"Biasa Yang Baik; Jauhi Yang Jahat" Sebagai Rukun Islam Ke Enam
“Biasakan Yang Baik; Jauhi Yang Jahat” Sebagai Rukun Islam Keenam
M. Bakri Musa
Seorang Imam di-Amerika mencadangkan bahawa perintah al-Quran, “Biasakan Yang Baik; Jauhi Yang Jahat” ( ٱلْأَمْرُ بِٱلْمَعْرُوفِ وَٱلنَّهْيُ عَنِ ٱلْمُنْكَر al-amru bi-l-maʿrūfi wa-n-nahyu ʿani-l-munkari) dijadikan rukun Islam keenam, selepas syahadah, solat lima waktu, puasa bulan Ramadhan, zakat, dan jika keadaan mengizinkan, menunaikan Haji.
Ayat perintah itu disebut tidak kurang lima kali dalam Al-Qur’an. Agama lain juga mempunyai hikmat yang sama, samada dinyatakan secara jelas seperti dalam Kristian "Lakukan kepada orang apa yang anda ingin lakukan kepada diri sendiri," atau secara sebaliknya dengan kata Confucius, "Jangan lakukan kepada orang lain apa yang anda tidak ingin di lakukan kepada diri sendiri.”
Di antara lima rukun Islam, hanya satu dan mungkin dua sahaja yang boleh dianggap sebagai memenuhi syarat suci “biasakan yang baik, jauhi yang jahat.” Syahadah, solat, dan berpuasa tidak memberi “kebaikan” kepada orang ramai, hanya kepada si punya badan dalam bentuk pahala persendirian. Mungkin akibat perbuatan ketiga itu anda mendekati Allah dan mendorongkan untuk mengikuti perintah Nya. Berpuasa juga tidak akan memberi kebaikan kepada orang lain, melainkan anda mendermakan kepada orang miskin makanan yang anda tidak makan oleh sebab berpuasa.
Hanya zakat sahaja yang memberi manfaat kepada orang lain dan masyarakat. Naik Haji hanya memberi manfaat kepada mereka dalam perusahaan keramahan (hospitality sector) dan pelancongan. Itu bukan perkara kecil. Haji dan umrah adalah sektor ekonomi Saudi ke dua selepas minyak. Sumber minyak semestinya terhad dan sudah tentu akan menyusut. Tetapi perusahaan mengadili Haji dan umrah terus meningkat.
Wakaf tidak tersebut dalam Qur’an tetapi konsep itu benar mengikuti ajaran “biaskan yang baik.” Waqaf bermula dengan Sahabat Nabi Omar, ra, selepas Perang Khyber. Waqaf mencerminkan makna serta niat Ayat 3:92 (terjemahkan lebih kurang): “Kamu tidak akan mencapai kebenaran sehingga kamu menderma apa yang kamu sayangi.” Pada satu masa waqaf berkembang dengan pesat kerana ia menjadi salah satu alat atau cara untuk mempertahankan harta pusaka seseorang dari rampasan raja dan penguasa yang rakus.
Solat membawa pahala, tetapi itu akan terhapus dan tidak bermakna jika anda tidak mengambil kira orang lain dalam melaksanakannya. Solat di salur kabin kapal terbang menghalang penumpang yang terdesak untuk ke bilik air. Begitu juga mereka yang memberhentikan kereta di lebuh raya pesat untuk menunaikan solat. Itu bukan sahaja membahayakan diri sendiri bahkan juga pengguna jalan raya.
Imam saya di Amerika pernah pada satu masa memberhentikan khutbahnya dengan serta merta bila melihat seorang meletakkan keretanya di jalan masuk ke masjid dan dengan itu menghalang jalan masuk dan membahayakan jika berlaku satu kecemasan. Oleh sebab itu Imam menyuruh si biadab itu mengalihkan keretanya dengan segra. Jelas kepada si pelambat itu, pahala untuk dirinya mendahului keselamatan orang lain. Itu adalah salah faham agama kita yang amat terbesar.
