Ilham Dari Al-Qur'an
Ilham Dari Al-Qur’an
M. Bakri Musa
27 Mei 2026
Petikan daripada buku saya, Qur’an, Hadith And Hikayat: Exercises In Critical Thinking (2021)
Al-Qur’an boleh digunakan untuk latihan berfikir secara kritis (critical thinking). Pertama, mencabar pembaca untuk memilih satu ayat Al Qur’an yang paling bermakna bagi diri mereka dan menyatakan alasannya. Saya melakukan latihan tersebut dengan satu kumpulan melebehi 250 mahasiswa Melayu di Timur Utara Amerika Syarikat pada tahun 2010. Kedua, saya akan mengulas Surah Al Qur’an yang paling kerap dibaca, yakni Al-Fatihah khususnya dua ayat terakhir (Ayat ke-6 dan 7). Umat Islam amat akrab dengan surah ini memandangkan ia dibaca sekurangnya tiga kali dalam setiap solat, dan kita wajib bersolat lima kali sehari. Dan ketiga, saya meneliti semula Surah An-Nisaa’ berkaitan ayat yang sering menimbulkan masaalah, yakni ayat kononnya “memukul isteri” (4:34) serta pelbagai tafsiran mengenainya.
Dengan latihan pertama, tiada dua pelajar yang memilih ayat yang sama! Itu tidak menghairankan. Maklumlah Al-Qur’an mengandungi lebih 6,000 ayat. Setiap pelajar tersebut mempunyai ayat khusus yang membawa makna tersendiri atau mempunyai tempat yang istimewa di hati mereka. Ini jelas membuktikan betapa kayanya kandungan Al-Qur’an. Bagi saya, itulah mukjizat Al Qur’an.
Pelajar pertama memilih sepotong ayat dari Surah Ar-Ra’d (Guruh: 13:3), yang terjemahan anggarannya berbunyi:
Dan Dialah yang mentendang (meluaskan) bumi dan menjadikan padanya gunung-ganang dan sungai-sungai . . . . Dia melindungi malam atas siang. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi mereka yang berfikir.
Ayat tersebut terdetik di hatinya pada suatu pagi ketika sedang berkhemah di Grand Canyon National Park, Amerika Syarikat, pada penghujung musim panas. Dia bangun dalam suasana subuh yang tenang, damai, dan diselimuti udara gurun yang sejuk. Sayup-sayup di kejauhan, pancaran lembut cahaya matahari mula mengintai dari ufuk timur, menyinari birai utara gaung yang amat luas itu. Jauh di bawah kelihatan aliran sungai yang berkilauan, disebelahi oleh tebing tinggi yang curam di kedua belah. Air itulah yang menyara pelbagai hidupan di dalam dan di tebingnya, serta memberi sumber kehidupan kepada berjuta manusia, tumbuhan, dan haiwan di hilirnya. Dinding menegak gaung tersebut menyimpan seribu satu rahsia zaman lampau yang masih belum diterokai. Di atas pula, terbentang luas langit membiru tanpa sebarang awan, dan seperti yang digambarkan dalam Al-Qur’an, tegak berdiri tanpa tiang menyokongnya.
Dia merasa amat bertuah kerana dapat menikmati keagungan dan keindahan Grand Canyon itu bersendirian. Baginya, itulah satunya sifat pemurah dan ihsan Allah SWT. Di tengah keheningan alam itu, solat subuhnya terasa amat luar biasa, seolah yang Maha Esa sendiri telah menzahirkan kebesaran dan keagungan-Nya.
Semua pelawat ke Grand Canyon pasti akan tersentuh dengan kehalusan spiritual tempat tersebut. Walaupun seseorang itu mungkin tidak beragama, dia pasti akan merasa keberatan untuk merosakkannya. Membuang botol plastik atau kotak pizza dirasakan sebagai satu perbuatan penghinaan terhadap kesucian alam. Malah bagi masyarakat peribumi Amerika, Grand Canyon ialah sebuah tapak yang suci. Itu juga sepatutnya dirasai oleh setiap pengunjung.
Seorang lagi pelajar mengenang pengalamannya ketika menghadiri kelas Bahasa Inggeris di sebuah perpustakaan awam di New York City. Dia kagum melihat kepelbagaian warna kulit dan raut wajah mereka yang hadir, serta kepelbagaian bahasa yang kedengaran bersimpang-siur sebelum kelas bermula. Apabila tiba waktu rehat, dia sekali lagi kagum dengan bau harum daripada pelbagai jenis makanan yang dibawa oleh para pelajar. Terdetik di hatinya keinginan untuk mencuba segala kepelbagaian hidangan yang menyelerakan itu.
Itulah maksud Surah Al-Hujurat (Kamar-Kamar: 49:13) bagi dirinya. Terjemahan anggarannya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya sepadan-padan mulia kamu di sisi Allah ialah mereka yang paling bertaqwa.”
Bayangkan, bagaimana pengalaman kelas biasa dapat dikaitkan dengan ayat Al-Qur'an yang khusus! Saya menambah bahawa kita sepatutnya melangkah lebih jauh daripada sekadar hanya bertolak ansur terhadap perbezaan sesama kita; sebaliknya, kita harus menerima dan meraikan perbezaan tersebut seperti yang dilakukan oleh pelajar ini.
Pelajar terakhir pula mengimbau pengalaman rakan sekelasnya, seorang pelarian dari Timur Utara Afrika. Wanita itu terpaksa menempuh laluan yang berbahaya merentasi dataran tinggi yang gersang dan menyeberangi sungai yang berarus deras, sambil diburu oleh bangsanya sendiri—hanya kerana mereka tidak seugama dan dengan itu berniat untuk membunuhnya. Apa yang memberi ia ilham dan semangatnya untuk terus bertahan ialah ayat Al-Qur’an yang menggambarkan nasib Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah melarikan dirinya dari Mekah ketika diburu oleh kaum keluarga dan bangsanya sendiri. Surah An-Nisaa’ (4:100), terjemahan anggarannya: “Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah, nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur.”
Keyakinan tunggal itulah, berserta doa dan kepercayaan yang teguh kepada Allah Yang Maha Adil lagi Maha Pemurah yang membolehkan dia dan keluarganya terus bertahan. Allah tidak akan sesekali mengabaikan hamba-Nya.
Itulah bukti betapa besarnya makna dan pengaruh Al-Qur’an ke atas dirinya.



0 Comments:
Post a Comment
<< Home