Hikmah Ayat Ke Enam Surah Al Fatihah
Hikmah Ayat Ke Enam Surah Al-Fatihah
Bakri Musa |
17 Jun 2026
Petikan daripada Qur’an, Hadith And Hikayat: Exercises In Critical Thinking (2021)
Surah Al-Fatihah adalah yang pertama dihafal oleh kanak Islam. Ia dimulakan sebaik sahaja mereka mula mengenal huruf Arab. Namun, kekerapan membaca sering kali melahirkan tabiat yang melulu dan mekanikal. Kita pula membacanya berbelas kali sehari tanpa pernah berhenti seketika pun untuk membedah maknanya.
Saya gunakan surah ini sebagai latihan untuk berfikir secara kritis (critical thinking) dengan kumpulan pelajar di sekolah fardu ain (Sunday school) kami disini. Saya bermula dengan meminta salah seorang daripada mereka membacanya. Lancar sekali dan tiada masalah. Kemudian saya menyuruh mereka membaca tiga atau empat terjemahan biasa dalam Bahasa Inggeris. Selepas itu saya menumpukan keatas Ayat 6. Ayat itu Adalah yang paling pendek, namun mungkin yang paling mendalam:
Ihdina sirothol mustaqim (Tunjukkilah kami kearah jalan yang lurus!)
Saya terus bertanya apa makna “jalan yang lurus.” Seorang pelajar yang agak banyak membaca teks agama dengan patuh memberikan jawapan biasa sekolah agama: “Lurus berbanding dengan bengkak-bengkok.” Semuanya mengangguk bersetuju. Itu jawapan biasa dan selesa.
Kemudian saya mengubah aliran soalan. “Dalam geometri, apa maksud garis lurus?”
Mereka tidak berragu menjawab. “Garis lurus adalah jarak yang paling dekat atau pendek antara dua titik.” Betul! Dengan itu saya telah Berjaya menggabungkan elemen sekular dengan agama, meruntuhkan tembok tiruan yang cukup digemari oleh para pendidik kita hari ini.
Namun saya mahu mereka menggali lebih mendalam. “Adakah jalan yang paling pendek atau lurus itu sentiasa bermakna pilihan yang terbaik?”
Soalan mudah itu memecah kesunyian dan mencetuskan perbincangan yang cukup rancak tentang jalan pintas (shortcuts), gangguan alihan (distractions), dan pilihan hidup. Ia merupakan satu landskap pemikiran yang tidak pernah diterokai walaupun mereka telah membaca Al-Fatihah ribuan kali sebelum itu.
Saya terus memperkenalkan tafsiran kuno. Yakni jalan yang lurus itu bermaksud berada di pertengahan, menjaga keseimbangan dan enggan tunduk kepada godaan di sebelah kiri mahupun kanan. Tetapi pemikiran kritis menuntut kita menguji dan memereksa pendapat ini.
“Adakah godaan di kedua belah pihak itu sama,” saya terus bertanya, “atau adakah kedua kutub yang bertentangan? Jika kejahatan berada di sebelah kiri dan kebaikan di sebelah kanan, bukankah kita patut mengemudi lebih rapat ke sebelah kanan berbanding duduk tegak di tengah jalan? Atau adakah kemungkinan kita boleh terpesong disebabkan oleh sesuatu kebaikan yang melampau?”
Untuk mengukuhkan hujah itu saya mengingatkan mereka tentang pesanan mendalam rasul kita, Nabi Muhammad (s.a.w.), yang malangnya sering kita abaikan: “Dalam setiap perkara, bersederhanalah.”
Pesanan berharga daripada Nabi itu menjadi pelantar untuk kami melompat kepada teori “Golden Mean” (Jalan Tengah) oleh Aristotle. Bolehkah seseorang itu rosak disebabkan sifat murni yang keterlaluan? Ambil contoh sifat keberanian, salah satu daripada dua belas sifat murni Aristotle. Keberanian yang melampau akan menjelma sebagai sifat melulu (recklessness)—membahayakan diri anda sendiri dan juga orang sekeliling tanpa sebab yang sah. Lemah atau kurang berani pula akan mengakibatkan anda menjadi si penakut, menjemput pembuli untuk membaham anda. Sifat murni, seperti juga ubat, mestilah tidak keterlaluan.
Keberanian dan kelakuan melulu ini sering ditakrifkan secara operasional—bahasa mudahnya, selepas terjadinya. Jika anda mengetuai pemberontakan dan menang, anda dijulang sebagai wira berwawasan dan penuh keberanian. Jika gagal, anda akan di tangkap dan dihukum sebagai pengkhianat melulu yang menggadaikan nyawa manusia. Sejarah ditulis oleh mereka yang menang dan berjaya.
