Menuntut Ilmu Hinga Ke Negeri Cina
Menuntut Ilmu Hingga Ke Negeri Cina: Mengutip Iktibar Menerusi Pemikiran Kritis
M. Bakri Musa
Kutipan dari buku saya Qur’an, Hadith, And Hikayat: Exercises in Critical Thinking (2021)
Apabila para ulama terkemuka atau pun lebai kampung berbahas mengenai riwayat terkenal—“Tuntutlah ilmu walau hingga ke Negeri Cina”—mereka sering kali terperangkap dalam perdebatan isnad (silsilah perawi). Berjam masa terbuang sekadar bertengkar sama ada riwayat itu sahih, daif, atau maudhu’ (palsu). Mereka tersilap membezakan antara pembalut dengan isinya.
Tidak seperti dalam bidang arkeologi di mana ujian seperti tarikh karbon mampu memberikan batasan empirikal menerusi analisis kertas dan dakwat, usaha mengesahkan hadis berabad selepas kewafatan Nabi, s.a.w., ialah satu perbuatan sia sia. Baginda Rasulullah s.a.w. sendiri pernah melarang para sahabat daripada membukukan kata-kata lisan baginda agar ia tidak mengatasi wahyu Al-Qur'an—suatu pandangan jauh ke hadapan bagi menyelamatkan umat daripada terjerumus dalam sifat kaku keterlaluan terhadap teks.
Sebahagian sarjana berhujah bahawa hanya tuntutan teras—“Menuntut ilmu itu adalah kewajipan bagi setiap Muslim”—mempunyai keabsahan kanonikal, seiring dengan suruhan Al-Qur'an (seperti Surah Al-Mujadila 58:11). Mereka menganggap peluasan ke negeri China itu sekadar hiasan bahasa. Namun, akibat terlalu ksubur dengan susur galur asal-usul, para sarjana kuno mahupun moden terlepas pandang iktibar utamanya: mereka gagal mencungkil muatan intelektual yang tersirat.
Bandingkan pendekatan mereka dengan cara seorang pelajar muda dari Indonesia, Bina Izzatu Dini, merungkai kekusutan teologi ini.
Semasa memohon kemasukan ke sebuah universiti di Negeri Cina, Bina mengetepikan sama sekali perdebatan yang tidak bermakna itu. Dalam karangannya, beliau mengelak daripada perangkap dalam pertikaian agama dengan menganggap ungkapan tersebut secara mudah sebagai sebuah peribahasa Arab. Selepas sering mendengarnya sejak kecil, beliau akhirnya berhenti sejenak untuk bertanyakan soalan asas: Mengapa Negeri Cina? Sifat ingin tahunya kian bercambah apabila menyedari satu hakikat ironi harian—sejadah dan replika kota Mekah di tanah airnya sendiri rupanya dibuat di sana.
Daripada terus bertengkar mengenai rantai perawi, Bina menyelidik sejarah. Beliau mendapati bahawa hubungan diplomatik dan perdagangan antara Dunia Arab dengan Negara Cina telah bermula seawal zaman Khalifah Ketiga, Uthman bin Affan—malah mungkin lebih awal lagi. Mekah terletak di laluan darat Jalur Sutera. Bagi seorang pedagang berpengalaman seperti Rasulullah s.a.w., Negeri Cina bukanlah satu alam misteri yang tidak diketahui; ia adalah pusat tamadun, perdagangan, dan pertukangan yang terbilang.
Mengkaji sejarahnya yang berpijak di bumi nyata ini berbeza sama sekali dengan dakwaan pendakwah terkenal. Mufti Ismail Menk, mithalnya, pernah mendakwa dalam satu ceramah di Malaysia bahawa Rasulullah s.a.w. tidak mungkin mengenali Negeri Cina sama juga seperti seperti Baginda tidak mengenali Tanah Melayu. Menk menggunakan premis yang rapuh itu untuk menolak riwayat berkenaan secara bulat-bulat. Sebaliknya penyelidikan ringkas Bina ternyata jauh lebih kukuh dari sudut sejarah berbanding penolakan terburu-buru si Mufti Menk.
Hasilnya karangan Bina telah memenanginya biasiswa penuh untuk menuntut ilmu di universiti di Negeri Cina.
Itulah penaakulan kritis dalam amalan. Ketika orang lain menghabiskan tenaga dalam pusaran wacana yang berputar-putar, beliau mencungkil iktibar praktikal daripada teks tersebut dan membuka jalan bagi kemajuan pendidikannya sendiri.
Satu lagi riwayat popular mengingatkan kita bahawa “penawar bagi kejahilan itu tidak lain hanyalah melalui suka dan berminat bertanya.” Prinsip dan kebiasaan itu adalah teras pemikiran kritis: mempersoalkan andaian, mendalami konteks, dan menguji premis sebelum membuat kesimpulan. Dengan mengajukan soalan yang betul, Bina meraih ganjaran pendidikan bertaraf dunia—satu keuntugan yang nyata dan diperoleh terus di bumi ini, tanpa menunggu hari Akhirat!
Selanjutnya: Meneroka Hadis Dengan Murid Di Amerika



0 Comments:
Post a Comment
<< Home