Renungan Perbincangan Di Sekolah Agama
Renungan Perbincangan Di Sekolah Agama
M. Bakri Musa
June 24, 2026
Petikan dan terjemahan dari buku saya Qur’an, Hadith And Hikayat: Exercises In Critical Thinking (2021)
Ayat terakhir Surah Al-Fatihah mengandungi doa yang amat mendalam: "Tunjukaniah kepada kami jalan yang lurus—yakni jalan mereka yang telah Engkau kurniakan nikmat dan bukan jalan mereka yang Engkau murkai, dan mereka yang sesat." (Terjemahan lebih kurang)
Ayat ini diulang oleh umat Islam puluhan kali sehari dalam solat kita. Namun, jarang sekali kita berhenti untuk merenungkan maknanya dalam kehidupan sehari.
Beralih mendidik pelajar daripada sekadar menghafal secara meluru ke arah berfikir secara kritis, saya melontarkan satu cabaran kepada murid kelas agama Islam di sini. Siapa yang mereka rasakan telah dikurniakan nikmat oleh Allah—seseorang yang tidak dimurkai-Nya dan tidak sesat—dan dengan itu patut kita contohi.
Serta-merta mereka mengangkat tanggan dengan penuh semangat sambil menjawab serentak, “Nabi Muhammad, sallallahu alayhi wasallam!” Itu jawapan yang mudah, selamat, dan sudah dijangka. Baginda adalah uswatun hasanah—suri teladan terbaik (33:21). Setiap anak Islam diasuh sejak kecil bahawa Baginda mempunyai “pas ekspres” yang dijamin ke tingkat syurga tertinggi. Mencontohi Baginda adalah asas keimanan kita. Semuanya setuju!
Kemudiannya saya menumpukan perbincangan. “Namakan pula seseorang yang masih hidup.”
Suasana kelas terus berubah menjadi sepi dan sekat. Mereka saling berpandangan, masing-masing buntu. Walaupun berkali saya merangsang mereka dengan petunjuk, mereka tetap membisu. Ini adalah satu gambaran jelas tentang sistem pendidikan agama moden kita: kita begitu tangkas melihat ke belakang sejauh empat belas abad untuk mencari model murni, namun gagal melihat rahmat dan kebaikan yang ada pada makhluk zaman kita sendiri.
Akhirnya seorang murid perempuan yang keluarganya baru sahaja berhijrah dari Indo-Pakistan memecah kesunyian. “Malala!” jeritnya. Seluruh kelas bersorak gembira bersetuju!
Malala Yousafzai, remaja Pakistan yang bersama dua rakan sekolahnya telah menjadi sasaran pembunuhan oleh puak Taliban sebab kononnya “berdosa” memperjuangkan pendidikan untuk anak perempuan. Yang paling ironis ialah istilah Taliban dalam Bahasa Arab bermakna “pelajar” atau “pencari ilmu.” Malala terselamat daripada peluru yang menembusi kepalanya dan akhirnya menerima Hadiah Keamanan Nobel termuda dalam sejarah.
Saya terus menduga lebih mendalam. “Adakah kamu memilih Malala kerana perjuangannya yang gigih dan hampir meragut nyawa itu, atau semata kerana ia dianugerahi Hadiah Nobel?”
Jika sebab kedua, saya tegaskan kepada mereka, itu bermakna mereka sekadar bergantung kepada “penjaga gol” intelek dan nilai dari Barat. Yakni Jawatankuasa Nobel Sweden untuk menentukan siapa wira mereka. “Apakah sebenarnya yang Malala melakukan sebelum dia menjadi selebriti dunia sehingga dia mengundang kemarahan Taliban?”
Pandangan kosong menyambut pertanyaan saya. Kedangkalan cara kita menggunakan media moden telah menghanyutkan intipati perjuangan sebenar gadis itu. Saya mula menceritakan penentangan awalnya di Lembah Swat, di mana dia menulis blog menggunakan nama samaran untuk BBC tentang realiti kehidupan di bawah ekstremisme agama. Memandangkan ini sebuah kelas di Amerika, para pelajar itu sudah tentu mengangguk bersetuju dengan perjuangannya, yakni pelajaran untuk anak perempuan dan kaum wanita. Namun, melihatkan persekitaran mereka yang serba selesa, saya terfikir: Apakah agaknya jawapan yang mungkin saya terima jika soalan yang sama diajukan di dalam bilik darjah di Kabul atau Kandahar pada hari ini?
