Pentas Bayangan Yang Saling Bertingkah
Pentas Bayangan Yang Saling Bertingkah
Latar: Di serambi rumah kampung yang samar cahayanya. Buku—naskhah sastera, falsafah, dan sejarah yang jelas kerap kali dibaca—berlonggok tinggi di atas meja rotan yang kukuh. Sebuah lampu minyak tanah berkedip tenang, membiaskan bayangan yang panjang serta beralih rupa. Dua lelaki duduk berhadapan: Mat Kadir (MK), seorang pemuda yang penuh semangat dan selesa dengan idealisnya; dan ‘Tok Mahatzir Bahri Muri (MBM), seorang warga emas bermata tajam dan berpandangan jauh, mempunyai ketenangan seorang pakar bedah veteran serta ketegasan seorang kritikus tegar masyarakat.
MBM: (Bersandar ke hadapan, jarinya mengetuk perlahan naskhah Hikayat Hang Tuah yang sudah usang) Kamu lihat Mat, tragedi terbesar masyarakat kita ialah kita semua merupakan banduan kepada kaca mata sendiri. Kita berjalan ke hulu hilir dengan megah, yakin bahawa pandangan kita begitu jelas dan tiada keliruan langsung tanpa sedar bahawa kita sebenarnya sekadar terkial-kial mengintai di sebalik kabus tebal zaman dan budaya kita—malah udara yang kita hisap sendiri.
MK: Tetapi Doktor, sejarah tetap sejarah. Fakta itu tetap nyata. Masakan ia boleh berubah atau diubah hanya kerana siapa yang melihatnya?
MBM: (Tersenggeh ketawa berbunyi garau yang kering) Oh, alangkah indahnya kalau hidup kita semudah seumpama mengikut cara makmal! Seperti catatan tepat Shahnon Ahmad dalam pengenalan bukunya Seketul Hati Seorang Pemimpin, sejarah itu memang pada hakikatnya seorang guru yang baik hati. Tetapi—dan ini perkara utama yang sering dilupakan oleh kita—dia hanya menjadi guru hanya jika kita mahu dan mempunyai upaya otak untuk belajar daripadanya.
Renungkan Hikayat Hang Tuah yang kita agunggi. Bak pepatah Minang, lagenda itu tak lekang dek paneh, tak lapuk dek hujan. Mungkin anda tidak setuju dengan tindakan saya merendahkan si Tuah sebegai hanya hikayat dan bukan tokoh sejarah yang tulen. Itu tajuk perdebatan untuk masa yang lain. Namun, tanpa mengambil kira sama ada Tuah benar wujud atau tidak, sudah berturunan lama masyarakat kita telah menganggap Tuah sebagai wira agung. Yakni tokoh mutlak budi pekerti Melayu. Tetapi nyata itu adalah akibat apa yang berlaku dengan sebenarnya: indoktrinasi yang terancang.
MK: Kerana dia seorang patriot sejati, ‘Tok! “Takkan Melayu Hilang di Dunia.” Kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada takhta!
MBM: Kesetiaan, Mat? Atau pembodohan diri sendiri dan ketaatan membuta tuli? Di situlah letaknya punca masalah kita.
(MBM mengusap rambutnya yang beruban, matanya mengecil ketika dia mula rancak berbicara)
Kita memerlukan pergolakan minda seperti yang berlaku pada tahun 1950-an dan 60-an—zaman yang penuh dengan semangat anti-wira dan pemikiran yang berani menentang adat—untuk seseorang seperti Kassim Ahmad menyelami semula naskhah purba yang sudah berkulat itu dan melihat sesuatu yang berbeza sama sekali. Bagi Kassim, Tuah bukan wira tulen tetapi hanya seorang suruhan istana. Yakni seorang yang hanya melaksanakan apa sahaja kehendak zalim Sultan tanpa usul periksa. Malah jika kamu baca antara ayat dengan teliti, Tuah juga mengambil kesempatan untuk syok sendiri keterlaluan dengan gundik diraja. Pendekkata, si Tuah hanya anjing kurap istana sambil mengambil kesempatan berseronok sundal.
MK: (Berkerut dahi, jelas merasa kurang selesa) Dan Jebat? Masakan ‘Tok mahu membela seorang penderhaka?
MBM: Pada pandangan Kassim Jebatlah wira tulen dan sejati! Dialah maknusia yang berani menentang kezaliman raja di mana undang negara di runtuhi untuk menjadi sekadar alat memenuhi nafsu seorang diktator.
(Sambil menuding jari dengan tegas ke arah buku di antara mereka)
Lihatlah! Dakwat yang sama, pargamen purba yang sama, serta istilah bulat serupa apa yang tertulis beratus tahun dahulu. Namun, satu keturunan melihat seorang wali, manakala generasi seterusnya melihat seorang khadam yang dipergunakan. Teksnya tidak berubah, Mat, hanya minda yang membacanya.
Hikayat Hang Tuah hanyalah sebuah buku yang ditulis oleh manusia biasa yang mempunyai semua kelemahan makhlok Allah. Ia menceritakan hal ehwal kesultanan Melayu yang hanya berpanjang sekelip mata sahaja dalam garisan masa sejarah manusia yang begitu luas dan panjang. Ceritanya kelihatan ringkas tetapi temanya amat sejagat dan tetap kekal abadi.
