Kajian Sisa Penjajahan Yang Merepek
Kajian Sisa Penjajahan Yang Merepek
M. Bakri Musa
2 hb September 2026
Kecenderongan untuk mengejar kajian sisa penjajahan dalam kalangan cendekiawan Melayu semasa bukan sahaja satu lorong buntu intelektual, ia adalah satu gangguan ketara daripada tugas mendesak, yakni membina negara. Mengkecualiankan tokoh raksasa seperti pakar psikiatri kelahiran Martinique, Frantz Fanon, dan ahli falsafah Algeria, Malek Bennabi, kebanyakan apa yang dijaja sebagai kajian sisa penjajahan hari ini tidak lebih daripada sekadar membuang masa dan tenaga. Ini ternampak benar dengan tokoh cendikawan Melayu.
Satu pemerhatian yang jelas: walaupun penjajahan British memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia, taksub penyahjajahan ini secara keterlaluan merupakan satu kesibukan cerdikpandai Melayu sahaja. Kajian mereka lemah dari dua segi. Pertama, mereka melukis imperialisme dengan berus yang kasar serta tidak teliti, mengabaikan perbezaan nyata serta halus antara, katakanlah, pemerintahan Perancis di Afrika Utara dengan hegemoni Belanda di Hindia Timur. Malah di dalam Empayar British sendiri pun pengalaman Malaysia amat berbeza daripada pengalaman di benua kecil India. Namun, di sebalik perit dan seksaan sejarah penjajahan di Asia Selatan, lebih separuh daripada penduduk di benua kecil itu akan menaiki pesawat ke London esok jika diberi visa.
Kedua, para cendekiawan kita kekurangan perspektif sejarah. Berkurun penjajahan Barat di Tanah Melayu—bermula dengan Portugis, kemudian Belanda, dan akhirnya British—tidak mampu menandingi kejamnya, penderitaannya, dan ketakutan semasa 44 bulan Pendudukan Jepun ketika Perang Dunia Kedua. Namun, apabila Perdana Menteri Mahathir memperkenalkan Dasar Pandang Timur pada tahun 1980-an, rakyat Malaysia menjiwai Jepun dengan penuh semangat sebagai teladan ekonomi dan budaya, tanpa terbeban sedikit pun oleh dendam sejarah.
Penjajahan hanyalah satu cara Barat mengimpit Dunia Ketiga. Lihatlah bagaimana Amerika Syarikat menghancurkan Vietnam pada pertengahan abad ke-20, atau menggugurkan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki, atau membumihanguskan semenanjung Korea kurang daripada sedekad kemudian. Tetapi hari ini Jepun dan Korea Selatan bersekutu dengan Washington DC di rantau ini.
Vietnam mempamerkan iktibar yang lebih tajam tentang realisme pragmatik. Walaupun ingatan terhadap peristiwa My Lai dan sumpahan Agent Orange masih segar, rakyat Vietnam memilih untuk menumpukan perhatian kepada masa depan daripada terus meratapi nasib sebagai mangsa. Pemimpin dan cendekiawan semasa di Hanoi tidak menunjukkan sebarang minat terhadap gerakan 'Anti-Amerika.' Sebaliknya, Vietnam telah mengubah dirinya menjadi destinasi utama bagi modal dan pelancong Amerika. Fikiran mereka mudah dan praktikal: perang itu sememangnya mengerikan dan parutnya masih berdarah, tetapi keutamaan mesti diberikan untuk membina masa depan yang makmur bagi generasi yang akan datang daripada membebankan mereka dengan dendam masa lalu.
Bagi Malaysia, renungkan peranan serta pengaruh pemerintahan British tidak boleh dinafikan. Ianya luas, dan amat penting kepada kepimpinan kita. Itulah yang tidak menyenangkan hati mereka yang masih lagi mempunyai perasaan anti penjajah. Renungkan, daripada sepuluh Perdana Menteri Malaysia, tujuh daripadanya—termasuk Perdana Menteri semasa, Anwar Ibrahim—mendapat manfaat besar daripada institusi atau tradisi pendidikan British. Bapa Merdeka, Tunku Abdul Rahman, mendapat pendidikan di Cambridge. Anwar Ibrahim, walaupun bukan alumni universiti British, bersekolah di Kolej Melayu Kuala Kangsar—sebuah institusi yang jelas dengan misinya sebagai 'Eton di Timur.' Pengetuanya merupakan pegawai kolonial yang dilukiskan oleh beliau sendiri dengan penuh nostalgia. Kemudian, untuk melarikan diri daripada kemarahan Dr. Mahathir, Anwar menghabiskan masa berbilang tahun di Barat, berwacana di Oxford dan Johns Hopkins.
Sebaliknya, renungkan tiga Perdana Menteri yang mendapat pendidikan tempatan dan tidak menerima bimbingan British. Tidak banyak perkara untuk dibanggakan oleh mereka: pentadbiran Abdullah Badawi sudah lama dilupakan, manakala si Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri kini berdepan tuduhan rasuah yang besar. Si Najib Razak pula, walaupun dia berpendidikan British tetapi dia bertanggungjawab atas pecah amanah terbesar dengan Syarikat 1MDB. Dia merupakan pengecualian yang hina kepada pemerhatian tersebut.
Ini mungkin kedengaran janggal pada hari ini, tetapi apabila Tunku Abdul Rahman merundingkan kemerdekaan negara pada pertengahan 1950-an, halangan utamanya datang bukan dari Pejabat Kolonial British, tetapi daripada Raja-Raja Melayu. Mereka sibuk untuk mempertahankan hak keistimewaan feudal mereka.
Pengalaman saya mencerminkan era ini. Saya menghabiskan tahun awal persekolahan di bawah sistem British, di mana kebanyakan guru saya adalah warga asing atau pegawai kolonial. Guru Bahasa Inggeris saya semasa Darjah Enam ialah seorang lulusan Oxford. Renungkan seorang berkelulusan Yale mengajar di sebuah luar bandar California. Saya menghadapi peperiksaan Senior Cambridge yang sama persis seperti pelajar di England. Maknanya, apabila saya mendapat A, saya tidak dinilai berdasarkan kelonggaran markah; saya telah menewaskan budak sekolah elit berblazer biru di England atas medan mereka sendiri.
Daripada bertarung dengan kincir angin dan mengejar bayangan iblis atas nama 'penyahjajahan,' cendekiawan Melayu lebih baik mengambil iktibar daripada Barat—mempelajari apa yang patut dicontohi, dan yang paling penting lagi, apa yang patut dijauhkan. Apabila tokoh hebat Zaman Kegemilangan Islam membina empayar intelektual mereka, mereka tidak menolak karya ahli falsafah Yunani yang ateis dan politeistik; mereka mengkajinya, menterjemahkannya, dan membina ilmu di atasnya. Jika tokoh Islam zaman silam mampu belajar tanpa rasa takut daripada orang Yunani kafir untuk mencetuskan Zaman Pembaharuan Islam (Renaissance), mengapa cendekiawan Melayu moden perlu gentar untuk memanfaatkan warisan bekas penjajah mereka? Itulah pemikiran yang wajar direnungkan tatkala Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-69 pada 31 Ogos ini.



0 Comments:
Post a Comment
<< Home