baharu. Jika para doktor hari ini masih terikat dengan teori pakar perubatan zaman dahulu, kita mungkin masih menggunakan lintah untuk merawat pesakit pada hari ini.



0 Comments:
Post a Comment
<< Home