Untuk menyambung pengajaran ini lebih dekat dengan kehidupan diri mereka, saya keluarkan kategori terakhir: “Namakan seorang yang kamu kenali secara peribadi yang mencerminkan nikmat ini—seseorang yang layak dicontohi dalam kehidupan seharian kamu.”
Kali ini saya berasa puas melihat beberapa tangan cepat melonjak naik dengan pantas, tanpa perlu dipaksa.
“Imam Ilyas!” jerit seorang budak lelaki, disambut dengan anggukan setuju rakan-rakannya.
Imam Ilyas ialah imam merangkap guru sekolah agama hujung minggu disini. Berlahir di Britain dan mendapat pendidikan di sekolah awam di Silicon Valley, beliau Adalah seorang yang amat pintas dengan alat teknologi, seorang yang mahir dengan gajet moden. Anak muda disini kerap meminta pandangan beliau, bukan sahaja tentang hal agama bahkan juga tentang model telefon pintar mana yang terbaik! Murid tersebut tidak ada masalah langsung untuk menyenaraikan sifat mulia beliau. Saya berasa sedikit bangga sebab saya terlibat dengan tidak secara langsung untuk membawa beliau ke masjid kami. Beliau mewakili pemimpin yang berpandangan jauh tetapi berpijak di bumi nyata. Dia merupakan pemimpin yang sangat diperlukan oleh masyarakat diaspora kita disini.
Sebab saya ingin meluaskan lagi pemikiran mereka, saya meminta contoh yang lain. Selepas seketika dalam suasana teragak-agak, seorang murid perempuan dengan segan sipu menawarkan ibunya. “Ibu ku bangun pagi untuk menyediakan sarapan dan bekal sekolah untuk saya,” katanya dengan lemah lembut. “Dan pada penghujung hari, dia menyediakan makan malam pula.”
Itu satu pengiktirafan yang indah dan jujur. Mungkin budak itu pernah mendengar hadis masyhur yang menyatakan bahawa syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu.
Sebelum saya sempat saya mengiyakan hujah tersebut, seorang budak lelaki memintas dengan tajam: “Tetapi itu memang sudah tentu satu tanggungjawab seorang ibu bapa! Mereka patut memberi nafkah dan menjaga kita.”
Muka budak perempuan itu terus berubah, jelas terkilan dengan penolakan mentah-mentah terhadap pengorbanan ibunya. “Tetapi ibuku melakukannya dengan hebat sekali,” bidasnya semula dengan berani, mempertahankan pilihannya dengan penuh kesetiaan.
Pertikaman lidah yang singkat itu sebenarnya membuka ruang teologi yang amat penting. Ia sepatutnya boleh membawa kelas ini untuk membincangkan sama ada tugas keduniaan yang dilakukan dengan penuh kecemerlangan dan kasih sayang itu juga sebahagian daripada nikmat Ilahi. Saya teringin untuk mendesak mereka berfikir lebih jauh: Bolehkah watak-watak dalam sastera dianggap layak masuk syurga? Bolehkah orang bukan Islam yang menyerahkan seluruh hidup mereka untuk mencari ubat penyakit atau membasmi kemiskinan dianggap sebagai orang yang “diberi nikmat di atas Jalan yang lurus?”
Namun saya berfikir dan berwaspada. Sambil menjeling ke arah jam di dinding, saya merenungkan sensitiviti ibu bapa mereka serta masyarakat Islam tempatan. Saya sedar bahawa saya telah mencapai had maksimum toleransi pelajar—dan yang lebih penting, ibu bapa mereka—terhadap pencarian ilmu secara kritis. Saya berhenti di situ, meninggalkan persoalan yang lebih berat itu untuk hari ke masa depan.



0 Comments:
Post a Comment
<< Home