Pada satu masa saya sebagai pakar bedah di Malaysia pernah menegur seorang doktor muda kerana dia berlepas ke solat Jumaat dan meninggalkan si pesakit di Bilik Kecemasan. Maknya dia mengutamakan kononnya pahala untuk dirinya walau pun itu mungkin mengancam keselamatan badan dan nyawa si pesakit!
Lihatlah pada hari Jumaat jalan di luar masjid. Ia penuh sesak dengan kereta yang diletakkan secara tidak senonoh. Dalam mengejar ketakwaan mereka buta terhadap kesulitan dan bahaya yang terakibat kepada orang lain.
Satu peristiwa kecewa dan amat menyedihkan semasa musim haji yang berlalu ini dengan suhu tinggi yang sering membawa maut ialah satu rakaman video seorang jemaah haji dari Amerika. Dia dan rombongannya berada di dalam koc mewah berhawa dingin apabila mereka melihat seorang wanita tua di tepi jalan bermatian melambai tangannya meminta bas berhenti dan menolong suaminya yang sedang tenat pengsan dalam cuaca panas yang tidak terlindung. Walaupun rayuan penumpang amat jelas dan kuat, pemandu bas Arab Saudi itu meneruskan perjalanannya dan tidak berhenti atau mengambil kesah. Keutamaan yang terpesong!
Saya teringat cerita purbakala apabila Allah murka dengan persembahan ahli jemaah haji pada satu musim dan mengancam untuk tidak menerima haji mereka. Tetapi akibat malaikat menceritakan usaha seorang bakal haji yang terpaksa membatalkan impian hidupnya pada saat terakhir oleh sebab jirannya sakit dan memerlukan bantuan. Mendengar cerita itu, Allah menukar perintah Nya dan menerima bakal haji tahun itu. Dia juga terus menganugerahkan pahala kepada lelaki itu se olah dia juga telah menunaikan hajinya.
Ajaran cerita itu jelas. Buat kebaikan seperti membantu jiran yang memerlukan pertolongan mengatasi pahala haji. Itu satu pengajaran yang terlepas daripada pemandu koc Arab Saudi itu. Sebelum menjadi seorang Muslim kita perlu pada dulunya berusaha menjadi manusia yang baik.
Semasa saya di kampung dulu, ramai keluarga menjadi miskin akibat menjual tanah dan harta untuk membiayai haji mereka. Hari ini ramai orang muda menunaikan haji dan umrah mereka. Sudah ke mereka menabung persaraan mereka dan menyimpan untuk masa hadapan pendidikan anak?
Ahli ekonomi Ungku Aziz amat menyedari kesan buruk sosioekonomi terhadap masyarakat dan juga individu yang terlampau mengejar haji. Dengan kebijaksanaan beliau, Ungku Aziz mencipta Tabung Amanah Jemaah Haji, satu perbadanan perantaraan kewangan (financial intermediary) untuk menyimpan dan menabur dana rakyat Islam terutamanya mereka di desa. Hari ini badan itu adalah satu perusahaan terbesar di rantau walaupun ada salah laku buruk dan tanpa amanah yang di jalankan oleh pemimpinnya beberapa tahun yang lalu.
Malangnya pada hari ini tiada siapa pun yang memajukan dan membawa ke hadapan fikiran bijak Ungku Aziz. Patutnya dengan lebih ramai antara bangsa kita yang berkelulusan tinggi dalam ekonomi dan mempunyai ijazah MBA yang cemerlang, Tabung Haji sepatutnya sudah berkembang ke negara jiran serta menjadi pengendali armada pesawat sewa penerbangan terbesar dan memiliki rangkaian hotel di Mekah. Begitu juga dengan pentadbiran harta yang sudah diwakafkan.
Saya tidak tahu samada Ungku Aziz seorang hafiz, sudah berkhatam, atau pun seorang Haji. Tetapi nyata dengan perbuatannya ia telah memahami dan bertindak berdasarkan asas agama kita, yakni biasakan yang baik dan jauhi yang jahat. Semoga Allah mencurahi rahmat Nya ke atas roh Ungku!
0 Comments:
Post a Comment
<< Home