Penyelewangan Agama Oleh Kaum Islamis
Penyelewengan Agama Oleh Kaum Islamis
M. Bakri Musa
Petikan #23: daripada Qur’an, Hadith, dan Hikayat Saya: Latihan Dalam Pemikiran Kritis
24 September 2025
Walau pun semangat kebangsaan kaum ulama terdahulu amat tinggi, tetapi mereka yang berjaya membawa kemerdekaan kepada negara adalah tokoh sekular seperti Tengku Abdul Rahman dan Razak Hussein. Yakni mereka yang terdidik di bawah sistem British. Mereka berjaya mendedahkan kepada kaum penjajah kekosongan dan kehampaan idealisme kemanusiaan British. Degan itu Malaysia berjaya mencapai kemerdekaan melalui rundingan dan tanpa pertumpahan darah, satu pencapaian yang amat jarang berlaku dan wajar diraikan.
Pemimpin seperti Tengku dan Razak bersifat sangat berlawanan dengan apa yang digambarkan oleh sejarawan British, Patricia Crone, sebagai sindrom “pribumi terakulturasi,” yakni mereka yang memberontak, merujuk kepada anak imigran kelahiran British yang menjadi jihadis radikal. Tengku dan Razak juga pribumi terakulturasi tetapi sebaliknya mereka cemerlang! Mereka tahu cara untuk berunding dengan British kerana terlatih oleh mereka.
Kaum ulama dan nasionalis sangat terhalang kerana pertama, mereka tidak mengenali dan memahami musuh yang di hadapi. Lebih teruk lagi mereka tidak sedar akan keterbatasan dan kelemahan diri mereka. Ilmu rohani mereka tidak berguna untetuk menentang British. Kekangan bahasa pula menambah lagi kelemahan mereka.
Menurut Sun Tzu, jika kamu kenali dirimu serta musuhmu dengan baik, jangan gentar, kamu akan menang. Tetapi jika hanya kenal hanya dirimu sahaja tetapi tidak tahu langsung berkenaan musuh kamu, maka setiap kemenangan akan diiringi dengan kekalahan. Yang amat teruk lagu ialah apabila kamu tidak mengenali kelemahan diri sendiri. Kaum ulama nasionalis dahuu termasuk dalam golongan ketiga ini.
Malaysia bernasib baik kerana dipimpin pada awalnya oleh tokoh yang telah menyerap cara serta nilai Barat dan berpegang pada demokrasi serta kapitalisme. Itu seharusnya membawa Malaysia dan orang Melayu pada landasan pembangunan dengan turut menyerap kaedah saintifik serta pandangan dunia kapitalis, sambil tetap berakar kukuh dalam kepercayaan serta tradisi Islam kita.
Namun malangnya itu tidak berlaku. Tanpa pengaruh British, kita kehilangan idealisme yang dulunya membawa Malaysia ke arah kebebasan dan merdeka. Tetapi sejak 1980-an dan di bawah pimpinan Perdana Menteri Mahathir, Malaysia menukar arah kiblatnya.
Walaupun kezaliman Jepun semasa Pendudukan dan kenangan ngeri itu masih segar, “Pandang ke Timur” menjadi slogan baru negara. Seiring dengan itu, orang Melayu terpesona dengan versi “moden” Islam yang tanpa malu atau segan dieksploitasi untuk tujuan politik, bukannya untuk membebaskan ummah seperti yang dilakukan Rasulullah.
Bagi kaum Islamis semasa, Islam kurang di anggap sebagai agama, lebih kepada senjata ampuh untuk mengejar kuasa politik. Malah kuasa itu tidak digunakan untuk memperbaiki keadaan ummah. Hubungan songsang antara pemimpin dan ulama inilah yang menjadi racun ummah semasa di dunia Islam, termasuk Malaysia. Ulama silam sangat menyedari bahaya ini. Renungkan ungkapan bahawa syurga penuh dengan ahli pemerintah yang bersama dengan ulama, manakala neraka pula penuh dengan ulama yang bersekongkol dan bersuhabat dengan pemerintah. Peruntukan mewah JAKIM hanyalah untuk memikat, kalaupun tidak menyuap, golongan Islamis demi mendapatkan sokongan mereka.
Bagi kaum ulama semasa, segalanya termasuk pengayaan dan pembesaran diri menjadi halal atas nama Allah, jika tidak dikira terus sebagai berkat daripada-Nya. Maka lahirlah kebobrokan seperti bekas Perdana Menteri Najib Razak yang disabitkan mencuri 1MDB tetapi masih dipuja dengan gelaran “Malu Apa Bossku?” Beliau berjaya memperdayakan orang Melayu dengan helah bahawa wang itu datang daripada seorang putera Saudi, dan oleh sebab itu halal.
Rasuah yang sekarang bermaharajalela dan berakar dalam inilah yang merosakkan agama dan Masyarakat kita. Golongan Islamis menyusup masuk dan menegaskan pengaruh mereka di semua peringkat kerajaan dan lebih luas lagi. Sasaran utama dan paling berharga, serta paling membawa kesan, adalah sistem pendidikan negara. Bersama dengan kegilaan “Islamisasi Ilmu” yang masih berterusan, sekolah dan universiti merosot menjadi pusat indoktrinasi, bukannya tempat pembelajaran. Dengan itu, sebarang sisa pemikiran kritis dan keaslian intelektual lenyap.
“Siapa kita, manusia kerdil hari ini, untuk mencabar tokoh agung silam?” demikianlah sikap kaum Islamis semasa. Itu seumpama saintis hari ini berpuas hati dengan fizik Newton, ilmu genetik moden dengan eksperimen kacang pis rahib Agustin Gregor Mendel, dan inti neuropsikologi yang hanya bergantung pada Freud.
Kegilaan semasa untuk kononnya mengIslamkan ilmu melangkau lebih jauh. Ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) terpaksa menjawab soalan peribadi yang mengganggu seperti, “Apa pandangan anda tentang Syiah?” Lebih buruk lagi, kitab Syiah di perpustakaan di kunci. Jika anda bertanya, anda akan dilaporkan kepada pegawai pentadbir.
Bagaimana agaknya perasaan pensyarah yang bukan Islam, jika ada. Bayangkan Universiti Georgetown atau Notre Dame mengajukan soalan mengganggu serupa kepada kakitangan mereka yang bukan Katolik! Bahkan kedua universiti Amerika terkemuka itu mempunyai Jabatan Pengajan Islam!
Ini menguatkan lagi hakikat bahawa Islam sebagaimana yang kini di ajar dan sebarkan adalah penghalang terutama dan terbesar kepada pemikiran kritis, dan dengan itu kemajuan masyarakat Islam. Yang peliknya Qur’an dan hadith menganjurkan serta mengandungi beberapa latihan pemikiran kritis yang terbaik.
Minggu Depan: Petikan 24: Tanpa Berfikir Dengan Kritis Mungkin Membawa Maut



0 Comments:
Post a Comment
<< Home