Ayat Al-Qur'an Yang Paling Bermakna Bagi Saya
Ayat Al-Qur’an Yang Paling Bermakna Bagi Saya
M. Bakri Musa
June 3, 2026
Petikan daripada buku saya, Qur’an, Hadith And Hikayat: Exercises In Critical Thinking (2021)
Perbincangan dengan kumpulan mahasiswa Melayu di Amerika itu mencabar saya untuk merenungkan satu soalan yang kelihatan agak remeh tetapi amat mendalam. Yakni ayat Al-Qur’an manakah yang paling bermakna bagi diri saya, dan mengapa?
Saya mula membaca Al-Qur’an lama sebelum menjejak kaki ke sekolah. Seperti kebanyakan anak Melayu zaman itu (dan juga sekarang), saya membacanya hanyalah sebagai satu ritual hafalan tanpa usul periksa atau mengerti maknanya. Pada peringkat awal saya sekadar menghafal bunyi huruf Arab tanpa mempunyai sebarang petunjuk tentang maksud sebenar kalimah purba itu. Apa yang saya hayati ialah keindahan bunyinya, alunan rentaknya yang memukau, serta irama dalamannya yang begitu mempersonakan.
Beberapa tahun kemudian ketika menetap di Barat, hubungan saya dengan teks suci ini mula berubah. Saya menekuni pelbagai terjemahan dalam Bahasa Inggeris dan membacanya, termasuklah nashka yang tertulis oleh para orientalis yang berniat hanya untuk memperlekehkan Kitab Suci kita. Namun, di sebalik pembacaan berpanjangan itu saya tidak pernah merenungkan ayat manakah yang sebenarnya menjadi paksi kepada pandangan semesta peribadi sehinggalah berlakunya perbincangan bersama pelajar tersebut.
Setelah lama merenung dan mengulang baca, saya memilih satu perintah yang ringkas namun padat maknanya, yakni:
Al-amr bil-ma'ruf wa n-nahyu 'ani l-munkar (Biasakan yang baik; jauhi yang jahat).
Ayat ini pertama kalinya muncul dengan jelas dalam Surah Ali ‘Imran (3:104): “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang salah. Dan mereka yang bersifat demikian ialah antara orang yang berjaya.” Tema ini di ulang dua kali lagi dalam Surah yang sama (110 dan 114), dua kali dalam Surah At-Tawbah (9:71 dan 9:112), dan sekali dalam Surah Al-A'raf (7:157), Surah Al-Hajj (22:41), dan Surah Luqman (31:17). Maknanya, pada keseluruhan hanya lapan kali sahaja kemunculannya di antara lebih 6,000 ayat Qur’an. Apabila Allah mengulang sesuatu dengan terang serta jelas, pembaca yang bertajam akal perlu dan wajib memberi perhatian yang berlebihan.
Perbincangan saya dengan pelajar tersebut juga membuktikan satu titik pedagogi yang penting. Yakni memaksa minda muda untuk melihat Al-Qur’an daripada perspektif analitikal yang berbeza akan memberi mereka pemahaman serta penghargaan yang jauh lebih tinggi terhadap teks tersebut. Al-Qur’an, seperti karya sastera yang agung dan abadi, memberi kesan kepada pembacanya dalam cara yang amat unik dan tersendiri.
Melihat dunia (atau sesuatu apa pun) daripada sudut yang berlainan dari biasa bukanlah satu keistemewaan. Malah itu adalah langkah pertama dan keperluan dalam cara pemikiran kritis. Itu akan merubuhkan sikap culas dan selesa. Ia juga akan mendorong seseorang untuk mengemukakan soalan yang lebih tajam dan sering kali mengikut landasan pemikiran yang baru. Akhirnya perbuatan demikian akan meluaskan ufuk intelek dan fikiran kita.
Gagasan Al-Qur’an yang berterusan untuk menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sepatutnya tidak menjadi penutup kepada perbincangan, sebaliknya ia mencetus kepada rentetan persoalan yang menyusul serta berpanjangan. Yang paling ketara adalah meneliti takrifan tepat atau makna lebih mendalam atas istilah dan makna perkataan “baik” dan “jahat,” serta buruk dan mungkar).
Adakah akhlak itu satu kaedah binari (mempunyai dua aliran bertentang) yang mutlak. Yakni, jika tidak baik itu semestinya jahat? Jika sesuatu tindakan itu tidak jelas kebaikannya, adakah ia secara automatik, ipso facto, menjadi buruk? Mungkin keadaan sebenarnya ialah satu spektrum yang bernuansa yang mengandungi zon neutral yang luas—ruang di mana sesuatu tindakan itu tidak bersifat warak secara jelas dan tidak juga jahat, tetapi mungkin sekadar ‘kurang buruk’ atau ‘lebih buruk’ berbanding dengan pilihan yang lain?