Sedang perbincangan mengenai kesederhanaan Nabi dan “Golden Mean” Aristotle semakin rancak, saya melemparkan sepana ke dalam gear. “Seorang ialah Rasul Allah,” celah saya, “dan seorang lagi ialah ahli falsafah purba yang tidak percayai adanya Tuhan. Adakah itu mengubah kebenaran atau kebijaksanaan pendapat mereka? Adakah identiti si pembicara menambah atau mengurangkan nilai murni sesuatau kebenaran?”
Ulama Islam kuno, saya ingatkan para pelajar itu, tidak mengalami kelemahan intelek (intellectual insecurity) seperti kini. Mereka tidak ragu atau was was untuk belajar daripada orang Yunani yang tidak percaya kepada Tuhan. Malah, sikap umat Islam awal yang begitu rakus dan terbuka menyerap falsafah dan sains Yunani purba itulah dan dengan itu membawa umat Islam kepada Zaman Kegemilangan kita. Di bawah Khalifah Abbasiyah, mereka menubuhkan Bayt Al-Hikmah (House of Wisdom) di Baghdad. Mereka tidak berhenti setakat menterjemah sahaja; mereka terus menggunakan ilmu luari itu sebagai perancah untuk membina sumbangan asli mereka yang agung kepada tamadun manusia.
Bagi tokoh Islam silam, ilmu itu bersifat universal. Tiada istilah matematik, astronomi atau sains versi Islam. Allah dalam kebijaksanaan-Nya yang tidak terbatas telah memilih untuk mengurniakan konsep angka sifar ke seorang Hindu, hukum graviti kepada seorang Inggeris Kristian, dan inti vaksin polio kepada seorang Yahudi. Bukanlah untuk kita mempersoalkan atau mendengkikannya. Tugas kita hanyalah untuk belajar, menyesuaikan diri, dan mengambil manfaat daripada mereka.
Orang Jepun tiada kesukaran untuk mempelajari dan menyerap norma, cara, dan nilai Barat semasa Reformasi Meiji mereka dulu. Lihat di mana mereka kini; begitu juga dengan China di bawah pimpinan Deng semasa kedi kakhir abad yang lalu.
Lompat ke zaman moden kini, dan perbedaannya amat ketara lagi mendukacitakan. Para cerdik pandai Islam kini—terutamanya golongan Melayu—berdegil dan enggan belajar dari Barat dengan alasan bahawa kononnya tamadun Barat itu sekular dan “tidak berTuhan.” Daripada melakukan kerja berat membuat penyelidikan sains yang rapi, universiti kita sebaliknya sibuk membuang masa dengan trend murahan “MengIslamisasikan Ilmu” (Islamization of Knowledge). Kita membazirkan masa berdekad serta ratusan cerdik pandaii sekadar menukar istilah sosiologi Barat yang sedia ada kepada jargon bahasa Arab, lalu menyangka kononnya perubahan kosa kata itu sebagai satu kemajuan intelek.
Sebaliknya kita patutnya mencontohi dan mempatuhi kebijaksanaan cendekiawan kita yang dulu seperti Munshi Abdullah. Dalam Cerita Kapal Asap dia merakamkan pemerhatian beliau tentang kapal wap British Sertoris yang berlabuh di Pelabuhan Singapura. Beliau tidak menolak kapal itu sebagai perkakas orang kafir; sebaliknya, beliau kagum dengan tamadun yang mempunyai kebijaksanaan untuk membuat besi terapung!
Abdullah mencatatkan dengan teliti betapa rajin dan bangganya anak kapal tersebut. Daripada kelasi bawahan yang memastikan papan tanda kuprum sentiasa berkilat dan bersih, hinggalah ke kapten yang menjaga kabinnya dengan penuh disiplin bersama pelbagai carta pelayaran yang tersusun rapi. Setiap orang menjalankan tugas mereka dengan profesionalisme yang amat tinggi. Mereka melayan pelawat tempatan yang “buta laut” itu dengan penuh hormat. Abdullah melihat kecekapan, merit, dan disiplin—nilai yang amat Islamik, walaupun diamalkan oleh orang Inggeris.
Kita lebih bermafaat belajar pemerhatian yang jujur serta jelas seperti Munshi Abdullah berbanding dengan teori berbelit dan penuh dogma oleh para intelektual semasa yang dipuja dan dihiasi dengan gelaran doktor falsafah, mereka seperti Syed Naquib Al-Attas. Abdullah melihat dunia berbaris garis lurus; intelektual moden kita melihat garis lurus dan berjaya menjadikannya bengkak-bengkok.



0 Comments:
Post a Comment
<< Home