Renungkaan intisari hikayat itu, ‘Nak Muda. Jika satu rekaan hamba Allah biasa boleh di fahami dari beberapa seggi dan dengan itu memikul beban terjemahan intinya yang begitu berat dan boleh ditafsir secara amat berlainan dari sangka, bayangkan pula sebuah teks yang merupakan kalam Allah yang mutlak yang diturunkan untuk seluruh umat manusia dan merentasi zaman. Kamu memerlukan satu acuan kebodohan dan juga perasaan yang amat sombong untuk berdiri di atas mimbar dan menyalak dengan penuh keyakinan suci, “Dan inilah apa yang dimaksudkan oleh Allah!”
Lihat sajalah gelagat para ulama yang kononnya termasyhor yang kini membajiri YouTube dan TikTok serta aliran alam maya yang lain. Secara jujur kamu mestilah seorang bodoh dan koyok untuk mempamerkan keangkuhan sedemikian. Kamu juga ikut sama bodoh jika mempercayai mereka.
MK: Wau! Tetapi ‘Tok, mereka bercakap dengan penuh wibawa tentang maqasid, matlamat tertinggi agama....
MBM: (Memotong perbualan dengan lambaian tangan) Alamak, tolonglah! Para golongan penceramah agama kita hebat menggunakan ciptaan si kafir sambil dalam masa yang sama mengutuk budaya mereka. Tamadun Barat mungkin tidak tahu makna sepatah perkataan dan istilah maqasid, tetapi ciptaan mereka adalah maqasid tulen kerana memberi faedah kepada makhlok Allah.
(Dia mengeluarkan sebuah telefon pintar yang canggih dari sakunya lalu meletakkannya di atas meja)
Lihatlah telefon bimbit ini sebagai contoh. Ia membolehkan saya berbual dan melihat wajah cucu saya beribu batu di seberang Lautan Pasifik. Melalui alat ini saya dapat mengekalkan hubungan silaturrahim dan dengan itu memberi matlamat tertinggi dalam Islam. Namun, para sarjana kita yang hebat ini tidak dapat mencipta serupa; mereka hanya pandai menggunakannya untuk menyiarkan fatwa mereka yang sempit.
Mari kita imbas kembali sejarah yang lebih jauh, ke zaman kegemilangan Islam, ketika umat Islam menerajui dunia. Mereka tidak takut untuk mengotorkan tangan mereka dengan kerja intelek. Mereka bertany soalan yang asas, besar, dan merbahaya. Mereka berdebat dengan sengit—umpamanya, sama ada al-Qur’an itu makhluk (dicipta) atau qadim (abadi). Mereka tidak pernah berhenti memburu kebenaran ke mana sahaja. Akibatnya, warisan yang bersifat ensiklopedik, yang membuatkan kita hari ini kelihatan seperti kerdil dari segi pemikiran.
Ya, mereka berbeza pandangan dengan amat keras. Imam al-Ghazali tanpa berselindung mengsifatkan Ibn Sina sebagai seorang kafir! Tetapi pertelingkahan itulah yang menghidupkan Zaman Keemasan kita. Geseran menghasilkan haba, ya, tetapi ia juga menghasilkan percikan api genius. Kemahiran, dan cabaran terbesar dalam kepimpinan, adalah bagaimana untuk memanfaatkan kedua-duanya.
Mat, kita mesti kembali kepada semangat dahulu, yakni tidak senang berpuas itu. Jangan takut untuk mempersoalkan perkara asas, atau menggoncang bara api yang sudah lama padam. Generasi saya sekurangnya mempunyai satu pegangan yang kokoh: mempersoalkan kewibawaan (challenge authority). Sama ada lelaki itu seorang ahli politik atau seorang penceramah, jangan sekadar mengangguk seperti burung pungguk.
(Satu senyuman sinis terukir di bibir MBM)
Dan dalam pada itu, perasankah kamu bahawa dalam budaya kita, watak autoriti itu sentiasa seorang lelaki. Itu adalah titik buta sistemik kita yang perlu diubati dengan segera.
Jangan jadikan diri mu sebagai pak turut yang lurus bendul, Mat. Jangan serahkan dompet kamu—atau minda kamu—kepada jurujual minyak ular yang pandai berbicara sebaik sahaja dia menjejakkan kaki ke kampung kamu dengan memakai jubah. Dan demi Allah, janganlah kamu taksub dan mengekor di belakang setiap watak yang mendakwa dirinya Imam Mahdi yang muncul di media sosial kamu.
Ingatkan si Padri Jim Jones dan pengikutnya yang lurus bendul di dalam hutan Guyana. Mereka dengan ribuan beratur untuk meminum air Kool-Aid yang dicampur dengan racu sianid semata kerana mereka telah menyerahkan tanggungjawab berfikir kepada orang lain.
Iman yang membuta tuli bukanlah iman yang sebenar atau tulen Mat! Ayah saya dengan bijaksana mengingatkan saya dengan lebih lantang ketika saya seusia kamu: Gunakan otak! Jika kamu lakukannya, ia mungkin akan menyelamatkan leher kamu sendiri.
MK: (Merenung buku tersebut, kemudian memandang TDM, satu senyuman penghargaan mula terukir di wajahnya)Sesuatu yang amat mendalam, 'Tok. Seperti satu pembedahan mental. Saya rasa sudah tiba masanya saya mula menterbalikkan segala andaian saya sendiri, untuk melihat apa yang akan terjatuh keluar.



0 Comments:
Post a Comment
<< Home