Renungkan kebijaksanaan pepatah kita, sayangkan anak tangan-tangankan. Manjakan anak semasa kecil dan anda pasti akan mewarisi seorang setan apabila dia dewasa kelak. Mungkinkah dinamik yang sama berada apabila kita menilai dasar sosial dan politik? Adakah kita kadangkala terpaksa menelan keburukan atau kesusahan sementara yang diperlukan demi mencapai kebaikan yang lebih besar dan berkekalan kemudian hari?
Kita senang bersetuju bahawa membunuh pada asasnya adalah satu kejahatan. Namun, adakah membunuh Adolf Hitler pada tahun 1933 merupakan satu tindakan yang jahat? Jika kita menganggapnya sebagai satu kebaikan, adakah ia menjadi lebih baik, lebih bermoral, sekiranya tindakan itu diambil secara pramatang (preemptif) sebelum beliau sempat merampas kuasa?
Kita tidak perlu berlumus dalam wacana falsafah etika yang panjang lebar dan sarat untuk menghargai kerumitan serta kehalusan makna keahklakan di sini. Jika kita berlindung di sebalik hujah keagamaan yang kaku sekalipun—yakni “kebaikan” adalah apa sahaja yang diredai Allah, manakala “keburukan” pula adalah apa yang dilarang-Nya—kita akan serta-merta bertembung dengan dilema klasik Euthyphro: Yakni, yang mana satukah yang dulu? Adakah sesuatu tindakan itu baik semata-mata kerana Allah meredainya, atau adakah Allah meredainya justru kerana tindakan tersebut sememangnya baik secara semula jadi atau asasnya?
Meneliti hubungan antara sebab dan akibat adalah salah satu tugas yang paling mengelirukan namun kritikal dalam kehidupan intelektual. Fikirkan satu contoh tempatan: Adakah orang Melayu ketinggalan dari segi ekonomi kerana kita ‘malas,’ seperti yang sering dituduh oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad? Atau adakah kita ‘malas’ kerana secara sejarahnya kita terperangkap dalam kemiskinan, kekurangan zat makanan dan akibatnya kekurangan tenaga? Sebaliknya, adakah kelambaban yang diperhatikan ini sebenarnya adalah satu tindak balas ekonomi yang rasional? Mengapa seorang pesawah atau penoreh getah perlu berusaha berlebihan sekiranya kerangka institusi memastikan dia tidak akan mendapat ganjaran yang adil dan setimpal untuk titik peluhnya? Mengapa perlu tekun bekerja sekiranya keadaan sosioekonomi memastikan tiada apa-apa, atau terlalu sedikit, hasil yang boleh ditunjukkan untuk usaha anda?
Sekadar mengemukakan soalan yang menggugat ini sudah cukup untuk memaksa seseorang menganalisis lebih teliti lagi sebelum menelan sebulatnya kesimpulan siap orang lain, terutamanya mereka yang kurang cerah sedikit betapa tingginya kedudukan mereka dalam masyarakat feudal kita.
“Biasakan yang baik, jauhi yang buruk” adalah pati mentah Al-Qur’an; ayat, hadith serta kitab tebal yang lain hanyalah ulasan tambahan atau komentar sahaja. Anda sama sekali tidak boleh menjadi seorang Muslim yang baik—atau seorang manusia yang bermaruah—jika hidup anda dicorakkan oleh kezaliman, penipuan, rasuah, atau ketidakadilan. Dosa dan pahala adalah ekoran dari ayat mutlak itu.
Kita bersolat lima kali sehari. Itu adalah satu cara atau mekanisme pelaziman psikologi untuk mengingatkan diri kita tentang Yang Maha Esa agar kita tidak melakukan kezaliman dan kemungkaran yang dimurkai-Nya. Menunaikan solat tanpa kesedaran akal atas asannya hanya akan merendahkan darjat ibadah tersebut hanya sebagai satu ritual kosong semata-mata, tidak lebih daripada sekadar senaman sahaja. Bagus hanya untuk sendi lutut dan pinggul anda yang sudah tua, di samping memberi kepuasan hati untuk memperagai tanda hitam (zabiba) di dahi bagi memberi isyarat warak kepada jiran tetangga, tetapi langsung tidak memberi makna untuk jiwa.



0 Comments:
Post a Comment
<< Home